Penulis: Dr Danial
Zainal Abidin
Tahun: 2014
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd, Batu, Caves, Selangor.
Muka Surat: 294
Sains dan Islam tidak dapat dipisahkan. Hal ini disebabkan
umat Islam disuruh Allah untuk mengkaji rahsia alam semesta secara sistematik.
Dalam surah Al-Ghasiyah ayat 17 hingga 20, Allah menyatakan yang bermaksud, “Apakah
mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang
bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan”.
Malah lebih daripada itu, Allah memuliakan golongan yang suka
mengkaji alam dan menggelar mereka sebagai ulul
albab. Dalam surah Ali Imran ayat 190 hingga 191 Allah menjelaskan yang
bermaksud, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya
malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul
albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun
duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang
penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, “Wahai Tuhan kami, kamu tidak
menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharakanlah kami
daripada seksa neraka”. Ulul albab
adalah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga
mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul.
Buku ini ditulis untuk menunjukkan tentang betapa hebat dan
agungnya Al-Quran. Ia tidak ditulis untuk mengagungkan sains. Cuma dalam usaha
untuk mengagungkan Al-Quran, penulis memanfaatkan sains dalam batas-batas yang
diizinkan. Namun ayat yang berkaitan dengan sains adalah pelbagai dan buku ini hanya
memberi fokus kepada tiga aspek iaitu asal-usul kejadian alam, kejadian manusia
dan tujuan hidup manusia.
Bahagian terpenting yang perlu dibaca ialah bahagian awal
buku ini kerana ia membicarakan tentang metodologi menghubungkaitkan Al-Quran
dengan sains.