Sunday, April 28, 2013

Lindungi keselamatan penjawat awam


Tiga das tembakan telah menyebabkan seorang penjawat awam terbunuh serta-merta di Putrajaya. Kejadian ini amat memeranjatkan kerana pembunuhan seperti ini belum pernah berlaku di situ apatah lagi ketika mood pilihan raya sedang berlangsung.

Keselamatan penjawat awam wajar diberi perhatian

Modus operansi pembunuhan ini sama seperti yang dilakukan oleh pembunuh upahan iaitu pembonceng dan penunggang motosikal menghampiri sasasan dan melepaskan tembakan tepat ke arah mangsa. Kejadian di Melaka, Seremban dan Batu Caves mempunyai modus operandi yang melibatkan pembunuh upahan dan sehingga kini belum dapat dirungkai misteri pembunuh tersebut.

Media melaporkan pihak polis mengesyaki ia berkaitan dengan balas dendam sindiket pengedaran dadah yang tumpas di KLIA baru-baru ini melibatkan RM73 juta syabu yang hendak diimport ke Malaysia. Kejayaan pihak kastam menggagalkan pengedaran berkenaan mungkin menjadi penyebab kepada tindak balas tersebut.

Keselamatan melaksanakan tugas bagi pihak kerajaan merupakan tanggungjawab kerajaan. Ia melibatkan prosedur, kos, sistem penyampaian dan pengawasan. Contohnya, jika melibatkan keselamatan anggota, pihak kerajaan perlu membenarkan agensi melantik pengawal keselamatan sendiri yang memiliki kepakaran dalam memberi perlindungan kepada pegawai kanan. Dalam kes kastam, agensi itu wajar diberi keistimewaan menempatkan pengawal pengiring bersenjata untuk urusan rasmi. Malahan kenderaan yang dinaiki juga wajar diberi kebenaran memasang cermin paling gelap.

Anggota penguatkuasa  seringkali berhadapan dengan ancaman yang menghalang keberkesanan tugas mereka. Namun insiden yang berlaku di Putrajaya ini diharap menjadi iktibar kepada penambahbaikan dalam aspek keselamatan pegawai kanan agensi dan mengingatkan kita bahawa dalam setiap masa, ada pihak yang tidak senang dengan agensi penguatkuasa membanteras pelbagai kegiatan penyelewengan dan jenayah di negara kita.

 

Wednesday, April 24, 2013

PRU13: "Ini kali lah"





Sepanjang minggu ini saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Melaka untuk meninjau mood dan  sentimen pengundi muda terhadap pilihan raya 2013. Malam ini saya menyertai kelompok orang muda bermain badminton di Dewan Bistari. Rata-rata pemain di sini dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor, mahir dan separuh mahir dan datang dari pelbagai kawasan seperti Telok Mas, Durian Tunggal, Klebang dan Alor Gajah.

Sebahagian besar adalah Melayu, sedikit Cina dan malam ini tidak ada pemain India.

Sambil bersembang menunggu giliran bermain, saya mengedarkan borang selidik kecenderungan mengundi kepada orang-orang muda ini. Ada yang berminat dan ada juga yang menolak. Selepas selesai mengisi maklumat dan mengembalikan borang, saya hulurkan saguhati sebagai penghargaan kerana menjawab dengan jujur. Masa itu saya dapat sepuluh borang selidik yang lengkap diisi dari merata kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Melaka.

Ia sangat mengujakan kerana pola pengundi yang pelbagai ini memberi gambaran awal kepada tahap kecenderungan terhadap parti politik yang mereka akan pilih dalam pilihan raya akan datang.

“Ini kali lah, ini kali lah...” saya terdengar kata-kata ini lalu memandang ke arah suara berkenaan. Rupanya seorang pemain yang baru selesai bermain mengucapkan kata-kata itu sambil tersenyum dan bergerak menuju ke arah rakan-rakannya yang sedang memanaskan badan. Walau bagaimanapun tidak ada sambutan daripada rakan-rakannya dan ia terhenti begitu saja.

