Wednesday, July 31, 2013

Rangsang kemahiran berfikir aras tinggi





Pelajar semakin bijak berfikir


Transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) yang berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif.

Secara umumnya, mengikut taksonomi Bloom, HOTS merujuk kepada empat aras teratas kemahiran berfikir (lihat grafik) iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, manakala aras paling bawah yang merujuk kepada kemahiran berfikir aras rendah (LOTS) iaitu memahami dan menghafal.      


Kemahiran berfikir antara enam ciri utama murid yang menjadi aspirasi kementerian untuk mereka berupaya bersaing pada peringkat global.    

Pelajar tak lagi menghafal

Ini bermakna, kurikulum yang digubal menerusi PPPM berhubung HOTS ialah inisiatif supaya pelajar tidak lagi hanya menghafal untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya tahu menggunakannya.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Amin Senin, berkata transformasi itu akan mengubah pengajaran dan pembelajaran yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan dan menghafal.

“Kita dapati keputusan pelajar Malaysia dalam ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tidak berada pada tahap memuaskan.       


“Kajian mendapati antara punca kepada keadaan itu ialah soalan dalam kedua-dua ujian yang menjadi penanda aras tahap pendidikan antarabangsa berbentuk HOTS, iaitu bukan mengingat sesuatu fakta, tapi bagaimana hendak menggunakannya.

“Kita menyedari kelemahan itu, seterusnya membuat cadangan dalam PPPM supaya HOTS diberi penekanan,” katanya kepada BH di sini.

Beliau berkata, walaupun HOTS wujud dalam kokurikulum sebelum ini, tidak dilaksanakan secara berfokus, sebaliknya konsep pemikiran itu hanya diharap digunakan pelajar secara semula jadi.

Katanya, pelaksanaan HOTS di bawah PPPM kali ini difokuskan kepada subjek Sains, Matematik dan Sejarah serta dilakukan secara menyeluruh membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran, soalan peperiksaan, penyediaan alat bantuan mengajar, malah diterapkan dalam aktiviti kokurikulum seperti kuiz dan pertandingan.

Konsep soalan peperiksaan ada elemen HOTS

Katanya, bagi memastikan pelajar mengaplikasi kemahiran berfikir, kementerian juga mengubah konsep soalan peperiksaan dengan memasukkan elemen HOTS dalam soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berperingkat.

“Sasaran Kementerian Pendidikan ialah sebanyak 40 peratus soalan HOTS dimasukkan dalam kertas soalan UPSR, manakala SPM (50 peratus) menjelang 2016,” katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan pelaksanaannya berjaya, guru terlebih dulu perlu mengikuti kursus jangka pendek dalam program i-Think kendalian Agensi Inovasi Malaysia, bagi membolehkan mereka menguasai teknik berfikir HOTS.

“Tahun ini, guru dari 500 sekolah dihantar mengikuti program ini dan tahun depan, kita mahu guru dari semua sekolah negara ini mengikuti kursus itu.

“Mereka akan pulang ke sekolah dan berkongsi kemahiran itu dengan rakan sejawatan seterusnya mengajar murid menggunakan teknik terbabit,” katanya.

Lebih interaktif

Mengulas lanjut, Amin berkata, penekanan terhadap HOTS secara tidak langsung mengubah corak dan proses pembelajaran dalam kelas, menjadikannya lebih interaktif kerana memerlukan pembabitan aktif pelajar dan guru.

“Kita tidak lagi melihat proses sehala dengan guru berada di depan kelas mengajar, manakala murid hanya menyalin dan menghafal.

“Sebaliknya guru perlu menggalakkan murid banyak bertanya dan membiarkan mereka meneroka rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang diajar, seterusnya mengaitkannya dalam kehidupan,” katanya.

Amin berkata, kejayaan pelaksanaan itu akan dinilai daripada keputusan peperiksaan pelajar, terutama cara pelajar menjawab peperiksaan berbentuk HOTS.


(Berita Harian, 31 Julai 2013)

 

Tuesday, July 30, 2013

Iktibar dari perkembangan di Guinea





 

oleh Karim Raslan
 
Rakyat Malaysia sewajarnya mengambil iktibar daripada perkembangan semasa di benua Afrika, apatah lagi syarikat-syarikat Malaysia merupakan pelabur negara membangun terbesar di Afrika dengan jumlah pelaburan sebanyak USD19 bilion.

Afrika salah satu destinasi memiliki potensi ekonomi yang luas. Menurut Bank Dunia, 5 dari 10 negara yang paling pesat membangun di dunia pada 2012 berasal dari Afrika. Namun begitu, risiko politik masih lagi menjadi faktor pertimbangan utama para pelabur.

Saya berkata sedemikian disebabkan pengalaman sebagai salah seorang ahli lembaga Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), sebuah organisasi yang bertujuan mengurangkan konflik global.

Bekas koloni Perancis ini kaya dengan sumber asli besi. Meskipun kaya dengan sumber semula jadi, Guinea merupakan negara yang miskin dan berpecah-belah. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 4 daripada setiap 5 orang rakyat Guinea hidup dalam keadaan miskin tegar.

