Tuesday, June 25, 2013

Amerika, China dan pendidikan

 



Beijing, China


oleh Karim Raslan



Saya sering ditanya ibu bapa yang gelisah tentang tempat terbaik untuk hantar anak mereka ke sekolah dan universiti. Sebagai siswa universiti di Britain, ramai beranggapan saya akan mempromosikan institusi pengajian di UK. Anggapan ini mungkin benar buat masa lampau, namun saya semakin kurang yakin semenjak kebelakangan ini.

Malah, ibu bapa di Malaysia yang bijak pandai sudah menjangkakan perubahan pola ini dan menghantar anak mereka ke Amerika Syarikat (AS), terutamanya institusi-institusi di Pantai Timur dan kolej ‘Ivy League’.

Pada masa sama, hampir kesemua anak muda Malaysia berbangsa Cina daripada keluarga berada  kini ke Beijing selama sekurang-kurangnya setahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin mereka. Malah sesetengahnya mengikuti kursus di universiti terkemuka bandar itu, Universiti Peking.

Pada saya, ini merupakan kombinasi yang bagus: membuka mata anak muda tentang kehidupan di dua negara paling berkuasa dan dinamik di dunia. Ini tidak bermakna graduan dari AS (termasuk ‘Ivy League’) lebih pandai daripada mereka yang menuntut di Britain. Namun, mereka memang lebih bijak.

Bagaimanapun kualiti ini selalunya lesap apabila pendapat mereka diterjemahkan di atas kertas. Sememangnya, saya tidak memahami nilai yang dibawa ujian aneka pilihan yang amat sebati dengan sistem pendidikan AS. Apakah faktor di sebalik pola ini?

Yang pasti, universiti-universiti di AS mempunyai kelebihan dari segi wang ringgit dan persatuan pelajar yang penuh kepelbagaian. Ini kemudiannya menjurus kepada rangkaian yang cukup berpengaruh untuk masa depan pelajar-pelajar lain.

Pada masa sama,  salah seorang siswa terkemuka yang baru menamatkan pelajaran di Britain adalah Bo GuaGua, anak  bekas pemimpin Parti Komunis yang kini ditahan, Bo Xilai. GuaGua belajar di sekolah  elit di Britain, Harrow diikuti Kolej Balliol di Universiti Oxford. Ketika kejatuhan ibu bapa beliau dari singgahsana, pilihan pendidikan GuaGua jelas menjadi bukti - ibu bapanya ketinggalan zaman dan kurang berhati-hati.

Dengan China kini  ada jumlah tertinggi bagi pelajar yang belajar di luar negara (mengatasi India), pengalaman GuaGua di UK mungkin menjadi pengaruh paling besar untuk menghalang ibu bapa lain di Beijing dan Shanghai. 1 juta pelajar China kini belajar di luar negara di penghujung 2006, dan pada 2011 sahaja, 340,000 pelajar telah pergi ke luar negara.

Perubahan ini mungkin memakan masa kerana London masih lagi sebuah hab kewangan yang penting walaupun kuasa diplomatik mereka kian merosot. Namun, persaingan hebat di antara kuasa-kuasa besar merentasi Lautan Pasifik ini bermakna US punya tarikan kuat untuk ibu bapa dari China yang ingin menyediakan anak mereka untuk zaman mendatang.

Anak-anak golongan kaya di China kini belajar di institusi seperti Akademi Phillips Andover (ditubuhkan pada 1778 dan alma mater Presiden George W Bush), pesaingnya Phillips Exeter (1781) dan Groton School (1884 - tempat persekolahan Presiden Franklin Delano Roosevelt).

Institusi-institusi ini menarik perhatian ibu bapa di China kerana ia memberikan anak-anak mereka kelebihan untuk diterima masuk ke universiti ‘Ivy League’ seperti Harvard atau Yale. Malah Bo GuaGua sendiri menuntut di Harvard Kennedy School (HKS) untuk kursus polisi awam selepas tamat belajar di Oxford.

Statistik dari US Department of Homeland Security menunjukkan terdapat 6,725 pelajar dari China di sekolah menengah pada 2011, berbanding hanya 65 pada tahun 2006. Secara keseluruhan, lebih 157,000 pelajar dari China belajar di AS pada tahun itu -  22 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar asing.

China sekali lagi melangkaui India sebagai sumber terbesar bagi pelajar asing di AS pada 2010. Sebaliknya, Malaysia hanya menghantar 6,190 pelajar ke AS pada tahun itu. Ini mungkin menunjukkan  rakyat Malaysia masih mendambakan institusi pendidikan Britain - walaupun ia mungkin menjadi kelemahan kita.

