Tuesday, September 30, 2014

Terima kesilapan dengan terbuka






Tidak ada orang yang suka menerima rungutan atau kritikan yang buruk kerana dalam diri setiap orang ada unsur-unsur ego. Namun kita harus sedar bahawa kesilapan dan kesalahan seringkali berlaku. 

Jadi, bagaimanakah kita dapat menerima keadaan dengan hati yang terbuka? Caranya ialah melatih diri dengan teknik yang berkesan. Ada dua fakta penting tentang kesilapan. 

Pertama, kita semua melakukannya, dan perlu akui kesilapan yang kita lakukannya. 

Kedua, kita lebih suka menunjuk atau menuding jari ke arah orang yang membuat silap sebaliknya melenting apabila ada orang yang menunjukkan kesilapan diri kita. 

Usahakan supaya kita dapat membentuk suasana kondusif yang membolehkan minda dan hati kita terbuka dengan kritikan.


Monday, September 29, 2014

Ayat-ayat "power"







Ganjaran, pengiktirafan dan pujian seringkali kita dengar tetapi tidak akan menjadi realiti kalau tidak digerakkan. Tidak kisah bagaimana kita melakukannya, yang penting adalah bergerak dan bertindak. 

Memberi ganjaran tidak semestinya dalam bentuk wang tunai kerana wang bukanlah satu-satunya cara yang berkesan. 

Nasihat saya, jika anda memiliki wang, gunakannya secara bijak iaitu supaya dihargai oleh orang lain. 

Sebaris ayat yang ringkas dan padat memadai untuk mencergaskan minda dan menyegarkan jiwa. Antara ayat ini adalah, “Terima kasih, saya amat menghargai tugasan anda” atau “Bantuan yang anda berikan tempoh hari memudahkan sedikit hidup saya”. 

Kita juga boleh mencipta ayat-ayat power mengikut kesesuaian.



Sunday, September 28, 2014

Kualiti seiring produktiviti







Kualiti dan produktiviti adalah seiring. Kualiti tinggi bermakna produktiviti pun tinggi. Kualiti rendah, produktiviti pun rendah. 

Semua orang hendakkan kualiti dan produktiviti yang tinggi. 

Saya ingin bertanya kepada anda, apakah faktor yang menentukan kualiti dan produktiviti? Adakah teknologi, sistem, kewangan atau yang lain? 

Curt Jones, eksekutif kanan kualiti di Institut Kualiti Persekutuan Amerika Syarikat berkata, “Manusialah yang memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti”. 

Saya juga bersetuju dengan pandangan ini iaitu faktor manusia yang menentukan kualiti dan produktiviti. Ciri-ciri orang yang berkualiti antaranya merangkumi kualiti pendidikan, kemahiran teknologi dan sahsiah terpuji. 

Rangkuman kualiti seperti ini mengukuhkan individu yang produktif.




Saturday, September 27, 2014

Propaganda Isis tarik perhatian





Wilayah Isis (sumber wikipedia)

Kemunculan Isis ataupun Islamic State of Iraq and Syria menjadi perhatian dunia ketika ini. Isis juga dikenali sebagai Isil, Da'esh dan ad-Dawlah al-Islamiyah ditubuhkan pada tahun 1999. Gerakan ini bermula dengan Jama'at al-Tawhid wal-Jihad.

Isis berkembang dan menjadi kuat apabila bergabung dengan al-Qaeda Iraq yang mengambil bahagian dalam pertempuran melawan Amerika Syarikat pada 2004. Seterusnya menyertai Majlis Shura Mujahidin untuk muncul sebagai Islamic State of Iraq and Syria.

Kepimpinan Abu Bakar a-Baghdadi mendapat sokongan di Iraq akibat daripada peminggiran golongan Sunni dalam ekonomi dan politik. Gerakan ini terlibat dalam peperangan saudara di Syria dan membentuk wilayah sendiri di Syria yang merangkumi Ar-Raqqah, Idlib, Dier ez-Zor dan Aleppo. Kini, Isis mempunyai 4,000 anggota di Iraq.

Pengisytiharan Negara Islam menjadikan Isis terkenal dan mencuri tumpuan masyarakat dunia. Propaganda memenggal leher tawanan Barat menjadikan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat mengambil keputusan melancarkan serangan udara ke kawasan pentadbiran Isis.

Progapanda Isis berjaya menarik ramai pemuda Islam untuk menganggotai kumpulan mereka. Kewujudan kelompok pejuang Isis dari Asia Tenggara menunjukkan terdapat minat yang mendalam kelompok tertentu untuk menyertai Isis dan perjuangannya.

Khatibah Asia Tenggara yang kebanyakannya dianggotai pemuda dari Indonesia dan Malaysia menjadikan rantau ini berhadapan dengan ancaman keselamatan rentas sempadan. Tangkapan pihak berkuasa Malaysia ke atas tiga orang pemuda yang sedang bersiap-siap ke Syria membuktikan bahawa mereka sanggup meninggalkan keluarga, pekerjaan dan kesenangan hidup untuk berjuang di Syria.