Tambahan lagi, konflik antara kaum juga berleluasa. Pada minggu lepas, keganasan etnik tercetus di antara warga Guezre yang majoritinya beragama Kristian dan animisme dengan warga Muslim Konianke di rantau tenggara Guinea. Konflik tersebut telah meragut 100 nyawa.

Selain itu, menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2012 yang dikendalikan Transparency International, Guinea tersenarai antara negara paling korup di dunia - menduduki tangga ke-154 dari 174 negara.

Saya menyaksikan sendiri situasi di Guinea ketika temani salah seorang usahawan tersohor Asia Tenggara melawat negara tersebut kurang 20 tahun lalu. Kami telah berkunjung ke Ghana dan Republik Guinea – kedua-dua negara kaya dengan sumber semula jadi tetapi mempunyai situasi berbeza.

Di  Conakry, ibu kota Guinea, kami berpeluang bertemu dengan Lansana Conté, Presiden Guinea ketika itu - seorang bekas Jeneral. Saya masih ingat keadaan kota Conakry ketika itu yang dibelenggu dengan kemiskinan.

Ketika itu saya belum cukup memahami keadaan politik di Guinea dan boleh dikatakan sebagai “pemerhati” semata-mata.

Namun setelah beberapa tahun kemudian, saya lebih arif tentang situasi yang berlaku di sana dan mengapa Guinea masih dibelenggu konflik.

Untuk lebih memahami, kita harus mendalami sejarah perlombongan di Guinea. Simandou, yang terletak di bahagian tenggara Guinea merupakan kawasan yang kaya dengan deposit besi. Besi Guinea adalah besi yang berkualiti tinggi dan mendapat permintaan tinggi terutamanya dari China.

Di bawah pemerintahan Conté, sebahagian daripada hak perlombongan di Simandou telah dijual kepada syarikat Beny Steimetz Group Resources (BSGR) yang dimiliki usahawan Israel, Beny Steinmetz.

Keputusan Conté timbulkan kontroversi kerana merugikan penduduk Guinea. Pada 2010, BSGR menjual 51% daripada hak milik perlombongannya kepada syarikat perlombongan gergasi Vale dari Brazil dengan nilai USD2.5 bilion. Pada awalnya, BSGR membeli hak melombong di Simandou dengan hanya USD165 juta!

Seterusnya, setelah pelantikan Presiden Guinea baru, Alpha Condé, suatu siasatan rapi  dijalankan ke atas syarikat BSGR. Sepanjang siasatan tersebut, seorang ejen BSGR ditahan oleh FBI atas tuduhan memberi arahan kepada balu mantan Presiden Conté untuk memusnahkan sebarang bukti mengaitkan BSGR dengan aktiviti rasuah. Tambahan pula, Presiden Condé mendakwa BSGR terlibat dalam percubaan bunuh terhadapnya pada tahun 2011.

Hal ini berbeza dengan Ghana - pulangan daripada sektor perlombongan meningkat sebanyak dua kali ganda antara 2010 dan 2011, dari USD210 juta kepada USD400 juta. Malah pada 2012, ekonomi Ghana berkembang sebanyak 7.9% berbanding hanya 4.8% di Guinea.

Walaupun Ghana pernah bergelumang dengan pelbagai konflik, negara tersebut beransur mengamalkan demokrasi dan mengambil pelbagai langkah untuk meyakinkan para pelabur antarabangsa.

Antaranya adalah penyertaan mereka dalam Inisiatif Ketelusan Industri Ekstraktif (EITI), iaitu sebuah badan antarabangsa yang bertujuan mewujudkan ketelusan dalam industri yang berkait dengan sumber semula jadi.

Oleh itu, persoalannya bukan sama ada sektor perlombongan adalah suatu sektor yang mendatangkan manfaat atau tidak, tetapi sama ada sesebuah negara itu mempunyai institusi yang mampu memastikan aktiviti perlombongan mendatangkan manfaat kepada rakyatnya.

Untuk itu, aturan perundangan dan penguatkuasaan yang efektif adalah penting untuk memastikan hal itu berlaku.

Negara yang memiliki nilai-nilai ini mampu memastikan bahawa sumber semula jadi negara diurus dengan sebaiknya.

Bagi negara yang masih belum mempunyai institusi ini, mungkin perkara yang terbaik untuk mereka adalah dengan menyimpan sumber yang sedia ada untuk generasi masa depan, atas harapan pemimpin generasi itu akan mampu menguruskan sumber kekayaan ini dengan penuh tanggungjawab.
 
(Sinar Harian, 30 Julai 2013)

 

Monday, July 29, 2013

Jenayah jejas imej negara





Keamanan perlu dipelihara


Bukit Aman mengambil tindakan pantas dalam kes tembakan yang melibatkan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan. Penubuhan jawatankuasa khas siasatan kes ini boleh disifatkan sebagai minat mendalam pihak polis untuk mendapatkan maklumat dan akses yang lebih luas terhadap kejadian berkenaan.
 
MyWatch adalah pertubuhan bukan kerajaan yang acapkali mendedahkan kepincangan pasukan polis dalam pelbagai hal. Antaranya ialah berkaitan statistik jenayah yang dikatakan kurang tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam masyarakat. Beliau pernah menerima ugutan selepas membuat laporan polis berkaitan aktiviti perjudian di Simpang Pertang. 
 