Ketika artikel ini ditulis, minda paling bijak dan pintar daripada dua kuasa besar dunia sedang membina persahabatan di dewan kuliah dan halaman sekolah di AS dan juga semakin hari, di China.

Mungkin, pertembungan di antara China dan Barat yang amat dikhuatiri tidak akan berlaku apabila anak-anak muda dari negara-negara itu sendiri sedang sibuk bersaing sesama sendiri di dalam institusi-institusi elit masing-masing.
 
(Sinar Harian, 25 Jun 2013)

 

Monday, June 24, 2013

Tobat itu nikmat





Penulis: Asy’ari Khatib
Tahun: 2013
Penerbit: Penerbit Zaman, Jakarta, Indonesia
Muka Surat: 180
 

“Allah mencintai orang-orng yang bertaubat dan mereka yang membersihkan diri” petikan maksud ayat 222 surah Al-Baqarah sebagai seruan kepada kita untuk selalu memohon ampun kepada Allah swt. 
 
Sebagaimana Allah swt memberi potensi kepada kita untuk jatuh, Dia juga memberi potensi untuk kita bangkit. Setiap kali melakukan salah dan silap, menyesali dan bertaubat adalah potensi untuk meraih kasih sayang Allah swt.
 
Taubat merupakah rahmat atau kasih sayang Allah swt. Kita seringkali tidak luput daripada dosa dan maksiat namun diberi kesempatan untuk bergegas dengan taubat, menyambut keampunan dan rahmat-Nya.
 
Buku ini menyajikan 50 kisah orang-orang yang bergelumang dengan maksiat tetapi dengan pertolongan Allah Azzawajalla, menyentuh liang lahad dengan berbekalkan taubat, orang-orang yang berlumur dosa namun menerima jemputan maut dengan senyuman di raut, penjahat kelas berat tetapi menutup hayat dengan meraih rahmat.
 
Membaca buku ini akan membuatkan hati tersentak betapa Allah swt adalah Maha Pengampun dan merima taubat. Betapa rahmat dan kasih sayang Allah swt ini sangat luas dan tidak terbatas. Betapa Allah swt mengasihi kita jauh lebih hebat daripada ibu bapa sendiri. Betapa ampunan-Nya tertuang bagi jiwa yang merindukan. Betapa Dia bahagia menyambut jiwa yamg menyesal melebihi kebahagiaan seorang musafir yang kehilangan unta beserta bekalan di tengah gurun, lalu selepas mencari dan berputus asa, unta itu tiba-tiba muncul dengan sendirinya.

Friday, June 21, 2013

Jerebu semakin kritikal





 
 

Selamat datang jerebu, ucapan yang sangat berat untuk diungkapkan. Keadaan jerebu hari ini sama seperti tahun 1997 apabila seluruh Asia Tenggara diselubungi asap tebal. 
 
Jerebu merupakan isitilah yang dikait dengan partikel halus asap pembakaran. Sekali jerebu melanda, pemandangan menjadi balam dan di sesetengah kawasan jarak penglihatan kurang dari satu kilometer.
 
Jerebu memberi kesan ke atas aktiviti harian masyarakat Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia kerana pembakaran terbuka yang berlaku di Sumatera, Indonesia telah merebak ke negara-negara jiran. Masyarakat akan mengehadkan perjalanan luar dan mengurangkan produktiviti negara.
 
Masalah jerebu ini boleh menjejaskan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko iaitu kanak-kanak, warga emas, pesakit yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma dan radang pada saluran pernafasan (bronchitis), pesakit yang menghidapi penyakit jantung dan alahan serta golongan perokok. 
 
Semua golongan berisiko ini dinasihatkan memakai topeng muka bagi mengelakkan sebarang kemudaratan yang lebih teruk. 


 

Wednesday, June 19, 2013

Risiko mandi sungai







Kematian serentak tiga orang kanak-kanak di Rantau Panjang, Kelantan amat menyedihkan. Tragedi lemas di Sungai Golok itu boleh dielakkan jika ibu kanak-kanak itu memahami bahawa risiko lemas ketika mandi sungai sentiasa ada. Malangnya sikap tidak beringat kerana menganggap sudah menjadi kebiasaan akhirnya mengundang padah.

Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab penjaga. Anak-anak yang berumur empat hingga tujuh tahun tidak begitu kisah keselamatan diri kerana mereka tidak dapat membezakan dengan tepat bahaya dan seronok. Apa yang mereka ingat ketika bermain dengan air khususnya di sungai ialah seronoknya berenang, kejar-mengejar dan menyelam. 