Istilah “Ini kali lah” merupakan slogan popular di media sosial khususnya laman sesawang pro pembangkang. Ia bermaksud mengajak pengundi membuat perubahan dalam pilihan raya 2013 melalui proses pemasakan indoktrinasi yang mudah, ringkas dan berterusan. Terdapat kain rentang yang dipasang di sekitar Melaka menggunakan istilah inti untuk mengingatkan pengundi.

“Ini kali lah” boleh menjadi slogan pengukuh yang hebat bagi Pakatan Rakyat jika dipamerkan di merata tempat seperti simpang jalan, kedai makan atau risalah. Ceramah juga boleh menggunakan tema ini selain daripada slogan “Ubah” yang dilihat mengambil idea kempen dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Slogan “Ini kali lah” tidak mempunyai makna kepada pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari kerana mereka tidak faham, tidak diberi penjelasan dan tidak dijadikan kempen besar-besaran dalam hidup seharian. Pakatan Rakyat berharap pilihan raya 2013 ini menjadi penentu kepada kejayaan ke Putrajaya, mungkin pengundi muda melihat ia lebih kepada ancaman ke atas kedudukan selesa mereka.

Pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari ini mempunyai pekerjaan yang sudah mantap, gaji yang agak lumayan dan tidak perlu risau dengan keadaan hidup ketika ini. Justeru slogan “Ini kali lah” tidak begitu sinonim dengan orang-orang muda kaki badminton itu, dan saya perlu cari tempat lain untuk melihat slogan ini diraikan.

 

Tuesday, April 23, 2013

Kuasa persepsi penganiayaan politik






oleh Karim Raslan

Isu mengejutkan pengundi 48 jam menjelang hari penamaan calon. Ia juga mempersembahkan “senjata” penting bagi kempen Pakatan Rakyat – penganiayaan. Sebagai pembangkang, mereka terpaksa bertanding sebuah perlumbaan yang tidak adil untuk mengalahkan Barisan Nasional yang menguasai segala pelosok kerajaan.

Sebagai contoh, hampir kesemua kredibiliti yang ditonjolkan Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri peralihan Pulau Pinang, Lim Guan Eng datang daripada kesanggupan beliau pada tahun 1998 untuk bersuara bagi pihak seorang gadis Melayu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seks. Dipenjarakan hanya memperkasakan kredibiliti beliau.

Pemimpin PKR, Anwar Ibrahim juga muncul sebagai ikon pembangkang kerana dipecat dan dipenjarakan (dari 1999 hingga 2004) yang kemudiannya didedahkan sebagai kes pencabulan kuasa dan sodomi yang diada-adakan.

Pemimpin- pemimpin ini – dan juga parti mereka – menunjukkan mereka sanggup untuk bersuara dan merana untuk kepercayaan mereka. Ini juga menyatupadukan pihak pembangkang di Malaysia, melangkaui garis perkauman dan agama.

Sebaliknya, Umno telah berkuasa sejak pembentukan Malaysia. Parti itu sudah merasai prestij kuasa dan jawatan tinggi. Malah, kini berlaku gabungan identiti di antara kerajaan dan parti sehingga Umno dianggap “parti kerajaan”.

Namun zaman internet ini, kuasa kerajaan memerintah tidak menjanjikan kemenangan. Apabila institusi kerajaan menjadi kaku, tidak efisien dan korup, kegagalan mereka dikaitkan dengan tuan politik mereka. Tidak mungkin gabungan identiti ini, yang sejak dulu menjadi kebanggaan mereka, dirungkai dalam masa singkat.

Apa yang bakal kita saksikan adalah titik perubahan, di mana Barisan Nasional mula menyedari kesan buruk kerana terlalu dikaitkan dengan ‘status quo’ - terutama di kawasan bandar dan separa bandar di mana rakyat Malaysia mengambil serius perkhidmatan kerajaan, keadilan, dan ketelusan.

Kemampuan Pakatan untuk meraih simpati umum dengan menunjukkan kekerdilan mereka menentang kuasa kerajaan menyebabkan gabungan identiti BN ini menjadi pedang bermata dua. Sepanjang lima tahun lepas, pembangkang sudah mahir dalam mewujudkan kemarahan terhadap layanan diterima mereka daripada kerajaan Barisan. Simpati yang diterima membolehkan mereka menandingi jentera BN lebih besar – saksikan bagaimana Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah sengaja menjadikan diri beliau underdog walaupun beliau penyandang kerusi dan ikon pembangkang.