Kenapa polis begitu berminat dengan Sri Sanjeevan?
 
Isu ini merupakan isu besar yang kebetulannya sedang menjadi bualan hangat. Tembak-menembak berlaku di mana-mana sahaja hari ini. Kejadian terbaru melibatkan pembunuhan seorang tokoh bank iaitu Hussain Ahmad Najdi, pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia. Beliau maut ditembak selepas bertemu dengan seorang lelaki bagi membincangkan urusan jual-beli saham berhampiran tokong Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.
 
Di sebalik komitmen polis untuk menyelesaikan sindiket jenayah berat ini, kejadian pembunuhan lebih kerap berlaku. Ia boleh dilihat kesungguhan polis dalam membanteras kejadian ini merupakan sebahagian daripada siasatan khas bagi kes MyWatch ini. Penglibatan Bukit Aman akan merungkai misteri kemunculan secara mendadak beberapa kes tembakan profil tinggi yang menggugat keselamatan awam.
 
Isu keselamatan dalam negara pernah menjadi kebanggaan ketika ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sangat baik 15 tahun lalu. Tidak banyak kes jenayah berat yang berlaku namun situasi itu kini telah berubah dan polis perlu dibantu untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pasukan itu. Kita tidak mahu melihat trend pembunuhan demi pembunuhan berlaku setiap masa kerana tidak sentiasa berfikir siapakah yang akan menjadi mangsa esok hari. Mereka mungkin kenalan kita, jiran kita atau saudara-masa kita sendiri.
 
Jika kejadian ini tidak diatasi segera, Malaysia akan mendapat imej negatif sebagai sebuah negara yang tidak selamat untuk didiami atau urusan perniagaan.

 

Friday, July 26, 2013

TPP: Lebih banyak untung dari rugi, kata pakar







Perdebatan hangat yang tercetus tentang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik (TPP) tidak harus dibiarkan menenggelami faedah-faedah yang nyata bagi Malaysia.
 
Ini adalah dari segi akses pasaran kepada lebih 700 juta pengguna, import yang berpotensi lebih murah dan peluang untuk membida bagi kontrak kerajaan di ekonomi-ekonomi negara anggota.
 
Kontraktor Malaysia boleh membida bagi kontrak pemerolehan kerajaan di negara-negara jiran dalam perjanjian TPP, khususnya di Brunei, Singapura serta Australia dan New Zealand, kata seorang pakar perdagangan.
 
Dr Sufian Jusoh, seorang Felo Kanan dan Profesor Madya Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, meskipun pihak-pihak berkepentingan mungkin berasa bimbang tentang kemungkinan firma asing membolot kontrak-kontrak tempatan dan ekoran itu terus mencanangkan tentang kerugian yang bakal dialami, namun tumpuan juga harus diberikan kepada faedah daripada sebuah pasaran serantau yang diperluaskan.
 
Contohnya, pasaran pemerolehan kerajaan Malaysia dianggarkan bernilai AS$28.1 bilion pada 2012, sedangkan pasaran tergabung bagi pemerolehan kerajaan dalam kesemua 12 pasaran TPP bernilai AS$2.74 trilion.
 
Perjanjian TPP penting bagi Malaysia disebabkan daya tahannya dalam perdagangan dan industri, peluang-peluang yang meningkat bagi pelaburan langsung asing, daya saingan yang lebih tinggi dan kebolehan membina perniagaan dan kapasiti teknikal.
 
"Malaysia akan juga menikmati tarif yang lebih rendah atau kadar sifar bagi barangan dan akses pasaran bagi perkhidmatan.
 
"Di samping itu, kerajaan boleh berunding bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan akses kepada bantuan teknikal untuk menaikkan taraf masing-masing, seperti dalam pertanian atau perikanan dari ekonomi-ekonomi perjanjian TPP yang lain," katanya semasa ceramah, "A Creature Called TPP (Makhluk Bernama TPPA)" di Wisma Bernama, semalam.
 
Ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan berkepentingan lain telah menyelar penyertaan Malaysia dalam rundingan perjanjian TPP dan mendakwa, antara lain, bahawa ia akan menggugat kepentingan Bumiputera dan kira-kira 600,000 syarikat asing akan memasuki pasaran domestik.
 
Realitinya, Malaysia boleh mengehadkan akses kepada kontraktor asing dari sudut pemerolehan kerajaan atau mempunyai hak dalam bidang-bidang sensitif tertentu yang dikenali sebagai "carve-out" dalam lampiran peraturan yang tidak mengikut kehendak perjanjian, yang mengehadkan entiti dalam lampiran Bab Pemerolehan Kerajaan, atau meletakkan threshold yang tinggi bagi akses kepada pemerolehan kerajaan.
 
Malaysia menjadi tuan rumah kepada pusingan ke-18 rundingan perjanjian TPP di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
 
"Faedahnya lebih daripada tarif," kata Sufian, yang juga Perunding Luar dan Felo Kanan di Institut Perdagangan Dunia di Bern, Switzerland.
 