Salah seorang daripada mereka ialah arkitek. Kejayaan dalam dunia kerjaya tidak menghalangnya untuk pergi ke medan perang. Apakah yang menyebabkannya bertindak begitu? Soalan ini wajar difikirkan supaya kita dapat mengetahui punca sebilangan kecil rakyat Malaysia yang sanggup bersama kumpulan-kumpulan pejuang di Syria, Iraq dan sebagainya. 

Apakah pemergian mereka atas faktor menjaga kesucian agama, faktor kepimpinan atau ada tarikan lain yang menjadikan perjuangan mengangkat senjata itu sangat istimewa?

Memberi tumpuan kepada Isis sebenarnya memberi inspirasi baru kepada kumpulan pemisah yang wujud di seluruh dunia khususnya di negara-negara minoriti umat Islam yang ditindas. Kumpulan-kumpulan ini merasakan mereka boleh berjaya seperti Isis dan bertindak mengaitkan diri mereka dengan Isis melalui pernyataan atau tindakan yang menyamai tindakan Isis.

Isis dilihat menawarkan penyelesaian kepada jiwa yang memberontak kumpulan-kumpulan pemisah yang tidak mahu lagi menjadikan meja rundingan sebagai penyelesaian. Oleh kerana tumpuan ini, tidak ustahil akan muncul kumpulan yang aktif dan ekstrem di Selatan Filipina atau Selatan Thailand. Laporan media baru-baru ini menunjukan seorang pejuang pemisah dari China sudah ditawan dalam pertempuran dengan askar Iraq.

Sikap Malaysia yang berterus-terang menganggap Isis sebagai pertubuhan pengganas adalah langkah tepat untuk menolak kehadiran sebarang elemen simpati terhadap kumpulan itu. Seharusnya media kerajaan memberi ruang kepada penerangan yang lebih banyak berkaitan keganasan kumpulan ini yang bukan sahaja menakutkan masyarakat malah memberikan imej negatif kepada Islam.

Islam tidak berkembang ke seluruh dunia melalui kezaliman atau kekerasan sebaliknya melalui dakwah dan tarbiyah. Kaedah ini memang mengambil masa tetapi mampu membina sebuah tamadun. Belum ada pejuang Islam yang berjaya dengan memilih pendekatan kekerasan.

Pengembangan Isis wajar dikawal dan dibendung. Jika tidak suatu hari nanti akan ada seseorang yang akan berkata, "Kami menyeru kepada kamu untuk taat dan patuh kepada pemimpin kami. Jika tidak, kamu akan diperangi".


Friday, September 26, 2014

Hormat diri dan hormati orang lain








Apabila menyebut perkataan “ganjaran”, kerapkali disamakan dengan wang ringgit. Lain-lain bentuk ganjaran seperti gaji, bonus, faedah, tuntutan perjalanan atau elaun adalah antara ganjaran yang sering difikirkan. 

Hari ini wang ringgit memang penting namun jika wang yang kita fikirkan, wang menjadi sebab yang kuat untuk kita bangun pagi ke tempat kerja. Sifirnya mudah kerana dengan wang kita boleh memiliki banyak benda. 

Namun apabila kita semakin memahami erti hidup, dua perkara teratas dalam senarai ganjaran ialah kehormatan diri dan menghormati orang lain. 

Orang yang merasakan dirinya ada kehormatan atau rasa dihargai, dia akan memusatkan fokus pada kaedah kerja yang paling baik, lebih produktif dan seronok dengan kerjaya.



Thursday, September 25, 2014

Suara tinggi sakitkan telinga






Meninggikan suara sehingga sampai ke tahap menjerit atau berteriak walaupun dalam perbualan yang santai memang menyakitkan telinga. 

Contohnya jika ada orang yang bertanya, “Di mana tuala putih tadi?” Lalu dia menerima jawapan “Tuuu…” dengan suara tinggi seolah-olah rakannya ada masalah pendengaran dan perlu meninggikan suara. 

Nasib baik rakannya bukan jenis pemarah dan mengambil sikap “cool” serta tidak banyak cakap. 

Begitu juga drama tempatan kita yang memaparkan perbualan suami dan isteri ketika bertekak. Mimik muka, gaya tangan dan suara tinggi menjadi pilihan ketika menunjukkan aksi marah suami atau isteri walaupun jarak yang hampir. 

Saya simpulkan motivasi ini sebagai apabila adab semakin luntur, nilai diri semakin kurang dihargai.



Wednesday, September 24, 2014

Jangan mengalah







Pujian dan pengiktirafan dapat mengubah haluan hidup seseorang, sama ada anak-anak yang selalu bergaduh, pelajar yang kerap ponteng sekolah, pekerja yang bermasalah mahupun orang yang berada pada tahap pencapaian sederhana. 