Dua hari kemudian pada hari Khamis, ketika calon-calon di seluruh Malaysia bersedia untuk hari penamaan calon, DAP mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.

Tanpa pengetahuan umum, parti itu menerima dua surat berkaitan dengan isu pentadbiran parti itu daripada pihak berkuasa setelah pilihan raya parti yang memalukan dan berkemungkinan haram pada Disember 2012 yang lepas.

Surat pertama menyatakan bahawa penyiasatan insiden itu sedang dijalankan dan perbicaraan akan diadakan pada 9 Mei.

Namun, surat kedua bertarikh sama, lebih membingungkan apabila menyebut Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP tidak diiktiraf oleh JPPM. Guan Eng mencadangkan 156 calon parti itu akan bertanding di bawah logo Pas dan PKR masing-masing di Semenanjung dan Sabah Sarawak.

Namun, Datuk Abdul Rahman Othman daripada JPPM selepas itu menyatakan logo DAP tidak dibatalkan. Tetapi, DAP berkeras selagi surat kedua itu tidak ditarik balik, parti itu akan berkempen di bawah logo sekutu mereka.

Seterusnya, Guan Eng mengumumkan parti itu akan memberikan calon mereka dua surat watikah, satu daripada roket dan satu daripada Pas/PKR.

Walau apa pun hari penamaan calon berjalan lancar dan 'roket' boleh diguna untuk kempen, kesan buruk pada Barisan Nasional tampak serius. Tanggapan bahawa kuasa kerajaan telah disalah guna untuk kepentingan politik akan mengikis sokongan pada Barisan Nasional.

Anda mungkin mengkritik politik dan taktik DAP dan Pakatan, tetapi tiada siapa boleh menafikan persepsi ketidakadilan dan pencabulan kuasa di Malaysia merupakan senjata paling mustajab bagi mereka. Sememangnya, senjata (dan muslihat) ini ada bahayanya: pertama, “si penggembala kambing hanya boleh berteriak serigala” sekali atau dua – dan selebihnya akan diragui dan kedua, pemimpin Pakatan sendiri memenuhi posisi berkuasa dan penganiayaan tidak mudah lagi dieksploitasi.

Selamat berkempen semua!

(Sinar harian, 23 April 2013)

Monday, April 22, 2013

PRU13: Calon tanpa kualiti






Ketegasan penolakan presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang terhadap calon pilihan raya yang menjadi penjual pil kuda dan penyokong Marxisme amat membantu pengundi memahami karektor bakal pemimpin mereka. Jika calon seperti ini menang, masyarakat berada dalam kesusahan kerana urus niaga dan penyebaran ideologi akan lebih mudah dilakukan.

Contohnya berniaga pil kuda, penguat kuasa tentu berasa gentar berhadapan dengan pemimpin politik ini kerana kuasa dan pengaruh yang mereka ada. Justeru tindakan agak sukar kerana tekanan yang bakal dihadapi oleh pihak berkuasa. Agensi penguatkuasaan akan berfikir dua tiga kali untuk menyiasat kerana ia melibatkan pemimpin dalam masyarakat.

Pemimpin yang menjunjung fahaman Marxisme juga bahaya kerana mudah mempengaruhi pemikiran orang muda yang agresif dalam melaksanakan perjuangan. Bermula dari seorang, ideologi ini berkembang menjadi kumpulan kecil sebelum menjadi barah yang berbahaya.

Pendedahan yang dibuat oleh presiden Pas itu menjelaskan rasa tidak senang parti itu terhadap calon-calon dari PKR kerana menjejaskan hala tuju dan misi Pakatan Rakyat untuk menjadi organisasi politik pilihan dalam pilihan raya ini. Kewibawaan PKR sebagai parti pilihan mungkin terjejas apabila peribadi dan sahsiah calon-calon mereka didedahkan.