Beliau juga berkata, kebimbangan bahawa Malaysia akan kehilangan kedaulatannya apabila menandatangani perjanjian TPP tidak tepat kerana teks perjanjian itu adalah hasil usaha bersama oleh negara-negara yang berunding dan tidak didominasi oleh mana-mana satu kuasa besar ekonomi seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
 
Semasa menderaf teks perjanjian, negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, akan berpeluang mengemukakan cadangan masing-masing meskipun negara-negara secara individu mempunyai kedudukan yang kuat dalam sektor
perdagangan tertentu.
 
Contohnya, beliau menyebut tentang bagaimana AS mempunyai pendirian yang kukuh tentang farmaseutikal, terutama tentang lanjutan tempoh bagi ubat yang dipaten.
 
"Tetapi kebanyakan negara berunding membantah kedudukan AS, yang bererti ada kemungkinan cadangan itu tidak dimasukkan dalam perjanjian itu," tegas beliau.
 
Beliau berkata sekali pun farmaseutikal dimasukkan dalam perjanjian TPP, kerajaan Malaysia boleh mengekalkan dasar pembeliannya dan mempunyai kebebasan untuk membeli ubat generik yang lebih murah bagi ubat bukan paten berbanding ubat dipaten yang mahal.
 
"Daripada AS, Malaysia sebaliknya harus berhati-hati dalam rundingan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah, terutamanya Switzerland, yang tahap pengeluaran farmaseutikal dan eksport ubat dipatennya lebih tinggi.
 
"Eropah menempatkan banyak pengeluar ubat dunia dan sektor farmaseutikal merupakan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) dan ini bererti ia akan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi industri itu," kata Sufian.
 
Beliau juga menolak dakwaan oleh ahli-ahli politik dan NGO tempatan serta kumpulan berkepentingan bahawa syarikat-syarikat multinasional akan menentukan terma-terma kepada Malaysia dalam perkara-perkara seperti pelaburan, malah menyaman negara ini jika syarat-syarat mereka tidak dipenuhi.
 
"Mereka hanya boleh menyaman bagi timbang tara kerana melanggar obligasi-obligasi tertentu di bawah perjanjian TPP," katanya, sambil memberikan jaminan bahawa pasukan perunding Malaysia terdiri daripada tokoh-tokoh yang berpengalaman dan tidak akan menggadaikan negara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
 
Ditanya sama ada perjanjian itu akan ditandatangani dalam tahun ini, Sufian berkata, beliau tidak yakin ia akan ditandatangani pada 2013,  kerana masih banyak bidang dalam rundingan itu yang masih belum diputuskan. - Bernama


(Sinar Harian, 26 Julai 2013)

 

Thursday, July 25, 2013

Kaji isu jemput imam Tarawih







Tindakan mengundang imam dari negara bergolak seperti Mesir dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih sepanjang Ramadan di negara ini perlu dikaji semula, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris Haron.

Katanya, tindakan itu boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan dunia Islam ketika ini.

Sepatutnya, kita (Malaysia) menghantar tokoh agama ke negara mereka untuk memimpin solat atau berceramah mengenai keamanan, bukannya mereka datang ke sini” Idris Haron, Ketua Menteri Melaka.

“Kita bukan tidak mahu ilmuan agama datang ke negeri ini pada Ramadan, tetapi oleh kerana negara mereka sendiri sedang bergolak, adalah tidak wajar mereka meninggalkan negara masing-masing semata-mata mahu menjadi imam Tarawih di negara kita.

“Sepatutnya, kita (Malaysia) menghantar tokoh agama ke negara mereka untuk memimpin solat atau berceramah mengenai keamanan, bukannya mereka datang ke sini,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Kampung Bukit Pegoh, Telok Mas di sini, semalam.

Terima sumbangan

Lebih 400 golongan fakir, miskin, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak yatim sekitar Parlimen Kota Melaka menerima sumbangan kerajaan negeri itu.


Hadir sama, isterinya, Datin Wira Fadilah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Sepanjang Ramadan ini, Melaka menerima kunjungan dua imam, masing-masing seorang dari Mesir dan Palestin untuk memimpin solat Tarawih di negeri ini.

Imam dari Mesir itu ditaja seorang ahli perniagaan, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membiayai khidmat imam dari Palestin.

Selain itu, seorang imam dari Makkah, Mohamed Syariff Al-Imrani sudah berkhidmat di Melaka sejak 14 tahun lalu.

Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meminta Othman meneliti setiap permohonan mengundang imam daripada negara terbabit pada masa akan datang.

"Saya minta Datuk Wira Othman lihat dan kaji semula perkara ini. Pastikan tiada imam dari negara bergolak di Asia Barat seperti Mesir, Palestin, Syria dan Libya diundang ke negeri ini selepas ini (pada masa depan) kerana ia seolah-olah menunjukkan mereka mahu lari daripada masalah dalaman negara mereka ketika ini," katanya.