Pengawasan orang dewasa ketika kanak-kanak mandi di sungai amat penting kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa dan kehilangan jiwa dalam sesebuah keluarga. Kesedaran begini wajar ditingkatkan khususnya kawasan yang sering terdedah kepada risiko kemalangan jiwa lebih-lebih lagi ketika banjir.

Sungai Golok mempunyai arus yang agak laju. Berenang dan mandi ketika arus laju ini mengundang bahaya dan peranan penduduk sekitar amat perlu untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak pada masa depan. 

Monday, June 17, 2013

Dahsyatnya 7 sunah




Penulis: Fadlan al-Ikhwani
Tahun: 2012
Penerbit: Kelompok Penerbit Ziyad Visi Media, Surakarta, Indonesia
Muka Surat: 187
 
Fadlan al-Ikhwani merupakan penulis Indonesia kelahiran Jawa Timur. Buku-buku motivasi dan penikahan menjadi kegemarannya untuk tatapan pembaca. Antaranya ialah Don’t cry, Kujemput jodohku,  Let’s go dan Aku Pingin Nikah.
 
Dalam buku ini, tujuh sunah yang dimaksudkan ialah menjaga wudhuk, solat tahajjud dan witir, solat fardhu berjemaah, tadabbur al-quran, solat dhuha, puasa isnin-khamis dan bersedekah. 
 
Setiap satunya disertakan contoh yang menarik di samping berkat yang diperoleh selepas melaksanakan satu-satu sunah ini. Sunah pertama iaitu menjaga wudhuk, diterangkan sekali manfaat besar iaitu menghapuskan dosa-dosa kecil. Ia bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “Barangsiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, maka keluarlah semua dosa dari tubuhnya hingga dari bawah kuku-kukunya.”
 
Begitu juga dengan solat tahajud dan witir sebagai pembuka pertolongan Allah swt. Dua solat ini amat bermakna kepada manusia yang mengharapkan bantuan Allah swt dalam setiap usaha mereka siang dan malam.
 
Di akhir bab adalak kisah kejayaan beberapa orang yang telah mengamalkan tujuh sunah ini secara istiqamah. 
 
Setiap perbuatan yang dicontohkan atau diperintahkan Rasulullah saw tidak pernah sia-sia. Hikmah diperintahkannya mengandungi pelbagai manfaat mulai dari penjagaan diri daripada dosa hingga sumber inspirasi untuk menambah keberkatan hidup.
 
Tujuh sunah yang ada dalam buku ini akan memberi ilham yang sangat besar kepada pembaca dan tentunya rasa bahagia apabila dapat melaksanakan semua tujuh sunah ini.

Saturday, June 15, 2013

Interaksi cekap melalui media sosial


 
 
 



Saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa kepada semua Ketua Setiausaha dan timbalannya serta ketua pengarah agensi kerajaan membuka akaun media sosial seperti facebook dan twitter dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam sektor awam. Sebelum ini terdapat peraturan yang mengehadkan penggunaan media sosial ini dalam kalangan penjawat awam kerana dikatakan interaksi dalam media itu mengurangkan produktiviti di pejabat.

Tujuan Ali Hamsa ialah meningkatkan maklumat yang tepat kepada orang ramai melalui kaedah interaksi yang lebih cepat, mudah dan diketahui. Selain daripada facebook dan twitter, media sosial lain yang boleh diguna pakai ialah youtube, whatsapp dan viber. 

Era penjawat awam bekerja dengan memberi arahan dari pejabat sudah dianggap konvensional dan tidak menepati transformasi kerja masyarakat maju. Keputusan-keputusan penting melibatkan tindakan segera perlu diketahui orang ramai dan mesti disampaikan segera. Antaranya ialah berkaitan kebajikan, permohonan atau tender.

Saranan ini tentunya dianggap sebagai arahan yang mesti ada tindakan segera kerana membuka akaun media sosial boleh dilakukan segera. Justeru, perlu ada mekanisme dan peraturan penggunaan media sosial bagi tujuan memberi maklum balas kepada orang ramai. Pekeliling yang menyatakan garis panduan, pelepasan maklumat sulit dan terperingkat dan kuasa pegawai wajar dikeluarkan supaya pegawai di sektor awam dapat berurusan dengan telus dan berani.