Antara Pas, DAP dan PKR, latar belakang calon sangat diutamakan oleh Pas. Dalam setiap pilihan raya, calon-calon dari parti itu tidak boleh menghisap rokok dan menjadi polisi utama sehingga kini. Melalui saringan seperti ini, masyarakat melihat calon tanpa rokok sebagai bersih dan mengutamakan kesihatan diri. Kredibiliti calon akan lebih tinggi jika mereka memiliki tahap keintelektualan yang hebat.

Sahsiah calon menjadi kritikal dalam pilihan raya kerana pengundi lebih bijak dan pintar menentukan pemimpin mereka. Masa untuk calon-calon menggula-gulakan rakyat sudah pun berakhir kerana masa depan negara lebih penting. Persaingan dalam ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat perlukan calon yang bekerja kuat dan memahami situasi global di samping dapat mengekalkan kestabilan politik negara.

Saturday, April 20, 2013

PRU13: Ramai calon Bebas






Pertembungan politik dalam Pilihanraya Umum ke-13 semakin rancak selepas proses penamaan calon selesai pada hari ini. Di Kedah, Pulau Pinang dan Perak memperlihat terdapat calon bebas dari UMNO sendiri yang masuk bertanding. Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar selepas menolak tawaran untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan. Beliau juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli UMNO.

Perjuangannya dalam politik UMNO sudah berakhir dan menjadi iktibar kepada pemimpin muda pelapis supaya meletakkan kesetiaan kepada parti melebihi kepentingan peribadi. Sukar bagi pengundi yang waras untuk memilih pemimpin yang “keras kepala” seperti wanita itu.

Di sesetengah tempat, cawangan parti politik dibubarkan di samping ada yang enggan turun padang membantu kempen.

Di seluruh negara, keanehan yang agak ketara ialah peningkatan jumlah calon Bebas yang bertanding. Walaupun menjadi calon Bebas merupakan strategi politik, bilangan yang ramai menunjukkan ada faktor lain selain daripada memecahkan undi.

Satu alasan yang boleh diterima ialah tahap kesedaran masyarakat untuk memberi tekanan kepada parti-parti politik supaya meletakkan rakyat pada tempatnya. Pengundi hari ini memiliki tahap kesedaran politik yang jauh lebih baik berbanding tahun-tahun lepas. Masyarakat kampung turut mempunyai tahap kesedaran ini dan mana-mana parti politik belum tentu akan mendapat undi dengan mudah.

Isu lain yang berkaitan dengan pengundi ialah tindakan seorang pengurus cawangan bank di Nusa Bistari, Johor yang meminta pekerja Melayu untuk menyokong pembangkang. Nama pengurus dan bank  itu telah pun diketahui umum dan pihak polis menyifatkan isu tersebut sebagai masalah dalaman bank. Bagaimanapun kempen memboikot bank berkenaan dapat dilihat dalam beberapa laman blog.

Kempen pilihan raya di pihak BN dan PR sangat sengit. Sepanjang jalan terdapat pemidang besar yang memaparkan gambar pengerusi BN bersama usaha-usaha memajukan Malaysia. Begitu juga dengan kempen PR khususnya Parti Kadilan Rakyat (PKR). Anwar Ibrahim telah menghantar e-mel kepada rakyat Malaysia dalam Projek 222 untuk merayu dana kempen pilihan raya kali ini. Dengan menderma RM222 seorang, PKR mampu menjana pendapatan jutaan ringgit dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pilihan raya kali ini amat mencabar kerana masing-masing cuba untuk meraih kejayaan. Namun perkara yang lebih penting ialah Malaysia telah memasuki era pilihan raya yang sangat matang dan rakyat negara ini mampu menguruskan masa depan negara dengan keupayaan mereka sendiri. Pemilihan calon atau parti untuk menjadi pemimpin negara pada 5 Mei nanti harus tunduk kepada kepentingan rakyat, memerangi rasuah dan memartabatkan Islam.