(Berita Harian, 25 Julai 2013)
 

Tuesday, July 23, 2013

232 kanak-kanak kutip sedekah diselamatkan dalam empat tahun









Seramai 232 orang kanak-kanak berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa eksploitasi pihak tertentu untuk mengutip dana atau meminta sedekah di seluruh negara dalam tempoh 2008 hingga 2012.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, kejayaan itu hasil usaha bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antaranya dengan polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi mengutip dana akan diselamatkan berdasarkan kepada perenggan 17 (1)(k) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ditempatkan di tempat selamat.

"Manakala mereka yang didapati mengeksploitasi kanak-kanak tersebut akan ditahan dan disiasat oleh polis sebelum didakwa di bawah Seksyen 32 akta sama.

"Mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narasshid (BN-Kota Tinggi) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
 
Noor Ehsanuddin ingin tahu tindakan kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi kanak-kanak yang dijadikan peminta sedekah.
 
Azizah menambah, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula perlu menyempurnakan bon dengan perintah mahkamah bagi kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sewajarnya terhadap anak mereka.
 
Dalam perkembangan sama, katanya, kementerian melalui JKM turut bekerjasama dengan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Bhd. bagi mencegah aktiviti eksploitasi terhadap kanak-kanak yang mengutip dana atau derma di hentian rehat dan rawat (R&R) di bawah syarikat itu. 
 
"Dalam hal ini, pihak PLUS bersetuju untuk membantu JKM menyelamatkan kanak-kanak tersebut dengan mengasingkan kanak-kanak berkenaan sementara menunggu ketibaan pelindung iaitu pegawai JKM yang diwartakan," katanya.
 
(Utusan Malaysia, 23 Julai 2013)

Sunday, July 21, 2013

Keselamatan anak lebih utama




Anak-anak aset negara

Ramai yang berfikir bagaimana seorang ibu boleh terlupa dan meninggalkan anaknya dalam kereta di bawah panas terik matahari untuk menghadiri mesyuarat di sekolah? Selain alasan "dijemput Izrael" kejadian baru-baru ini turut melibatkan faktor cuai dan lalai.

Kereta yang dinaiki dua beranak tersebut tidaklah besar untuk tidak mempeduli kehadiran anak dalam kereta. Sedikit rengekan dan panggilan anak sudah boleh didengari. Malangnya ia tidak seperti itu.

Insiden kanak-kanak meninggal dunia dalam kereta kerana kecuaian ibu bapa dan penjaga menunjukkan trend meningkat akhir-akhir ini. Mungkin ada kejadian lain yang pernah berlaku tetapi tidak melibatkan kematian. Sekali-sekala terkunci di dalam kereta mungkin pernah berlaku.

Kejadian ini seharusnya ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa. Dakwaan ke atas ibu bapa dan penjaga patut disegerakan supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat wajar mengadakan kempen kesedaran dan keselamatan kanak-kanak di dalam kereta kerana sehingga kini kita belum pernah nampak iklan seperti itu disiarkan di media.

Jabatan Pengangkutan Jalan hanya mengiklankan kempen memakai tali pinggang bagi penumpang belakang kenderaan dan mengklik tali penghubung topi keledar.

Pihak polis perlu segera mendakwa mereka yang cuai ini. Walaupun hukuman penjara dan denda diperuntukkan, sangat memadai dikenakan denda kerana trauma kematian anak dan persepsi negatif cukup untuk menginsafkan pesalah.

 

Friday, July 19, 2013

Adab berbuka puasa berpandukan sunnah Rasulullah s.a.w





 


Menyegerakan berbuka puasa
 
Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
 
Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Berbuka dengan kurma

Berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini.

Makan dengan bersederhana
 
Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:
 
Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31)

Doa makbul
 
Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
 
Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif).
 
Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:
 
Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota. (Faidh al-Qadir, 2/500).
 
(Pusat Islam UTeM)

 

Thursday, July 18, 2013

Perbezaan sains Barat dan sains Islam








Bagi saintis Barat, walaupun sains bersifat sejagat, hasilnya ialah untuk orang yang mampu membayar.

Barat: Mengimani rasionalisme.
Islam: Mengimani wahyu.


Barat: Sains untuk sains.
Islam: Sains hanyalah sebagai alat untuk mencari keredaan Allah; satu bentuk pengabdian yang ada fungsi rohani dan sosialnya.

Barat: Hanya terdapat satu kaedah untuk mengetahui kebenaran.(empirikal)
Islam: Terdapat banyak kaedah yang berasaskan kepada penaakulan dan juga wahyu baik objektif ataupun subjektif. Semuanya sah.

Barat: Sikap bebas emosi sebagai kunci mencapai kerasionalan.
Islam: Emosi perlu untuk meningkatkan pengetahuan sains dari segi rohani dan sosial.

Barat: Tidak memihak (neutral) seorang ahli sains seharusnya meminati ciptaan ilmu baru dan natijah penggunaannya.
Islam: Memihak kepada kebenaran; jika sains suatu bentuk pengabdian, ahli sains mesti mengambil kira akibat-akibat yang timbul daripada penemuan-penemuannya. Ibadat ialah amalan dan natijahnya mestilah sesuatu yang baik. Jika tidak, ahli sains hanyalah agen yang tidak bermoral.