Faktor lain yang perlu diambil kira ialah jangka hayat akaun berkenaan kerana pertukaran pegawai dari jabatan ke jabatan sentiasa berlaku kerana pelbagai sebab seperti naik pangkat, dipindahkan, cuti belajar atau kematian. Mungkin boleh ditetapkan jangka hayat sesuatu akaun antara satu hingga tiga tahun.

Katakan kita mengambil contoh seorang pegawai kanan memiliki akaun media sosial dan perlu melayan beribu-ribu pertanyaan. Bagaimana beliau sendiri hendak menyelesaikannya kerana rutin kerjanya padat dengan mesyuarat, jemputan majlis rasmi dan rehat bersama keluarga? Adakah beliau perlu menjawabnya sendiri atau memberi kuasa kepada pegawai bawahan? Ataupun hanya menjawab isu-isu yang terdesak dan popular?

Sekiranya beliau menjawab semua isu yang dikemukakan, masanya akan dihabiskan dihadapan komputer dan letih melayan pelbagai isu yang mencakupi bidang kuasanya. Jika tidak, imej organisasi akan merosot dan sukar dibaiki.

Jabatan kerajaan boleh menjadikan Polis Diraja Malaysia sebagai model interaksi yang memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Mereka memiliki akaun facebook, twitter dan youtube sebagai organisasi dan menjadi rujukan kepada media dan orang ramai. Akaun tersebut diuruskan dengan cekap dan berkesan oleh pasukan khas yang diberi kuasa untuk melepaskan maklumat mengikut kesesuaian kes. Sehingga kini tidak pula kita mendengar akaun media sosial ini ditutup atau menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai sebaliknya terus diperkasa dan mendapat kepercayaan.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan boleh menggunakan kaedah ini dan bergerak secara pasukan supaya semua maklumat dikumpulkan pada satu tempat dan disebarkan kepada orang ramai. Agensi seperti kementerian dan jabatan boleh menjadi ahli dan terlibat secara aktif dalam perbincangan yang berkaitan dengan agensi sahaja. Jika melibatkan hal peribadi, penjelasan boleh dibuat melalui akaun peribadi masing-masing.

Saranan Ketua Setiausaha Negara ini amat baik dan mampu merapatkan jurang maklumat tepat dan salah. Kunci kepada penyebaran maklumat yang tepat ialah penyelarasan dalam agihan maklumat dan sampai kepada kumpulan sasar dalam tempoh yang singkat.

     

Thursday, June 13, 2013

Husam mesti tabah dan cekal hati








Datuk Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor telah memohon untuk tidak menghadirkan diri bagi majlis angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri. Beliau juga memohon untuk tidak hadir dalam persidangan dewan yang bermula pada Ahad ini.

Selepas tidak dilantik menjadi Exco, Husam dilihat mula mengurangkan penampilan diri apatah lagi baru-baru ini gagal dalam satu kes saman. Tindakannya yang mengambil sikap berkenaan dilihat memberi isyarat kecewa selepas kalah dalam pertarungan satu lawan satu dengan Datuk Tengku Adnan di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Peranan Husam dalam menggerakkan ekonomi Kelantan walaupun kurang publisiti ada kesannya seperti Koridor Depu, Jihad Ternak Kambing Janapari, Dinar Emas, Jambatan Palekbang dan Royalti Minyak. Program-program yang dirancang ini ada yang berjaya dan ada yang gagal. Barangkali prestasi yang tidak menentu inilah yang membuatkan Husam kurang digemari untuk dilantik menyambung tugas Exco seterusnya.

Ketika berkempen di Putrajaya, janji Husam untuk membaiki kehidupan penduduk bandar itu sangat meyakinkan namun kebanyakannya telah dan sedang dilaksanakan oleh Tengku Adnan. Ramainya sambutan dalam ceramah beliau tidak dizahirkan dalam bentuk undi kerana rata-rata kakitangan awam masih kurang yakin dengan keupayaan Husam sebagai pemimpin mereka.

Lalu apakah Husam masih ada harapan dalam politik negeri atau negara?

Husam wajar membuat perancangan dan mengguna pakai strategi yang bersifat populariti dan kompetensi untuk memenangi hati pengundi jika berhasrat memenangi pilihan raya akan datang. Oleh kerana terlalu yakin, Anwar Ibrahim menyatakan kunci kepada kejayaan pembangkang berada pada tangan Husam iaitu menang di Putrajaya. Namun kunci yang dimaksudkan itu gagal berfungsi dan Anwar perlu mencari kunci baru yang lebih hebat.