Saya berkongsi dengan anda tentang cabaran hidup seorang pemuda yang mahu menjadi penulis. 

Dia tidak ke sekolah selama empat tahun. Bapanya dipenjarakan kerana gagal membayar hutang. Hidupnya sangat miskin, jadi berlapar sudah menjadi kebiasaan. 

Suatu hari dia mendapat kerja sebagai penampal label botol dalam sebuah gudang yang penuh dengan tikus. Dia tidak ada keyakinan menulis tetapi cuba juga menghantar manuskrip tersebut. Banyak kali ditolak, akhirnya seorang editor menerima manuskrip dan memuji tulisannya tetapi tidak dibayar. 

Walau bagaimanapun dia sangat gembira sehingga merayau-rayau di tepi jalan sambil menangis. 

Dia yang saya maksudkan ialah Charles Dickens, penulis novel “A Tale of Two Cities”.



Tuesday, September 23, 2014

Makanan segera dan masakan rumah









1.0  Pengenalan

Pemakanan didefinisikan sebagai kombinasi proses yang dilalui oleh organisme hidup, menerima dan menggunakan bahan makanan yang diperlukan untuk mengawal fungsi-fungsinya dan untuk pertumbuhan serta memperbaharui komponennya (Krause & Mahan, 1993). Pemakanan juga merangkumi hubungan makanan dengan kesejahteraan (kesihatan) tubuh manusia, termasuklah metabolisme makanan, nilai pemakanan sesuatu jenis makanan, keperluan makanan daripada segi kualitatif dan kuantitatif pada peringkat umur dan tahap perkembangan yang berbeza untuk memenuhi keperluan perubahan fisiologi dan aktiviti, perubahan dalam keperluan nutrien dan makanan yang mengiringinya atau mencegah penyakit dan faktor-faktor sosio ekonomi, psikologi, sosial dan juga budaya yang mempengaruhi pemilihan dan pengambilan makanan. Menurut Sir Harold Himsworth (1980) pula menyatakan pemakanan ialah analisis mengenai kesan makanan dan juzuk-juzuknya ke atas organisma hidup.

Umum mengetahui masyarakat sekarang lebih menggemari makanan segera berbanding masakan rumah. Bagi mendalami budaya pemakanan dalam kalangan masyarakat di Melaka, kami membuat keputusan untuk fokus kepada perbezaan di antara makanan segera dan masakan rumah. Dalam kajian ini kami akan mengutarakan tentang perbezaan kualiti dan kesan-kesan pengambilan makanan segera dan masakan rumah.

Untuk tujuan membezakan makanan segera dengan masakan rumah, faktor-faktor seperti masa, gaji, trend dan sebagainya menjadi tumpuan kajian ini dijalankan. Faktor-faktor ini mencerminkan gaya hidup masyarakat sekarang yang mencetuskan budaya pemakanan makanan segera.

Bagi kesan-kesan makanan segera dan masakan rumah pula, kami bahagikan kepada kesan positif dan kesan negatif. Hal ini bagi membolehkan pengguna membuat keputusan sendiri mengenai pangambilan makanan segera dan masakan rumah. Kesan positif akan membincangkan tentang kebaikan pengambilan makanan segera dan masakan rumah itu sendiri, manakala kesan negatif pula akan membincangkan mengenai keburukannya.

1
.2 Latar Belakang

Apabila menyebut tentang makanan segera, pasti  piza dan burger yang terbayang di benak fikiran. Makanan segera atau fast food adalah suatu istilah yang menunjukkan sesuatu yang disediakan dan dihidangkan dengan pantas. Sajian ini juga tidak memerlukan  masa yang banyak untuk disediakan dan biasanya istilah ini merujuk kepada makanan yang dijual di restoran yang pantas penyediaannya dan dihidangkan kepada pelanggan secara berbungkus, sama ada untuk makan di situ ataupun dibawa pulang. Istilah ini telah diakui di dalam kamus Merriam-Webster pada tahun 1951.

Burger, sejenis sandwich sebenarnya mula diperkenalkan di  Pesta St Louis World pada tahun 1904, Hot Dog juga diperkenalkan di situ dan restoran piza yg pertama di Amerika dibuka di New York pada tahun berikutnya. Pesta ini sebenarnya adalah pencetus kepada perkembangan pembuatan makanan segera, namun ini berlaku hampir setengah abad.

Fenomena makanan segera mula berkembang secara beransur-ansur bermula dari  sebuah restoran yang berkonsepkan pandu lalu di selatan California awal tahun 1940. Para pemilik restoran mengambil kesempatan dengan peningkatan populariti kereta agar pelanggan dapat menjamu selera tanpa perlu keluar dari kereta mereka. Kemudian, pada tahun 1948, mereka merancang untuk mencuba sesuatu yang baru iaitu meringkaskan menu makanan dengan tidak mggunakan sebarang  kutleri seperti sudu, garpu, pisau dan mereka juga menggunakan  pinggan mangkuk pakai buang. Ini amat memudahkan pelanggan kerana mereka hanya membuat pesanan di kaunter dan mengambil pesanan, menepati konsep makanan segera.