Barat: Ketiadaan sikap berat sebelah. Pengesahan pernyataan sains hanya bergantung pada operasi-operasi pembuktiannya, dan tidak pada orang yang membuatnya.
Islam: Adanya subjektiviti; arah sains adalah subjektif. Pengesahan pernyataan bergantung kepada operasi pembuktian niat dan juga pandangan hidup sendiri. Pengakuan adanya subjektiviti memaksa ahli-ahli sains mengaku kelemahan-kelemahan mereka.

Barat: Menangguhkan pemutusan – Kenyataan sains dibuat hanya berdasarkan asas bukti yang meyakinkan.
Islam: Latihan pemutusan – kenyataan sains selalu dibuat dengan bukti yang tidak meyakinkan; ahli sains seharusnya boleh membuat keputusan bila berhadapan dengan bukti yang tidak meyakinkan; apabila sampai masa yang bukti meyakinkan telah dikumpulkan, mungkin terlalu lewat untuk melakukan sesuatu tentang akibat-akibat yang telah merosakkan itu.

Barat: Penurunan cara yang dominan untuk mencapai kemajuan sains.
Islam: Sintesis sebagai cara dominan untuk mencapai kemajuan sains. Ini meliputi sintesis sains dan sistem nilai.

Barat: Pemecahan – sains sebagai aktiviti yang kompleks. Oleh itu dapat dipecah-pecahkan kepada disiplin-disiplin, sub-disiplin dan sub-sub disiplin.
Islam: Holistik – aktiviti sains terlalu kompleks untuk diceraikan dan diasingkan kepada bahagian yang kecil. Sains adalah interdisiplin, Intradisiplin dan holistik.

Barat: Global – walaupun sains bersifat sejagat, hasilnya ialah untuk orang yang mampu membayar. Dengan itu rahsia dibolehkan.
Islam: Global – hasil kajian sains untuk seluruh manusia. Pengetahuan serta kebijaksanaan tidak dapat dijadikan sebagai barang pertukaran atau jual beli, merahsiakannya dianggap buruk dan tidak bermoral.

Barat: Individualisme – Ahli sains seharusnya memisahkan diri mereka daripada keprihatinan mereka tentang sosial, politik dan ideologi.
Islam: Orientasi masyarakat: melakukan sains adalah tanggungjawab sosial (fardu kifayah), kedua-dua ahli sains dan masyarakat mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain dan saling bergantung.

Barat: Sains tidak baik tetapi tidak juga buruk (neutral).
Islam: Orientasi nilai sains seperti kebanyakan aktiviti manusia, mempunyai nilai, ia mungkin baik ataupun patut dipuji, sains perang saraf umpamanya adalah satu yang keji.

Barat: Setia bersama kumpulan: hasil pengetahuan baru daripada kajian adalah yang terpenting daripada aktiviti-aktiviti lain dan patut diberikan sokongan penuh.
Islam: Kesetiaan hanya kepada Tuhan dan makhluknya – pengetahuan sains yang baru adalah satu jalan memahami “tanda-tanda” kewujudan Tuhan dan seterusnya meningkatkan taraf ciptaan-ciptaannya – manusia, binatang dan sekitaran. Tuhanlah yang mencipta sains, sebab itu ia mesti disokong seperti aktiviti-aktiviti umum bukan hanya aktiviti golongan atasan.

Barat: Kebebasan penuh – kesemua usaha untuk mengawal penyelidikan sains perlu ditentang.


Islam: Pengurusan sains – Sains merupakan satu sumber yang tidak ternilai harganya. Oleh itu janganlah disia-siakan dan membiarkannya membawa kejahatan dan keburukan secara langsung, ia mesti diurus dan dirancang dengan teliti serta haruslah dijadikan sebagai subjek etika dan moral.

Barat: Matlamat menghalalkan cara; disebabkan penyelidikan sains itu merupakan sesuatu yang baik dan penting untuk kesejahteraan manusia, semua kaedahnya termasuk penggunaan haiwan hidup, manusia dan janin bayi dibenarkan.
Islam: Matlamat tidak menghalalkan cara; tidak ada keistimewaan di antara matlamat dan kaedah sains. Kedua-duanya seharusnya halal dan mesti di dalam batas-batas etika dan akhlak.

(Sumber: Apa itu Ilmu Sains)
 

Wednesday, July 17, 2013

Teori-teori jenayah

 
 

 

Persepsi jenayah di Malaysia  dalam kalangan orang ramai dikatakan tinggi. Laporan media elektronik, massa dan sosial menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kes-kes jenayah yang berlaku di seluruh negara. Di lasang (laman sesawang) Youtube, kita boleh melihat klip video yang memaparkan pencerobohan, rompakan dan kecurian yang dapat dirakam sama ada oleh pemilik premis atau orang ramai melalui telefon bimbit.
 