 

Wednesday, April 03, 2013

PRU13: Laluan ke Putrajaya





Fikirkan masalah umat Melayu


Jumlah pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga 31 Disember 2012 ialah 13,291,385 orang. Jumlah pengundi paling ramai terletak di Selangor iaitu 2,051,708 orang manakala paling sedikit di Putrajaya iaitu 15,798 pengundi. Bilagan pengundi ini bakal menentukan kerajaan baru yang akan mentadbir Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kumpulan politik di Malaysia telah berpecah kepada tiga iaitu Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pengundi atas pagar. Penentu kepada kejayaan BN atau PR dikatakan terletak pada kelompok ketiga ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, kaum dan umur. Ada yang menggelar mereka ini sebagai kelompok ketiga yang perlu diberi perhatian jika mahu terus kekal atau sedang menuju ke Putrajaya.

Mood atau keadaan negara ketika ini ialah lambakan maklumat dan perkembangan semasa mengenai parti politik yang bertanding. Maklumat ini mengandungi sebaran yang positif dan negatif. Jika dilihat pada media prokerajaan, sepuluh muka surat pertama ialah kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh BN sejak Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan parti itu. Setiap negeri melaporkan perubahan yang lebih baik dalam era beliau.

Media propembangkang turut melakukan tindakan yang sama. Terdapat nada yang optimis mengenai keupayaan PR untuk berada di Putrajaya kali ini. Ia mungkin berdasarkan trend semasa pengundi yang memenuhi ceramah-ceramah yang dianjurkan. Mereka juga yakin peranan media sosial yang menyasarkan golongan muda memberi kelebihan ke atas peluang ini.

Politik di Malaysia adalah unik dan mengambil kira budaya, agama dan sosioekonomi masyarakat. Perbezaan taraf hidup di bandar dan luar bandar, kekayaan yang tidak sama rata dan tahap pendidikan yang berbeza masih menjadi penentu kepada pilihan pengundi. Keadaan hidup dan taraf sosioekonomi masyarakat majoriti iaitu bumiputera yang masih ketinggalan merupakan faktor pendorong kepada sokongan terhadap BN di kawasan luar bandar. Masyarakat yang dahagakan pembangunan masih mengharapkan jalan raya diturap, elektrik dibekalkan dan air bersih untuk mandi, sudah tentu menagih janji BN sebagai pembawa pembangunan.

Bagi PR, isu-isu yang mendominasi kem ini ialah tentang kebajikan masyarakat yang dirasakan sudah diabaikan oleh BN. Justeru mereka memberi tumpuan kepada keperluan mendapatkan pendidikan percuma, pengurangan harga minyak dan menghapuskan tol. Walaupun isu ini baik tetapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak membebankan perbelanjaan negara melalui kenaikan cukai.

BN dilihat berjaya menyusun strategi untuk meraih undi dalam pilihan raya kali ini apabila mendekati kelompok yang dipinggirkan seperti pertubuhan pendidikan Cina, sekolah pondok dan golongan muda. Dalam pendidikan Cina, Najib Tun Razak sendiri yang bersemuka dengan pertubuhan itu untuk meminta masyarakat pendidik Cina menyokong BN. Sebagai balasan, isu kemasukan pelajar Cina ke universiti melalui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) aliran Cina sedia dibincangkan. Sebelum ini terdapat sebuah universiti China yang dibenarkan membuka cawangannya di Malaysia di samping beberapa institusi pengajian tinggi dari Taiwan yang diiktiraf.

Begitu juga dengan komuniti India di Malaysia. BN semakin lunak untuk memberi kad pengenalan kepada komuniti tersebut yang masih belum ada kad pengenalan walaupun sudah lama tinggal di negara ini. Keprihatinan ini dilihat akan mengambil hati pengundi India di kawasan yang dulunya dikuasai PR. 

Bagaimana dengan PR? Apa yang mereka lakukan untuk berhadapan dengan BN?

Enjin carian Google memperlihat trend carian adalah kepada Anwar sama ada positif atau negatif.. Golongan muda yang celik IT mudah berkongsi kecenderungan dan maklumat pilihan raya melalui media baru sosial yang mudah dan pantas. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh tim PR untuk memancarkan imej positif mengenai parti mereka seolah-olah kejayaan berada di hadapan mata sekarang.

BN agak ketinggalan dalam mengguna pakai media baru sosial kerana tumpuan diberikan kepada liputan media massa dan elektronik.

