Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil
langkah yang liberal untuk mendemokrasikan pendidikan tingkatan enam. Mulai
tahun hadapan, pelajar-pelajar di tahap itu tidak perlu memakai uniform sekolah
seperti tingkatan lima. Kebebasan memakai pakaian harian merupakan langkah
berani yang mendapat persetujuan dan penyanggahan.
Mendemokrasikan pendidikan tingkatan enam
bermaksud pelajar dianggap berada dalam kelas mereka sendiri berdasarkan tahap
kematangan berfikir dan kesediaan untuk nampak lebih matang. Di negara-negara
maju, pelajar tingkatan enam sudah diberi kebebasan untuk memakai pakaian
kegemaran mereka. Pakaian yang pelbagai ini tidak pun menghalang mereka untuk
terus berjaya dalam pelajaran.
Debat sama ada uniform sekolah patut
dikekalkan kepada pelajar tingkatan enam wajar dikaitkan dengan reformasi pendidikan
negara. Sebahagian daripada silibus tingkatan enam mempunyai persamaan dengan
rakan mereka di matrikulasi. Subjek biologi, kimia dan fizik diajar pada tahap
kesenangan dan kesukaran yang sama tetapi dalam suasana yang berbeza.
Di kolej matrikulasi, pelajar sudah boleh
memakai pakaian pilihan sendiri, cuma terikat dengan peraturan dan cara hidup
sebagai pelajar matrikulasi. Mereka ada masa belajar sendiri, berupaya mengurus
keperluan hidup tanpa pengawasan ibu bapa dan boleh membuat keputusan sendiri.
Berbanding pelajar tingkatan enam, peraturan
sekolah perlu diikuti, belajar sepertimana rakan-rakan lain belajar dan cara
berfikir masih lagi dalam lingkungan sekolah. Pendedahan mereka kepada budaya
berdikari dan pengurusan diri masih beum meluas kerana setiap hari sentiasa
dipantau oleh ibu bapa atau warden asrama.
Justeru, memberi kebebasan berpakaian ke
sekolah adalah langkah tepat untuk membebaskan budaya sedia ada kepada budaya
baru yang lebih mendewasakan dan mencabar. Imej mereka juga lebih baik kerana
tidak lagi dianggap sebagai budak sekolah sebaliknya dilayan seolah-olah
pelajar dewasa.
Andaikata ada masalah kemiskinan yang
menyebabkan pelajar tidak mampu memakai pakaian yang berbeza corak dan warna
setiap hari, hal ini boleh diatasi dengan banyak cara. Saya berkongsi
pengalaman seorang pensyarah di sebuah universiti sekitar tahun 1980-an lalu
yang mendapat tahu salah seorang pelajar yang masih memakai uniform sekolah
walaupun berminggu-minggu berada di universiti. Beliau mengenal pasti punca
pelajar berkenaan memakai unform sekolah disebabkan faktor kemiskinan keluarga.
Lawatan ke rumah dan pemerhatian menunjukkan pelajar itu memang miskin dan
keluarga tidak mampu menyediakan pakaian yang lebih baik.
Pensyarah ini rasa bertanggungjawab untuk
membantu pelajar berkenaan. lalu beliau berfikir untuk berkongsi cerita dengan
rakan-rakan pensyarah yang lain tentang bentuk bantuan yang boleh diberikan.
Antara penyelesaiannya ialah memohon pensyarah dan kakitangan wanita untuk
mendermakan pakaian mereka seperti baju kurung yang tidak lagi dipakai. Idea
ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan bermula hari itu pelajar tersebut
sudah boleh tersenyum dan tidak lagi rasa rendah diri.
Di peringkat sekolah, masalah seperti ini
pasti akan berlaku kerana masih ramai pelajar miskin yang tidak mempunyai
banyak pakaian. Malah ada yang terpaksa berkongsi baju iaitu baju kakak
diberikan kepada adik-adik di bawahnya. Ia juga boleh berlaku dalam kalangan
anak-anak yatim yang tidak punya keluarga, yang tinggal di asrama atau rumah
persendirian. Tanpa wang, mereka hanya dapat mengitar semula uniform sekolah
sepanjang tahun.
Pihak kementerian boleh menggalakkan pelajar
tingkatan enam di sekolah seluruh negara
memakai pakaian biasa untuk menghadiri kelas. Terpulang kepada sekolah untuk
melaksanakannya. Sekolah di bandar mungkin tidak ada masalah tetapi di luar
bandar pasti ada yang perlu dibantu untuk membeli pakaian. Justeru, peringkat
awal ini, berilah peluang pada sekolah untuk membuat pilihan masing-masing berdasarkan
kemampuan pelajar mereka.