Kejadian jenayah seperti ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan kerana ia melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Nukilan kekecewaan ini dapat diperhatikan melalui blog dan media sosial lain yang menyoal keberkesanan pasukan polis dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
 
Peningkatan kes jenayah tidak boleh diletakkan ke atas persepsi semata-mata kerana jenayah sedang berlaku di hadapan kita, melibatkan rakyat marhaen, kerabat diraja ataupun menteri sendiri. Baru-baru seorang  menteri yang bertanggungjawab dalam program transformasi kerajaan menyatakan bahawa kebimbangan jenayah disebabkan oleh persepsi namun selepas rumah seorang menteri lain dirompak, ia bukan lagi dianggap sebagai persepsi sebaliknya satu realiti. Suatu hari nanti, perompak ini tentu akan datang ke rumah kita pula.
 
Keadaan dan modus operansi penjenayah jauh berbeza berbanding 20 tahun lalu. Dahulu kita jarang mendengar kes rompakan dan bunuh berlaku serentak namun hari ini keadaannya lebih jauh zalim. Penjenayah merompak, merogol, membunuh dan mencampakkan mangsa mereka ke dalam gaung atau membakar mangsa dan dibiarkan sehingga hangus.
 
Negeri yang kecil seperti Perlis dilihat semakin kerap dilaporkan kes-kes jenayah dalam media seperti jenayah berat yang melibatkan pembunuhan selain kes tradisi iaitu penyeludupan.
 
Apakah punca peningkatan kes-kes jenayah dalam masyarakat hari ini?
 
Memahami bagaimana jenayah bermula dapat memberi gambaran kepada kita berkaitan punca dan langkah penyelesaian. Jenayah di Malaysia adalah berkaitan pemerdagangan manusia, penipuan kredit kad, penyeluk saku, ragut, curi kenderaan, rasuah dan pembunuhan kerana pelbagai sebab seperti dendam, hutang dan gangster. Mengetahui kenapa berlaku jenayah memudahkan pasukan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan.
 
Contohnya, pemerdagangan manusia melibatkan eksploitasi seks terhadap wanita dan kanak-kanak. Kebanyakan mangsa terdiri dari warganegara Mynmar, Thailand, Kemboja, China, Indonesia, Filipina dan Vietnam.  Wanita dari Malaysia pula didagangkan ke China melalui pelbagai cara. Di antara tahun 2005 hingga September 2009, lebih daripada 36,858 wanita telah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran. Apakah puncanya berlaku pemerdagangan manusia yang merentas sempadan ini sehingga mewujudkan rangkaian antarabangsa?
 
Beberapa teori cuba membantu menerangkan kenapa jenayah berlaku di beberapa kawasan dan tidak di kawasan lain. Contohnya kenapa kadar jenayah lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding di Terengganu atau Kuching. Teori-teori ini dibentangkan oleh Paul dan Patricia Brantingham yang  disatukan di bawah prinsip-prinsip yang berkaitan geografi dengan jenayah.
 
Teori Aktiviti Rutin
 
Teori ini mencadangkan jenayah berlaku apabila pelaku jenayah digerakkan oleh terdapatnya sasaran yang sesuai di samping kekurangan kawalan pada masa dan tempat yang sama. Penjenayah memilih sasaran mereka seiring dengan kegiatan rutin seperti pergi dan balik dari kerja, membeli-belah dan cenderung melakukan jenayah di sekitar mereka sahaja. 
 
Teori Pencegahan Jenayah Situasi
 
Teori ini mencadangkan jenayah dan gangguan awam boleh dicegah melalui pengecilan ruang  kepada perlakuan jenayah. Contohnya, jika jenayah kerap berlaku di kawasan malap, Jabatan Kerja Raya boleh melakukan tindakan menambah kadar kecerahan dan kehadiran polis di kawasan berkenaan.
 
Teori Tingkap Pecah
 
Teori ini menerangkan bagaimana kawasan yang kurang kadar jenayah, tidak diberi perhatian, terpencil, tempat melepaskan stres melalui contengan pada dinding dan papan tanda yang rosak telah mengurangkan keinginan penduduk setempat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka. Keadaan ini menyebabkan kejadian jenayah lebih ketara. Jika polis dapat menyelesaikan kes-kes jenayah di kawasan ini, mereka sudah tentu dapat mengekang jenayah yang lebih serius daripada terus berlaku.
 
Teori Peluang Jenayah
 
Teori ini memberi fokus kepada penjenayah yang melakukan sesuatu jenayah dengan mencari peluang atau sasaran yang lebih praktikal. Contohnya, jika kawasan kejiranan bandar tidak menawarkan tempat letak kereta di tepi jalan, ia boleh menjadi sasaran utama untuk kecurian kenderaan.
 
Teori Percampahan Sosial
 
Teori ini menunjukkan bahawa jenayah berlaku apabila hubungan antara masyarakat dan institusi tempatan menjadi gagal atau tidak wujud langsung. Contohnya kawasan kejiranan yang mewah tetapi kurang interaksi sesama sendiri berisiko lebih tinggi berhadapan dengan penjenayah berbanding kawasan kejiranan yang mempunyai interaksi yang kerap dan mengambil tahu keadaan masing-masing.
 