Kepada Husam, beliau wajar untuk terus mencekalkan hati dan terus berusaha sehingga berjaya. Mengambil kata-kata Tun Dr Mahathir "hanya yang cekal dan tabah akan berjaya", Husam juga boleh berjaya jika beliau bersabar dan berusaha sepenuh hati. 

 

Wednesday, June 12, 2013

Nilai murni rakyat Jepun patut dicontohi








oleh Jeniri Amir

Ketika meminta seorang rakan untuk menguruskan permohonan visa ke Jepun sebulan lalu, dia membayangkan beberapa kesulitan yang bakal dihadapi. Jika hendak pergi ke negara 128 juta penduduk itu, anda perlu mengemukakan sijil pernikahan, selain pernyataan kewangan bank.

Semua itu sebenarnya berbaloi kerana Jepun bakal membuka mata anda dari banyak segi. Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka sesudah mengharungi penerbangan sejauh 5,212 kilometer yang memakan masa sekitar enam jam, anda boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta api laju. Perjalanan 50 minit ke Stesen Osaka, segera mengejutkan anda bagaimana stesen pengangkutan serba moden itu digabungkan dengan pusat beli-belah terkemuka yang mengagumkan. Syarikat Hankyu yang mengendalikan satu daripada syarikat kereta api laju, juga menyediakan perkhidmatan bas dan feri, serta perhotelan dan perniagaan lain. 
 

Apakah yang hebat mengenai Jepun selain daripada keupayaannya untuk bangkit dalam waktu pantas sesudah menjadi padang jarak padang tekukur selepas Perang Dunia Kedua? Jepun hancur musnah dari segi fizikal dan ekonomi selepas perang. Ketika perang, rakyatnya sanggup berkorban untuk negara dan maharaja. Selepas perang, rakyatnya menderita dan jatuh miskin. Namun, rakyat Jepun dengan disiplin dan azam membara bekerja kuat untuk membina semula negara yang hancur musnah.

Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi luar biasa sejak pertengahan 1950-an. Pertumbuhan ekonominya mencecah 10 peratus pada dekad 1960-an dan lima peratus pada dekad 1970-an. Jepun mengeluarkan banyak produk dan menjualnya ke negara asing. Kini Jepun mendukung peranan utama hampir dalam setiap bidang usaha antarabangsa.

Terkenal dengan kemodenan

Jepun bukan hanya terkenal dengan makanan sushi, tempura, okonomiyaki atau persembahan kabuki, tetapi kemodenan dan kemajuan dari segi kota dan bandar, serta bidang teknologi dan perindustrian. Kemodenannya dapat disaksikan di hampir semua bandar terutama Tokyo, Osaka, Hiroshima, Kobe, Fukuoka, Nagoya atau Yokohama. Tempoh 15 hari yang ditetapkan dalam visa anda, tentu tidak memadai untuk mengenali Jepun, apatah lagi jika anda hendak mengembara dari kepulauan Kyushu di sebelah selatan ke Hokkaido di utara.

Menelusuri kota dan bandar berkenaan, anda kagum bagaimana dalam waktu singkat Jepun dapat membangunkan dan memajukan negara itu. Kebanyakan bandar Jepun memang padat. Sesetengah daripada penduduk Jepun tinggal di tiga kota utama: Tokyo, Nagoya dan Osaka. Sebanyak 27 peratus penduduknya tinggal di Tokyo dan kawasan sekitar. Disebabkan kepadatan penduduk dan nilai tanah yang begitu tinggi, apartmen dan rumah orang Jepun adalah kecil. Jadi, jangan hairan jika rakan Jepun anda tidak membawa anda ke rumah. Mereka akan meraikan anda di restoran atau hotel. Berderet-deret restoran yang menyediakan makanan Jepun di pelbagai kota. Anda terbayang, orang Jepun memang suka makan di luar.

Kesembilan ramai penduduk

Jepun sebagai negara kesembilan paling ramai penduduk mengalami kadar kelahiran menurun kerana hanya sekitar 1.1 juta bayi lahir setahun. Jepun mengalami masalah penuaan penduduk, dengan kini 20 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas, dan Jepun mempunyai penduduk berusia seratus tahun ke atas sebanyak 46,000 orang. Mengapakah kadar kelahiran merosot? Bagi rakyat Jepun, mempunyai banyak anak adalah sesuatu yang membebankan termasuk dari segi kewangan. Ibu bapa terpaksa membelanjakan banyak wang untuk tuisyen bagi memungkinkan mereka melanjutkan pelajaran ke kolej. Lagipun, semakin kurang yang mahu mendirikan rumah tangga. Jangka hayat rakyat Jepun begitu tinggi kerana gaya hidup sihat dan pemakanan mereka.