Masakan rumah pula ialah makanan yang disediakan sendiri atau dalam erti kata lain makanan yang dimasak sendiri. Harga sekeping piza yang dibuat daripada pelbagai sos, bahan dan perisa yang diimport adalah lebih mahal daripada sebungkus nasi lemak yang dibuat dari beras, ikan bilis dan santan kelapa.

Selain daripada soal harga, makanan tempatan juga lebih berkhasiat berbanding makanan Barat yang selalunya sarat dengan pelbagai perisa kimia. Ulam-ulaman kampung yang hijau, bukan sahaja enak dimakan tetapi sekali gus menjadi ubat kepada banyak penyakit.  Jika kita mengamalkan masak dan makan sendiri, secara tidak langsung kita kurang makan di luar. Bukanlah makanan di luar itu tidak baik tetapi kita sendiri tidak pasti bagaimana penyediaannya di belakang. Melainkan kita pergi sendiri melihat ketika tukang masak restoran itu menyediakannya. Tidak dinafikan memang ada kedai makan yang memang kurang menjaga aspek kebersihan. Sebarang makanan yang kotor dan boleh memudaratkan kesihatan adalah haram secara teknikalnya. Selain itu, makanan yang disediakan dirumah juga didapati lebih berkhasiat kerana dapat dipelbagaikan cara masakannya menepati jumlah kalori yang disarankan.

1.3 Objektif Kajian

Antara objektif-objektif kajian yang telah dijalankan adalah mengkaji budaya pemakanan di kalangan masyarakat Melaka, mengenal pasti perbezaan kualiti makanan segera dan makanan sendiri dan kesan-kesan pengambilan makanan segera dan makanan sendiri.

1.4 Kepentingan Kajian

Kajian ini dijalankan untuk mengetahui perbezaan antara makanan segera dan makanan rumah, mengetahui budaya pemakanan orang Melaka dan mengetahui kesan-kesan pengambilan makanan rumah dan makanan segera.

1.5 Limitasi Kajian

Kajian ini telah  dijalankan di sebuah pasaraya  di sekitar bandaraya Melaka iaitu Jusco dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Antara golongan yang terlibat untuk menjayakan kajian ini ialah golongan remaja iaitu pelajar lepasan sekolah, diploma dan ijazah. Kajian ini memerlukan golongan ini menjawab borang kaji selidik yang berkaitan dengan kajian yang bertujuan untuk mengenal pasti budaya pemakanan mereka pada masa kini. Soalan kaji selidik ini diagihkan kepada 25 responden  yang berbeza.


2.0 Sorotan Kajian

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka menganggarkan pada tahun 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai berat badan berlebihan, manakala 700 juta daripadanya mengalami masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti. Apa yang membimbangkan, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun. Di Malaysia, sehingga 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.

Setelah meneliti kajian-kajian yang dijalankan, terdapat beberapa kajian yang dijalankan dengan mengunakan internet di mana soal selidik itu dijalankan secara rawak ke atas penduduk di serata pelosok dunia. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kajian yang dijalankan secara manual dengan memilih beberapa orang responden yang berbeza umur.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementrian Kesihatan Malaysia, mereka  mengandaikan makanan segera yang semakin popular dalam kalangan rakyat negara ini umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. Namun, pengambilan makanan segera sejak usia bayi menyebabkan sistem badan menjadi lemah dari awal lagi kerana sudah terdedah kepada kandungan gula, garam dan lemak yang melebihi paras minimum yang diperlukan badan kita (Berita Harian, 21 Februari 2007). Selain itu, tahap bahaya makanan segera sama taraf atau lebih tinggi lagi berbanding rokok atau minuman keras.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), antara makanan dan minuman segera yang dikategorikan sebagai tidak berkhasiat ialah mi segera, minuman bergas, gula-gula, burger dan coklat. Makanan terbabit merupakan penyumbang kepada penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang dihidapi kira-kira tiga juta penduduk negara ini. CAP dalam kajiannya turut mendapati hampir keseluruhan murid sekolah menjadi sasaran kepada makanan segera dan terdedah kepada gejala penyakit kritikal itu sejak di usia muda. Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kandungan gula berlebihan dan pewarna tiruan merupakan antara racun yang tersembunyi dalam makan segera. Pada masa yang sama, kajian CAP juga mendapati kanak-kanak yang gemar memakan makanan segera kurang aktif berbanding rakan sebaya mereka yang mengamalkan pemakanan sihat.