Teori Corak Jenayah
 
Teori ini mengintegrasikan jenayah dalam konteks geografi yang menunjukkan bagaimana kehidupan persekitaran komuniti dan pengaruh jenayah ke atas kehidupan mereka. Teori ini memberi tumpuan khusus kepada tempat dan kawasan yang kekurangan kawalan sosial atau langkah-langkah penjagaan rasmi yang diperlukan untuk mengawal jenayah. Contohnya, kawasan kejiranan pinggir bandar boleh menjadi tempat panas untuk kecurian kerana rumah mempunyai perlindungan yang tidak mencukupi dan tiada siapa yang menjaga rumah berkenaan.
 
Kejadian jenayah seperti rompakan semakin canggih. Rompakan yang ketara ialah melibatkan kehilangan wang ratusan ringgit melalui pemecahan dan pembakaran mesin wang automatik (ATM). Perompak yang menyasarkan ATM memiliki kepakaran khusus untuk memecahkan mesin berkenaan dalam tempoh yang singkat tanpa melibatkan kehilangan nyawa. ATM sudah tentu mempunyai wang berbanding melakukan rompakan di rumah atau premis perniagaan. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Ada juga perompak yang sangat berani. Perompak jenis ini akan memilih sasaran yang lemah dan diyakini memiliki wang. Rompakan dibuat dibuat ketika mangsa seorang diri atau di khalayak. Jika mangsa melawan, perompak tidak akan teragak-agak mencederakan mangsa sehinggalah mendapat wang atau barang kemas. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Perompak juga bergerak secara kumpulan. Beberapa bulan lalu muncul Geng Susu Kangkang yang memilih susu kanak-kanak bermutu tinggi untuk dibawa keluar dari pasar raya. Mereka bergerak dalam empat hingga enam ahli yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Penjenayah perempuan akan memakai pakaian bersaiz besar dengan ciri khas di celah kangkang untuk menyeludup keluar susu yang dikenal pasti. Biasanya tiga perempuan akan keluar masuk beberapa kali. Penjenayah lelaki bertindak sebagai pemerhati di dalam dan luar premis memastikan operasi mereka tidak dikesan oleh pengurus atau staf pasar raya. Kes seperti ini boleh dilihat di sini.

Jenayah pasti meningkat pada tahun-tahun yang akan datang seiring dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Mengelakkan jenayah bererti kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan yang bersungguh-sungguh. Pertama, mencari punca sebenar berlaku jenayah seperti mengenal pasti kelompok yang cenderung melakukan jenayah, memperinci latar belakang diri dan keluarga penjenayah, menentukan keadaan sosial penjenayah, menyiasat tahap pendidikan dan pendapatan golongan yang disyaki, menyelidik corak sosial seharian dan sejauh mana hubungan penjenayah dengan amalan agama mereka. Kerajaan wajar menyediakan sejumlah peruntukan kepada institusi pengajian tinggi supaya ahli akademik dan penyelidik dapat merungkai kelompok masyarakat yang cenderung dan berisiko melakukan jenayah. 
 
Kedua, budaya kesukarelaan wajar diperluas supaya masyarakat memiliki keinginan untuk bersama-sama mencegah jenayah tanpa bergantung kepada agensi penguatkuasa. Walaupun secara formal terdapat polis bantuan dan anggota Rela, galakan kesukarelaan boleh diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan melalui geran, latihan dan khidmat komuniti supaya idea memberi khidmat ini diamalkan di semua peringkat hidup masyarakat.
 
Ketiga, instrumen penguatkuasaan menyumbang kepada penurunan kadar jenayah. Ketegasan petugas agensi yang terlibat menjadi elemen penting dalam mengekang aktiviti jenayah dari semasa ke semasa. Seharusnya mereka yang terlibat dalam usaha ini diberi pendedahan, kefahaman dan peningkatan kemahiran melalui kursus jangka pendek dan jangka panjang supaya pada akhirnya dapat membentuk sebuah pasukan pencegahan jenayah yang cekap dan berkesan.
 
Jenayah yang berlaku dalam masyarakat sama ada di bandar ataupun luar bandar tidak mengenal mangsa. Kanak-kanak, remaja dan warga emas juga menjadi mangsa penjenayah yang tidak ada belas ehsan sesama manusia. Tanggungjawab mencegah jenayah tidak sahaja menjadi tugas polis dan agensi penguatkuasa yang lain malah menuntut penglibatan masyarakat dalam pelbagai bentuk seperti penyaluran maklumat, penyediaan tempat perlindungan dan kempen kesedaran awam.

 

Tuesday, July 16, 2013

Kehilangan pahala dan peliharalah lidah






Puasa untuk melatih diri dengan nilai-nilai murni

Kehilangan Pahala 

Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seorang insan yang akan bertemu Tuhan, kita akan dapat menilai besarnya erti pahala. 
 
Pahala membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun pahala lebih bererti dari gaji dalam kehidupan duniawi ini. 
 
Ramai orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah swt pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya kepada orang lain. Nabi saw bersabda:
 
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pelihara Lidah 
 
Lidah adalah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar. 
 
Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada bulan Ramadhan, ataupun selain Ramadhan. Lebih buruk lagi jika dilakukan dalam masjid ataupun di luar masjid. Sangat hina dan jelek sekali. 
 
Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi saw pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi saw pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.
 
Ramadhan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia seorang muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita dalam Ramadhan dan luar Ramadhan!
 
(Pusat Islam UTeM)