Setahun selepas Malaysia dibentuk, sudah ada perkhidmatan kereta api laju dari Tokyo ke Osaka. Kini, perkhidmatan shinkansen atau kereta api laju menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap dan pantas ke merata-rata kota, selain perkhidmatan kereta api bawah tanah. Tidak susah bergerak di Jepun kerana hakikatnya, kos pengangkutan tidaklah terlalu mahal. Anda tidak perlu risau. Di dalam kereta api, anda dapati penumpang membaca bahan bacaan dan bermain dengan alat canggih. Anda tidak mendapati orang Jepun bercakap menggunakan telefon dalam pengangkutan awam kerana itu dianggap menceroboh ruang peribadi penumpang lain.

Seperkara yang mengagumkan saya mengenai rakyat Jepun adalah bagaimana mereka menjaga kecantikan dan kebersihan bandar. Sukar bagi anda untuk melihat sampah sarap di mana-mana, termasuk di lorong belakang.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak
 
(Berita Harian, 8 Jun 2013)

 

Tuesday, June 11, 2013

Exam no fear









Musim peperiksaan di institusi pengajian tinggi telah bermula minggu ini. Semua mahasiswa sedang memberi tumpuan maksimum kepada peperiksaan masing-masing dengan harapan tinggi untuk mendapat keputusan cemerlang. Keputusan itu nanti akan menentukan di mana kedudukan mereka dan sejauh mana tahap pencapaian dalam tahun-tahun pengajian berikutnya.

Cara pelaksanaan peperiksaan akhir di universiti amat berbeza dengan sekolah. Di universiti, pensyarah diberi autonomi untuk merangka soalan, memeriksa jawapan dan memberi markah serta menentukan gred pelajar. Gred tidak ditentukan berdasarkan markah dalam peperiksaan semata-mata sebaliknya ditentukan oleh kerja kursus, laporan, kuiz, latihan dan komitmen sepanjang semester. Ada kalanya pelajar perlu membawa 60 peratus markah sebelum dapat mengambil peperiksaan kahir.

Walaupun markah peperiksaan akhir hanya 40 peratus, pelajar akan gagal sepenuhnya jika tidak menghadirkan diri untuk peperiksaan akhir itu.

Belajar di universiti adalah suatu keistimewaan bagi mereka yang berjaya di sekolah. Ia melambangkan kesungguhan dan ketekunan mencari ilmu. Tidak semua pelajar dapat meneruskan pengajian ke universiti kerana pelbagai masalah. Ada yang perlu bekerja sambil belajar, berhutang atau menamatkan alam persekolahan lebih awal kerana gagal dalam peperiksaan.

Jadi, untuk mencapai tahap mahasiswa di universiti, peperiksaan adalah halangan paling besar yang perlu dihadapi. Tidak perlu takut dengan peperiksaan kerana jika bersedia, ia akan membawa pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

 

Monday, June 10, 2013

Mendidik anak laki-laki




 
Penulis: Khalid Asy-Syantut
Tahun: 2013
Penerbit: PT Aqwam Media Profetika, Solo, Indonesia
Muka Surat: 208
 
Tarbiah menjadi teras kepada keseluruhan isi buku ini. Tarbiah bermula di rumah dan berlanjutan sehingga terbentuk sebuah masyarakat Islam. Keluarga dan institusi masjid juga berperanan membentuk individu muslim dan keluarga Islam.
 
Bagi menyingkap keperluan tarbiah ini, penulisnya membincangkan dengan panjang lebar tentang konsep remaja dari perspektif Barat yang telah meresapi pemikiran akademik di Barat dan Timur serta menjadi perbincangan yang panjang. Salah satu pertanyaannya ialah tentang tempoh akil baligh bagi kanak-kanak yang dianggap fasa kritikal bagi perkembangan seseorang remaja. 
 
Buku ini mengajak pembaca untuk membuang jauh-jauh teori yang dikemukakan di Barat yang tidak bersandarkan ilmu wahyu. Bermula dengan fakta bahawa pemuda yang cukup keperluan jasmani dan rohani akan melewati masa muda dengan aman dan sejahtera tanpa merasai gejolak jiwa. Beliau juga menarik minat pembaca untuk memikirkan bahawa Islam tidak memberi istilah remaja sebaliknya pemuda yang dikaitkan dengan semangat maju dan masa depan yang cerah.
 