Di London, satu kajian telah dijalankan oleh oleh penyelidik dari dari Universiti Sains dan Kesihatan Oregon mendapati makanan segera bukan sahaja merosakkan gigi dan menambah berat badan tetapi ia turut merosakkan otak. Hal ini berikutan bahan kimia lemak trans yang ditemui dalam makanan berminyak dan makanan yang diproses, menghantar isyarat bercampur serta merosakkan otak. Keadaan itu menyebabkan keupayaan otak untuk mengawal selera makan berkurangan. Gene Bowman dalam kajiannya ke atas kalangan golongan berumur berkulit putih di Oregon, mendapati  pada dasarnya, dengan makan makanan segera, otak lama-kelamaan semakin tidak berupaya dan tidak sedar apa yang telah dimakan dan membuatkan seseorang itu terus lapar dan makan. Kerosakan otak merupakan perkara terbaru dalam senarai masalah kesihatan yang berlaku ekoran pemakanan lemak trans atau lemak tidak tepu. Kajiannya telah disokong oleh kajian-kajian sebelum ini yang mengutarakan perbezaan kesan makanan segera yang sedap dan tidak sedap. Restoran di New York dan Switzerland pula telah mengharamkan hidangan makanan yang mengandungi lemak trans.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kassim Chan Management Consultants Sdn.Bhd, permintaan terhadap makanan segera meningkat dari semasa ke semasa. Permintaan dunia terhadap makanan konvenien dan juga makanan segera dianggarkan berjumlah US400 billion. Sementara di Malaysia permintaan makanan segera adalah  sebanyak RM1.6 billion. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Consumer Reports on Eating Share Trends (CREST) secara kasar, antara tahun 1990 penjualan makanan segera di dunia adalah $109.5 billion dan meningkat setiap tahun sebanyak dua peratus.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Jean Carper, dalam bukunya The Food Pharmacy, makanan yang dimasak sendiri juga dikenali sebagai makanan kesihatan yang dipenuhi dengan agen-agen farmakologikal dan bertindak sebagai bahan ubatan dalam tubuh dan beliau turut menjangkakan manusia masa hadapan akan menggunakan lebih banyak sumber makanan dan mengurangkan penggunaan ubat-ubatan bagi menjaga kesihatan. Hal ini kerana makanan yang dimasak sendiri lebih lengkap dan sesuai dengan piramid makanan serta dapat mengurangkan kandungan kalori makanan berbanding makanan segera yang sememangnya tetap kadar kalorinya.

Kajian mendapati, seorang daripada tiga orang di negara membangun terjejas kesihatannya kerana kekurangan vitamin dan mineral. Keadaan itu mendedahkan mereka pada risiko jangkitan, kecacatan fizikal dan perkembangan intelektual. Pakar Pemakanan Kanan, Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd, Ng Pui Kunn, berkata mengatasi pemakanan tidak sempurna, piramid makanan boleh dijadikan panduan asas bagi memastikan kita mendapat zat makanan yang lengkap. Justeru itu, pemilihan makanan yang seimbang dan sihat amat penting sekali. Pengambilan makanan yang dimasak sendiri dapat mengurangkan jumlah lemak yang diperlukan dan dapat meningkatkan jumlah karbohidrat yang diperlukan oleh badan manusia.


3.0 Metodologi Kajian

Bagi melaksanakan kajian ini dengan efektif, terdapat beberapa fasa yang terlibat dalam proses kajian mengenai perbezaan antara makanan segera dan masakan rumah. Perbincangan juga akan menyentuh mengenai populasi, sampel kajian dan instrumen kajian yang digunakan serta kaedah bagaimana kajian analisa data dilakukan.
            
3.1 Reka Bentuk Kajian

Rekabentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan kaedah kuantitatif iaitu menggunakan instrumen soal selidik yang diedarkan oleh penyelidik kepada responden yang telah dikenal pasti.

Berdasarkan Tuckmen (1985), kajian deskriptif menerangkan fenomena dengan menganalisis data deskriptif yang diperolehi dengan soal selidik atau media-media. Kajian tinjauan secara deskriptif adalah kajian terhadap perkara yang sedang berlaku. Keadaan ini melibatkan pengumpulan data-data, membuat interprestasi (taksiran), perbandingan dan merumus generalisasi (kesimpulan secara umum) (Van Dalen, 1993).

3.2 Sampel Kajian

Kajian ini dilakukan di sekitar bandar Melaka dan tertumpu kepada masyarakat di negeri Melaka yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Sektor pekerjaan responden merangkumi sektor awam, swasta dan pelajar. Kajian ini memfokuskan terhadap budaya pemakanan, perbezaan kualiti makanan dan kesan pengambilan makanan ini sama ada baik atau buruk.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, kaum Melayu menjadi responden teramai berbanding kaum Cina dan India. Kelayakan akademik responden  pula terdiri dipelopori oleh mereka yang mempunyai pendidikan peringkat ijazah diikuti oleh peringkat sijil dan diploma. Di peringkat pekerjaan pula, didahului oleh pelajar,s ektor swasta dan seterusnya sektor awam.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, sebanyak 68% terdiri daripada kaum Melayu, 16% dari kaum Cina dan 16% dari kaum India. Berdasarkan kelayakan akademik, sebanyak 64% daripada kelayakan ijazah, 24% daripada kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan 12% daripada kelayakan diploma. Hal ini dapat disimpulkan bahawa kaum Melayu yang berkelayakan akademik ijazah mempunyai peratus yang lebih tinggi menjadi responden dalam kajian ini.