Laluan ke Putrajaya bagi PR jauh lebih sukar daripada yang disangkakan. Tidak mudah bagi masyarakat Melayu untuk menerima persahabatan baik antara PAS dan DAP yang berbeza prinsip perjuangan walaupun berkongsi matlamat iaitu menumbangkan BN. Kes yang melibatkan moral pemimpin juga menjadi perhatian. Walaupun kes moral PR lebih menonjol, dalam BN masih terdapat pengerusi parti yang mengaku terlibat dalam masalah moral.

Jalan ke Putrajaya tidak semudah yang disangka. Kedua-dua parti perlu kuat dan gigih berusaha supaya fantasi bertukar menjadi realiti.

 

Tuesday, April 02, 2013

Parti politik juga mampu berubah





Pembaharuan untuk kejayaan


oleh Karim  Raslan

Adakah parti politik mampu berubah? Soalan ini pasti bermain di benak pemikiran rakyat Malaysia yang kini sibuk mempertimbangkan parti mana akan dipangkah dalam pilihan raya umum nanti.

Pada pendapat saya: ya, parti politik mampu berubah. Namun kadangkala, mereka perlu ditewaskan terlebih dahulu sebelum pembaharuan berlaku.

Lihat sahaja Parti Kongres di India yang telah kembali dengan kemenangan besar pada pilihan raya nasional tahun 2004 setelah dikalahkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1996. Walaupun nasib mereka tidak menentu dalam pilihan raya depan, pucuk pimpinannya berjaya memodenkan Parti Kongres yang merupakan antara parti politik tertua masih beroperasi di dunia untuk kekal relevan di India.

Satu lagi contoh terbaru ialah Parti Demokrat Liberal (LDP) di Jepun. Ramai penganalisis meramalkan kehancuran mutlak pemimpinnya Shinzo Abe dan parti LDP setelah mereka tewas pada 2009, namun mereka kembali di tampuk kuasa, berusaha keras untuk membina semula ekonomi dan dasar pertahanan Jepun mengikut cita rasa mereka.

Namun, contoh paling menarik di mana parti pemerintah berjaya melonjak naik setelah kehilangan kuasa adalah di Mexico. Akhir 2012, Enrique Pena Nieto yang berusia 46 tahun dipilih sebagai Presiden Mexico yang baru. Beliau pemimpin Parti Revolusi Berinstitusi (PRI) yang telah memerintah Mexico selama 71 tahun, sebelum dominasi kuasa ini dipecahkan Parti Tindakan Nasional (PAN) apabila Vicente Fox menang tahun 2000.

PRI mengekalkan kuasa mereka selama 7 dekad dengan rasuah, salah guna kuasa dan penipuan: dan seperti kata Pemenang Anugerah Nobe dari Peru, Mario Vargas Llosa, rejim PRI adalah ‘diktator sempurna.’

Sememangnya, PRI pintar ambil peluang tanpa mengira ideologi walaupun ramai ahlinya berhaluan kiri. Pertalian rapat dan saling memerlukan di antara PRI dan kesatuan-kesatuan pekerja bantu PRI untuk kekal berkuasa.

Bukan itu sahaja, era pemerintahan PRI juga banyak melahirkan ramai taikun dan tokoh korporat, seperti manusia terkaya di dunia kini iaitu Carlos Slim melalui proses penswastaan seperti yang melibatkan syarikat operator telefon Mexico, Telmex pada tahun 1990. Telekomunikasi merupakan penjana utama kekayaan Slim yang kini dijangka bernilai lebih dari USD 73 billion.

Namun, kos telekomunikasi di Mexico kekal yang tertinggi di dunia, dengan syarikat-syarikat Slim, Telmex dan America Movil masing-masing menguasai 80 dan 70 peratus pasaran talian tetap dan mudah alih. Selain itu, taikun media, Emilio Azcarraga Vidaurreta menguasai 60 peratus dari siaran komersial televisyen di Mexico melalui syarikatnya Televisa Media Company.

Justeru, rakyat Mexico menyambut kemenangan Pena Nieto dengan kekhuatiran: mungkinkah mereka akan kembali ke era sinonim dengan penyelewengan?