Penulis juga memberikan perbandingan dua buah masyarakat yang membentuk kehidupan pemuda. Antara masyarakat materialis dan masyarakat kampung yang masih bebas daripada gaya hidup masyarakat kota. Perbandingan ini seterusnya merumuskan bahawa sejauh mana komiten masyarakat terhadap Islam, sejauh itu ia akan memberi jaminan bagi pemuda untuk melewati fasa kehidupannya dengan baik dan selamat. 
 
Buku ini amat berkesan kepada ibu bapa yang sedang mencari maklumat berkaitan keperluan menjadikan masjid sebagai pusat utama membentuk pergaulan dan sahsiah soleh supaya krisis nilai yang berlaku dalam masyarakat Islam dapat dirawat. Buku ini juga penuh dengan teknik dan petua untuk membentuk akhlak anak-anak lelaki yang dapat menjadi generasi Islam yang kompeten pada masa depan.
 
“Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa kekuasaan dan tidak ada kekuasaan tanpa ketaatan.” Umar Al-Khattab

 

Sunday, June 09, 2013

Program Nasional Pemberdayaan Masyarakat Mandiri




Penyanyi jalanan di Pekanbaru, Riau mencari wang di warung tepi jalan.


Program Nasional Pemberdayaan Masyarakat Mandiri (PNPM) adalah program yang menaungi aktiviti PNPM Mandiri Perdesaan, PNPM Mandiri Generasi, PNPM Mandiri RESPEK, PNPM Mandiri Pasca Bencana, PNPM Mandiri R2PN, PNPM Mandiri Perkotaan dan PNPM Mandiri Pelancongan. Pelancaran PNPM Mandiri dilakukan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 30 April 2007 di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. Program ini merupakan pengembangan yang lebih luas daripada perogram-program pembasmian kemiskinan yang pernah dijalankan sebelum ini.
 
Matlamat PNPM Mandiri adalah sebagai payung daripada pelbagai program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan Indonesia yang menggunakan konsep pembangunan komuniti sebagai pendekatan operasional. Di peringkat awal, terdapat dua program yang menjadi teras iaitu Program Pengembangan Kecamatan (PPK) dan Program Pembasmian Kemiskinan di Perkotaan (P2KP). Sebelum PNPM Mandiri dilaksanakan, terdapat banyak program pembasmian kemiskinan di Indonesia yang menggunakan pendekatan pembangunan komuniti seperti Inpres Desa Tertinggal (IDT). Program ini bermula pada tahun 1993 iaitu di awal Repelita VI melalui bantuan dana pusingan sebanyak Rp20 juta (RM17.5juta) setahun kepada lebih 20 ribu kawasan desa terpinggir. Selain bantuan modal, peserta turut diberikan bantuan teknikal yang bersesuaian dalam tempoh tiga tahun.
 
Peringkat kedua program pembasmian kemiskinan dan pembangunan komuniti ialah Program Pemgembangan Kecamatan (PPK) yang dilaksanakan oleh Departemen Dalam Negeri (1998), Program Pembasmian di Perkotaan (P2KP) yang dilaksanakan oleh Departemen Pekerjaan Umum (1999), Pemberdayaan Ekonomi Masyarakat Pesisir (PEMP) yang dilaksanakan oleh Departemen Kelautan dan Perikanan, Kelompok Usaha Bersama (KUBE) yang dilaksanakan oleh Departemen Sosial. Terdapat juga program-program lain yang diuruskan oleh pelbagai agensi yang bergerak sendirian, tidak bersepadu dan sektoral.
 
PNPM Mandiri Perdesaan
 
Salah satu program pembangunan komuniti yang menyokong PNPM Mandiri ialah PNPM Mandiri Perdesaan yang menyasarkan komuniti desa luar bandar. PNPM Mandiri Perdesaan melibatkan pelaksanaan mekanisme dan prosedur PPK sejak 1998-2007. Program ini menggunakan kegiatan dalam bidang infrastruktur desa, pengurusan dana pusingan bagi wanita, pendidikan dan kesihatan komuniti. Tiga komponen utama yang menjadi teras program ini ialah Dana Bantuan Langsung Masyarakat (untuk pembangunan), Dana Operasional Kegiatan (untuk latihan dan pembangunan komuniti) dan Perdampingan Masyarakat.
 
Dalam menjayakan PNPM Mandiri Perdesaan, peserta digalakkan untuk melibatkan diri dalam setiap tahap bermula dari perancangan, membuat keputusan sehingga pelaksanaan. Direktorat Pemberdayaa masyarakat dan Desa (PMD), Kementerian Dalam Negeri menjadi agensi penting dalam melaksanakan program ini. Sumber untuk membiayai program ini ialah dari Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (ABDB), Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility), dana hibah dan pinjaman dengan kerjasama Bank Dunia.
 