4.0 Hasil Kajian dan Perbincangan

Hasil kajian ini membincangkan dan memberi gambaran tentang dapatan hasil kajian yang diperolehi serta penumpuan lebih kepada perbincangan berdasarkan analisis yang dibuat ke atas kajian yang kami jalankan. Kami akan menjelaskan jawapan-jawapan yang diberikan oleh responden yang menjawab borang soal selidik yang kami sediakan berdasarkan teknik-teknik yang telah diperjelaskan dalam metodologi kajian.

Tujuan soal selidik adalah untuk mengetahui pola pemakanan masyarakat di kawasan kajian kami iaitu di sekitar Melaka. Di dalam borang soal selidik ini, terdapat tiga bahagian iaitu budaya pemakanan, perbezaan kualiti makanan dan kesan pengambilan makanan. Bahagian pertama iaitu budaya pemakanan meliputi perkembangan budaya pemakanan makanan segera dan  masakan rumah dalam kalangan masyarakat di Melaka, manakala bahagian perbezaan kualiti makanan memperihalkan pandangan masyarakat terhadap kualiti makanan segera dan masakan rumah. Bahagian kesan pengambilan makanan pula menitikberatkan tentang kesan-kesan pengambilan makanan segera.

Namun yang demikian, dapatan kajian ini hanya berdasarkan jumlah responden yang  menjawab borang soal selidik. Responden  terdiri daripada 25 orang di mana lima orang daripada responden adalah orang awam dan selebihnya 20 orang merupakan pelajar dari UTeM. Carta dan graf digunakan bagi tujuan menerangkan hasil kajian yang diperolehi.

Rajah 1 : Jantina responden

Rajah 1 telah dijalankan keatas 25 orang responden dimana 32% daripada keseluruhan adalah lelaki manakala 65% responden adalah perempuan disekitar Bandar Melaka.

Rajah 2: Bangsa responden

Rajah 2 menunjukan komposisi bangsa yang terlibat di dalam kajian kami. 68% daripada responden berbangsa Melayu, manakala responden berbangsa Cina dan India berkongsi peratus yang sama iaitu sebanyak 16%. Lain-lain bangsa pula tidak mencatatkan sebarang peratusan sebagai responden dalam kajian ini.

Rajah 3: Pekerjaan responden

Rajah 3 menunjukkan sektor-sektor pekerjaan responden di sekitar Bandar Melaka. Peratusan tertinggi responden dalam kajian kami adalah pelajar iaitu sebanyak 64% diikuti oleh sektor swasta sebanyak 20% dan sektor awam sebanyak 16%. Pelajar menunjukkan peratusan tertinggi kerana mereka merupakan majoriti responden bagi kajian kami iaitu pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka manakala selebihnya adalah individu yang telah bekerja.

Rajah 4: Kelayakan akademik responden

Rajah 4 menunjukkan senarai kelayakan akademik responden yang terlibat. Responden yang mempunyai kelayakan akademik ijazah mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 64%, diikuti 24% dengan kelayakan SPM dan baki 12% dengan kelayakan akademik diploma. Responden yang berkelayakan PMR pula tidak mencatatkan sebarang peratusan  di  dalam kajian ini.

Rajah 5:Umur responden

Rajah 5 menunjukkan lingkungan umur responden yang terlibat sepanjang kajian soal selidik ini dijalankan. Sebanyak 76% responden berumur di antara 18 hingga 25 tahun telah mencatatkan jumlah yang tertinggi, manakala 16% responden berumur  dalam lingkungan 31 tahun dan ke atas. Baki 8% pula merupakan responden yang berumur antara 26 hingga 30 tahun. Responden yang mencatatkan jumlah yang tertinggi adalah dari kalangan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Rajah 6 : Perkembangan ekonomi menyumbang kepada budaya pemakanan segera dalam kalangan masyarakat?

Majoriti memilih YA bahawa perkembangan ekonomi menyumbang kepada budaya pemakanan segera dalam kalangan masyarakat. Ekonomi negara akan meningkat kerana sekiranya masyarakat lebih memilih makanan segera daripada masakan rumah mereka akan membayar sebanyak 6% cukai kepada negara dan ini akan meningkatkan ekonomi negara.
  
Rajah 7 : Peningkatan pendapatan individu dalam kalangan masyarakat menyebabkan makanan segera lebih menjadi pilihan berbanding masakan sendiri?

Majoriti memilih YA iaitu peningkatan pendapatan individu dalam kalangan masyarakat menyebabkan makanan segera lebih menjadi pilihan berbanding masakan sendiri. Hal ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat responden lebih memilih makanan segera kerana penyediaan untuk makanan segera lebih cepat di samping makanan segera ini mudah didapati kerana pada masa sekarang restoran makanan segera sangat mudah didapati kerana lambakan restoran makanan segera itu sendiri. 
  
