Antara prinsip pendekatan pembangunan sosial yang dikenal pasti oleh sarjana
sosial dan dasar sosial adalah tanggapan terhadap proses, perubahan, intervensi
dan universalisme (kesejagatan). Prinsip-prinsip ini mencerminkan perbezaan
perspektif normatif dan ideologi serta mendedahkan usaha perjuangan ideologi
untuk mencapai matlamat pembangunan sosial.
Seperti yang dicadangkan
sebelum ini, tanggapan perubahan sosial yang progresif adalah prinsip utama
pembangunan sosial. Penyokong pembangunan sosial menolak pandangan statik atau
konservatif yang membiarkan keadaan sosial semasa atau menyimpulkan tidak boleh
dilakukan apa-apa untuk memperbaiki kebajikan manusia. Mereka mengambil
pandangan optimistik yang mempercayai bahawa perubahan adalah satu kemungkinan dan
masalah sosial seperti kemiskinan, kemelaratan sosial, masalah kesihatan, buta huruf, tempat tinggal
yang tidak mencukupi, ketaksamaan, eksploitasi dan ketidakadilan boleh
ditangani.
Walaupun pandangan ini
telah dikritik sebagai terlalu idealistik dan juga bersifat utopia, mereka mengakui
dasar pembangunan sosial dan program-program yang dilaksanakan telah menunjukkan
penambahbaikan yang ketara dalam banyak negara dan perubahan pada masa depan
juga menunjukkan keadaan yang sama.
Kepentingan konsep perubahan sosial yang
progresif dalam pembangunan sosial mencerminkan tanggapan bahawa pembangunan
sosial sebagai satu proses yang berkembang. Aktivis pembangunan sosial menyatakan
perubahan sosial tidak berlaku serta-merta tetapi berkembang melewati masa, melibatkan
ejen yang berbeza, peruntukan sumber serta komitmen politik.
Oleh itu, pembangunan
sosial boleh berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain seperti kebajikan atau penyampaian
khidmat sosial yang tidak menekankan perlunya proses perubahan progresif yang berterusan.
Proses dalam pembangunan sosial juga mencerminkan maklum balas yang lebih luas
dan konsep pembangunan yang pelbagai rupa yang saling bergantung kepada ekonomi,
sosial, gender, politik dan dimensi ekologi dalam proses pembangunan. Penyokong
pembangunan sosial menegaskan dimensi yang berbeza ini dikaitkan dengan
berkesan dalam pembangunan dasar, program dan projek yang dilaksanakan.
Idea
ini dapat diungkapan dalam tiga asas, pertama, pengharmonian komponen yang berbeza-beza dalam
proses pembangunan dan penggunaan pengaturan organisasi untuk mencapai matlamat
berkenaan. Walaupun pemikiran dasar sosial konvensional telah menyatakan
perbezaan yang ketara antara intervensi ekonomi dan sosial, pengkaji
pembangunan sosial telah menggesa pengenalan pengaturan yang formal bagi
mengintegrasikan dasar ekonomi dan sosial.
Asas yang kedua ialah dasar pembangunan ekonomi harus 'berpusatkan kemanusiaan'
dan mapan serta menggalakkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Pembangunan
berpusatkan kemanusiaan ini memerlukan dasar ekonomi pembangunan yang aktif
mempromosikan penyertaan ekonomi melalui pengwujudan pekerjaan yang
menguntungkan, peningkatan pendapatan, pelaburan dalam pendidikan dan kemahiran
serta memastikan pertumbuhan ekonomi meningkatkan tahap hidup penduduk.
Asas ketiga ialah dasar
sosial, program dan projek yang perlu meningkatkan penyertaan kumpulan sasar dalam
ekonomi produktif melalui pelaburan sosial.
Sebagai contoh, intervensi yang menggerakkan
manusia dan modal sosial, mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan perusahaan mikro dan pengumpulan
aset serta memberi keutamaan kepada penyertaan ekonomi. Pelaburan berproduktiviti
menggalakkan kesejahteraan dengan meningkatkan keupayaan dan memupuk penyertaan
dalam kegiatan ekonomi.