Prinsip-Prinsip PNPM 
 
Oleh kerana PNPM menyesuaikan sepenuhnya mekanisme dan prosedur Program Pengembangan Kecamatan (PPK), prinsip-prinsip dalam PNPM sebenarnya meneruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh PPK di samping memberi penambahbaikan kepada program sedia ada. Prinsip dan ciri PNPM ditunjukkan dalam jadual di bawah. 

 


Prinsip

Ciri-Ciri

Fokus pembangunan manusia

Setiap aktiviti bermatlamat meningkatkan maruah peserta.

Autonomi

Masyarakat diberi kemudahan untuk megambil bahagian dalam menentu dan menguruskan aktiviti pembangunan secara pengurusan kendiri (swakelola).

Desentralisasi

Urusan aktiviti pembangunan sektoral dan wilayah diserahkan kepada pegawai daerah sesuai dengan keupayaannya.

Orientasi masyarakat miskin

Aktiviti yang dilaksanakan mengutamakan kepentingan dan keperluan masyarakat miskin dan kurang mampu.

Penglibatan masyarakat

Masyarakat terlibat secara aktif dalam setiap proses membuat keputusan pembangunan dan menjalankan pembangunan bersama-sama.

Kesetaraan dan keadilan gender

Setiap orang mempunyai kesaksamaan dalam menunaikan peranannya di setiap tahap pembangunan dan dapat menikmati manfaat tersebut secara adil.

Demokratik

Proses membuat keputusan dilakukan secara musyawarah dan muafakat.

Telus dan akauntabiliti

Masyarakat memiliki akses yang mencukupi ke atas maklumat dan proses membuat keputusan sehingga aktiviti dapat dilaksanakan secara terbuka dan bertanggungjawab.

Keutamaan

Kerajaan dan masyarakat memberi keutamaan untuk memenuhi program pembasmian kemiskinan dan memperkasa pelbagai sumber.

Kolaborasi

Semua pihak yang berkepentingan dalam pembasmian kemiskinan digalak mewujudkan kerjasama dan sinergi.

Kesinambungan

Setiap keputusan wajar mengambil kira peningkatan kesejahteraan masyarakat.

 

PNPM Mandiri Perdesaan menjadi program pembangunan komuniti yang terbesar di Indonesia merangkumi 42,319 kawasan termiskin di negara itu. Pengelolaan program ini diletakkan di bawah Direktorat Jenderal Pemberdayaan Masyarakat dan Desa bersama Tim Koordinasi yang merangkumi pejabat Menko Kesro, Bapennas, Depdragi, Depkau dan Departemen Kimpraswil. Di peringkat kecamatan (daerah), ketua seksyen PMD merupakan pengurus projek atau Penanggungjawab Operasional Kegiatan (PjOK).
 
Pemantauan dan penilaian PNPMM melibatkan proses penglibatan masyarakat oleh Tim Pemantau yang bertindak mengawasi penggunaan dana yang merangkumi pemeriksaan harga, pengelompokan produk, pengauditan dan laporan status kemajuan projek. Masyarakat juga mengkaji laporan kemajuan program yang dibentangkan oleh Tim Pelaksana Kegiatan (TPK). Seterusnya semua bentuk pencapaian dipaparkan di Papan Informasi setiap kawasan yang terlibat.

 

Saturday, June 08, 2013

Falsafah di sebalik Israk Mikraj






oleh Khairuddin Haiyon 
 
Terdapat tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS. 
 
Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia.
 
Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.
 
Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.
 
Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.
 
Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.
 
Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
 
Pertemuan
 
Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.
 
Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku? Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini."
 
Rasulullah sendiri bertemu dengan Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam surah al-Najm ayat kelapan dan sembilan iaitu: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad SAW), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga jarak sekadar dua hujung busar panah atau lebih dekat lagi.
 
Maka terbuka segala tabir, terbukalah hijab, sehingga baginda melihat wajah Allah. Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah mengejakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam.
 
Persimpangan
 
Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisiNya.
 
Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah. 
 
Firman Allah dalam surah al-Tin ayat keempat dan keenam bermaksud: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
 
Fitrah

Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu). 

Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. Mengapa? Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).

Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.

Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat. 

Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.

Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan. 

Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir. 

Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.

 
Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

 
(Utusan Malaysia, 8 Jun 2013)