Namun, Presiden muda itu pantas memberi kejutan. Antara usaha pertama beliau adalah mengajak parti-parti politik di Mexico untuk menandatangani ‘Pact for Mexico’, dokumen yang menjanjikan pembaharuan menyeluruh, termasuk memudahkan pemecatan guru yang tidak memberangsangkan, memperkenalkan cukai atas makanan dan ubatan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan serta ketelusan pengendalian hal-hal kewangan kerajaan tempatan.

Beliau juga umum pelan untuk memecahkan monopoli Slim dan Azcarraga, dengan hadkan syarikat telekomunikasi kepada hanya 50 peratus jumlah pasaran serta membina dua lagi stesen televisyen di mana Televisa tidak dibenarkan membida.

Menyedari semangat dan sikap objektif presiden itu, ramai pemimpin berpengaruh, termasuk ketua kesatuan pekerja Pemex, Carlos Romero Deschamps (juga pernah dituduh menyeleweng) dan juga Carlos Slim sendiri menyokong reformasi Pena Nieto.

Memang benar, kejayaan reformasi ini masih di tahap awal. Namun, tidak mustahil bagi Mexico mencapai potensi mereka di bawah pimpinan Pena Nieto.

Kesimpulannya, parti politik boleh berubah dan kerap sekali pengalaman pahit berada di bangku pembangkang yang mencetus perubahan positif ini. Terpulanglah kepada teman-teman di sini memikirkannya.

(Sinar Harian, 2 April 2013)
 
 

Monday, April 01, 2013

Kesan negatif selalu 'delay'





Penumpang penuhi masa dengan bersembang dan berkenalan


Gara-gara lewat berlepas dari Bandar Seri Begawan, AirAsia menerima rungutan dan kecaman penumpang yang bakal terlepas penerbangan ke Alor Setar, Kota Bharu dan Singapura pada sebelah malamnya. Pesawat AK1697 yang patut berlepas pukul 3.55 petang hanya dapat berbuat demikian pada pukul 5.30 petang, hampir dua jam melepasi masa sepatutnya.

Penumpang mula merungut sebaik sahaja dimaklumkan kelewatan berkenaan. Petugas AirAsia di kaunter cuba untuk berbuat baik dengan beberapa orang penumpang yang sudah mula “naik angin” kerana mereka tentu merasa kesan kelewatan berkenaan.

Seorang penumpang yang perlu ke Alor Setar pada jam 8 malam berjumpa dengan dua petugas Air Asia untuk menyatakan kekesalannya manakala seorang penumpang ke Singapura sudah nampak panik dan resah. Tidak ada sebarang ganti rugi yang diberikan AirAsia atas kelewatan berkenaan.

Jika seorang penumpang yang membawa beg pakaian dan bercadang meletakkannya dalam kargo, ia mesti tidak melebihi 7 kilogram dan peraturan ini sangat tidak ada tolak ansur. Jika melebihi setengah kilo, dia harus membayar B$23.00 bagi sekilo yang lebih itu. Apabila pesawatnya sendiri lewat dan meresahkan ramai orang, tidak pun ada ganti rugi yang dapat menenangkan penumpang yang resah dan marah-marah.

Permulaan perkhidmatan AirAsia memang dikenali kerana sentiasa “delay” sama ada dalam ataupun luar negara. Imej ini semakin hilang apabila mereka berjanji untuk menepati masa dan membuat komitmen yang lebih tegas. Selepas itu, penerbangan AirAsia menjadi pilihan ramai dan dianugerahkan beberapa kemenangan di peringkat Asia dan dunia.

AirAsia perlu menyatakan komitmen mereka untuk berlepas pada masa yang ditetapkan kerana tambang mudah sudah menjadi pilihan orang ramai. Penerbangan yang dilewatkan hanya mengundang persepsi negatif apatah lagi penumpang mempunyai pilihan untuk terbang pada tahun ini. Pengenalan beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang memang murah bakal menolak AirAsia ke belakang jika AirAsia masih mengekalkan perkhidmatan yang sentiasa “delay”.