Rajah 8 : Pemilihan makanan segera ini kerana ‘trend’ makanan segera itu sendiri yang sering diwarwarkan dalam media massa dan media elektronik?

Majoriti memilih jawapan YA iaitu makanan segera ini kerana ‘trend’ makanan segera itu sendiri yang sering diwar-warkan dalam media massa dan media elektronik. Hal ini kerana boleh dikatakan setiap kali iklan di televisyen ditayangkan, sering disiarkan mengenai makanan segera ini yang mana menunjukkan kesedapan makanan segera itu sendiri dan keterujaan masyarakat menyebabkan makanan ini menjadi ‘trend’ dalam kalangan masyarakat.
  
Rajah 9 : Faktor masa yang menyebabkan anda memilih makanan segera berbanding masakan sendiri?

Berdasarkan  kajian ini, majoriti memilih YA iaitu faktor masa yang menyebabkan mereka memilih makanan segera berbanding masakan sendiri. Hai ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat,  majoriti responden merupakan pelajar dan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta. Jadi, dapat disimpulkan bahawa faktor masa sangat berkait rapat dengan dalam pemilihan makanan segera ini.
  
Rajah 10 : Masakan sendiri lebih berkualiti berbanding makanan segera?

Berdasarkan kajian yang dibuat, sebanyak 88% menjawab YA iaitu peratusan majoriti yang mengatakan masakan sendiri lebih berkualiti berbanding makanan segera. Hal ini kerana semua sedia maklum di dalam masakan sendiri kadar perasa sangat rendah jika dibandingkan dengan makanan segera dan juga kebersihan masakan rumah juga terjamin ini. Jadi, sudah tentu masakan rumah ini lebih berkualiti jika dibandingkan dengan makanan segera berdasarkan apa yang dihuraikan.
  
Rajah 11 : Adakah anda setuju makanan segera lebih berkalori berbanding
dengan masakan sendiri?

Berdasarkan dapatan kajian ini, majorit memilih jawapan YA iaitu makanan segera lebih berkalori berbanding dengan masakan sendiri. Mana tidaknya, jika dirungkapkan kalori seketul ayam dari makanan segera lebih tinggi berbanding ayam goreng yang digoreng dirumah. Hal ini kerana, untuk mengekalkan tekstur ayam tersebut, pelbagai perasa tambahan yang diletakkan di dalam makanan segera ini.

Rajah 12 : Adakah benar makanan segera ini dikaitkan dengan makanan yang tidak sihat kerana mengandungi banyak perasa yang berlebihan dalam makanan?

Majoriti  memilih jawapan YA iaitu makanan segera ini dikaitkan dengan makanan yang tidak sihat kerana mengandungi banyak perasa yang berlebihan dalam makanan. Hal ini kerana terdapat kajian-kajian terdahulu yang membuktikan bahawa makanan segera ini mengandungi  perasa yang berlebihan yang tidak baik untuk kesihatan kerana boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada masyarakat contohnya masalah penyakit kronik yang  boleh membawa maut.

Rajah 13 : Adakah  mereka yang mengambil makanan segera ini berisiko tinggi untuk mengidap penyakit yang kronik yang boleh membawa maut?

Melalui kajian yang dibuat, majoriti  memilih jawapan YA iaitu mereka yang mengambil makanan segera ini berisiko tinggi untuk mengidap penyakit yang kronik yang boleh membawa maut. Hal ini kerana, seperti yang kita semua tahu kandungan kadar perasa dalam makanan segera sangat tinggi dan ini boleh meningkatkan risiko  menghidap penyakit kronik.

Rajah 14 : Adakah golongan yang mengambil masakan rumah lebih panjang
jangka hayat mereka?

Berdasarkan kajian yang dilakukan, majoriti menjawab tidak iaitu golongan yang mengambil masakan rumah tidak semestinya lebih panjang jangka hayat mereka kerana hayat seseorang tidak hanya bergantung kepada makanan semata-mata. Hal ini kerana faktor lain juga memainkan peranan dalam menentukan hayat seseorang individu.

Rajah 15 : Adakah makanan segera baik untuk anda?

Berdasarkan kajian yang dibuat terhadap 25 orang responden, sebanyak 64% menjawab TIDAK iaitu makanan segera ini tidak baik untuk mereka. Hal ini kerana, jika seseorang itu sedar apa yang terkandung di dalam makanan segera itu sendiri mereka akan mengetahui bahawa makanan segera ini amat tidak baik untuk mereka kerana boleh memberikan masalah terutama masalah kesihatan.


5.0 Kesimpulan

Adalah diketahui umum bahawa pemilihan makanan dalam kehidupan seharian adalah sesuatu perkara yang amat penting dan seharusnya dititikberatkan kerana makanan yang sihat akan dapat memberikan kesihatan tubuh badan yang lebih terjamin. Budaya pemakanan yang sihat telah banyak diuar-uarkan samada melalui media massa mahupun media elektronik dan pastinya dengan teknologi moden yang sedia ada pada masa kini adalah lebih mudah bagi umum untuk mencari maklumat-maklumat penting mengenai pemakanan seharian. Namun hasil kajian ini mendapati bahawa kebanyakan umum masih memandang remeh akan hal ini. Walaupun majoriti mereka mengetahui akan hakikat bahawa makanan segera jauh lebih berbahaya dari segi zat-zat yang diperlukan oleh tubuh badan berbanding masakan sendiri namun atas faktor-faktor seperti kekangan waktu dalam kesibukan bekerja dan telah menjadi 'trend' yang sukar untuk dikikis menjadikan masyarakat kurang memandang serius dalam hal pemilihan makanan. Tidak kurang juga ada dalam kalangan umum yang masih tidak tahu dan kurang pasti mengenai apakah itu budaya pemakanan dan kesan-kesannya terhadap diri mereka.

Masakan sendiri yang lebih terjamin kebersihannya dan kita ketahui tahap kalorinya kerana kita sendiri yang menyediakannya seharusnya menjadi pilihan masyarakat kerana sekurang-kurangnya ianya adalah salah satu cara untuk mereka menjaga kesihatan memandangkan masih ramai lagi yang kurang kesedaran untuk membuat pemeriksaan perubatan dan tiada masa untuk beriadah pada hujung minggu. Sehubungan dengan itu, walaupun masakan sendiri tidak menjamin jangka hayat seseorang individu namun jika dilihat kepada jumlah kalori yang terdapat dalam makanan segera dan faktor-faktor lain yang kita sendiri tidak pasti seperti tahap kebersihan dan bagaimana cara pembuatannya berbanding masakan sendiri sudah cukup membolehkan kita berfikir yang mana seharusnya menjadi pilihan masyarakat pada masa kini. Oleh itu, selain daripada program-program kesedaran tentang gaya hidup sihat kepada masyarakat dan bantuan media massa serta media elektronik yang membawa tujuan yang sama hanya akan sia-sia sekiranya masyarakat itu sendiri tiada rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam diri mereka sendiri. Sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap hal-hal seumpama ini masih terlalu sukar untuk diperkatakan kerana walaupun hakikat masyarakat mengetahui akan perkara ini namun disebalik segala tindak tanduk perbuatan mereka pada pandangan kasar manusia sudah cukup menjawab segala-galanya.


Rujukan

Makanan Segera . Diakses di http://pengajianam900.forumotion.com/t1060-makanan-segera

Makanan Segera “Pembunuh Senyap”. Diakses di http://malaysiaboy.wordpress.com/2011/04/29/makanan-segera-pembunuh-senyap/


MZ Zainudin, Nur Hanis Marini Abrahim, Sri Amira Musa, Norulhusna Talib, Nor  Shuhaida Nabila Salmi, Noraini Yaakub, Norhaslinda Ishak


Sunday, September 21, 2014

Banyak cara menegur







Semasa anda sedang menolak troli untuk membuat bayaran di kaunter, tiba-tiba muncul seorang pelanggan dari sebelah kiri anda, memotong giliran dan terus membuat bayaran. Katanya dia hendak cepat. 

Apakah yang anda rasa dan fikirkan ketika itu? 

Tentulah berasa tidak senang dan mengocakkan sedikit emosi anda. 

Memang ada dalam masyarakat kita mereka yang tergesa-gesa dengan pelbagai alasan yang dicipta. Mereka ini kurang prihatin dan jarang mengikut aturan. 

Kita harus menerima keadaan ini dan berazam akan berusaha membetulkan sikap seperti itu. Kita boleh menulis tentang adab dan etika semasa beratur di kaunter, kita juga boleh melukis kartun untuk menunjukkan etika yang betul dan salah semasa di kaunter bayaran dan kita juga boleh memberi syarahan atau ceramah kepada generasi muda yang lebih mudah belajar.

Pokoknya banyak cara untuk membuat teguran ke arah perubahan.



Saturday, September 20, 2014

Cabar untuk kuatkan semangat








Orang lain jarang memberi respons yang baik apabila ditakut-takutkan. Orang lain bermaksud sesiapa sahaja yang kita kenal, ada kaitan dengan kita. 

Teknik berkesan untuk menggerakkan orang lain adalah memberi cabaran untuk diselesaikan, minta pendapat, beri dorongan dan semangat untuk bekerjasama. 

Cabaran bermaksud mencabar kemahiran sedia ada supaya membuka peluang bagi menunjukkan kebolehan sebenar. Bersikap keras, menggertak, meninggikan suara atau mendesak sebenarnya melemahkan jiwa dan merendahkan produktiviti sahaja. 

Jadi, elakkan daripada menakut-nakutkan sebaliknya ajak dan kongsi tugasan bersama-sama.