Di samping itu, mereka
menyumbang secara positif kepada pembangunan. Walaupun sering disasarkan kepada
keluarga miskin dan mereka yang secara tradisinya dibantu oleh sistem kebajikan,
kedua-duanya mempunyai kaitan. Matlamat menggalakkan kebajikan sosial melalui
intervensi pengeluaran ini dikatakan sebagai ciri pembangunan sosial yang
paling menonjol.
Prinsip intervensi
adalah satu lagi prinsip utama dalam pembangunan sosial.
Pendokong pembangunan
sosial percaya proses perubahan sosial yang progresif tidak berlaku secara
spontan atau sengaja disebabkan kuasa semula
jadi sosial dan ekonomi tetapi kerana usaha manusia, organisasi dan kerajaan yang
komited untuk memperbaiki keadaan sosial. Penyumbang yang berbeza seperti ahli
isi rumah dan keluarga, komuniti berasaskan persatuan masyarakat awam dan
organisasi berasaskan agama turut menyumbang kepada proses pembangunan sosial.
Kerajaan adalah agensi yang amat penting untuk mempromosikan perubahan sosial.
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang ketara tentang peranan bagi setiap
penyumbang ini.
Universalisme adalah satu lagi prinsip utama pembangunan sosial. Pembangunan
sosial melangkaui fokus yang sempit dalam kumpulan sasar kerana tujuannya ialah
menggalakkan kesejahteraan penduduk. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak
menghalang wujudnya kebimbangan mengenai eksploitasi terhadap komuniti dan
kumpulan sasar, justeru dasar pembangunan sosial dan program-program berkaitan
sering ditumpukan kepada kumpulan sasar seperti wanita dan kumpulan minoriti yang
hidup dalam penempatan tidak formal di bandar dan luar bandar. Pembangunan
sosial komited untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk dengan menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, kemelaratan
dan ketaksamaan.
Strategi Pembangunan dan
Intervensi Sosial
Faktor utama pembangunan
sosial ialah membasmi kemiskinan bagi memenuhi keperluan sosial dan menangani
masalah sosial, namun intervensi yang praktikal adalah lebih penting berbanding
konsep atau teori. Sebilangan besar intervensi yang terdiri daripada projek-projek
perancangan sosial dalam pembangunan masyarakat dan negara telah diterima pakai
oleh pengamal pembangunanan sosial.
Seperti yang disebutkan sebelum ini, amalan
pembangunan sosial bergantung kepada pelbagai agensi yang memainkan peranan
aktif dalam melaksanakan intervensi ini. Mereka termasuk isi rumah, pekerja pembangunan
masyarakat, pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan agensi kerajaan.
Intervensi pembangunan sosial juga mencerminkan pengaruh
yang lebih luas dan strategi ideologi bermotivasi serta aktiviti-aktiviti yang
berbeza. Tiga strategi yang digunakan ialah strategi perusahaan individu,
strategi masyarakat popular dan strategi kolektif berencana. Setiap strategi
adalah berbeza, contohnya dalam perusahaan mikro, intervensi mencerminkan
strategi yang lebih luas bagi membantu individu dan isi rumah untuk memulakan
perniagaan kecil yang boleh beroperasi di pasaran bebas.
Sebaliknya, pemberian wang
tunai, penetapan gaji minimum atau subsidi makanan yang disediakan oleh kerajaan
mencerminkan strategi kolektif berencana. Begitu juga dengan intervensi yang
menggerakkan komuniti desa melalui pembinaan klinik, strategi ini mencerminkan strategi
masyarakat popular. Sudah tentu, pendekatan strategi dan intervensi yang berbeza
boleh digabungkan. Malah, banyak program dan projek pembangunan sosial bersama
masyarakat dibiayai oleh kerajaan sebagai
aktiviti ekonomi berasaskan pasaran semasa. Dalam kes ini, strategi yang
berbeza boleh bergabung dalam cara yang kompleks. Walau bagaimanapun contoh
perusahaan mikro yang diberikan mungkin boleh memberi maklum balas terhadap
kesesuaian strategi dalam intervensi ini.
Intervensi Pembangunan
Sosial
Beberapa dasar, program dan projek yang mencerminkan prinsip pembangunan sosial
yang lebih luas dan
mempunyai keutamaan normatif yang
dilaksanakan sejak lama telah pun didokumentasikan oleh tokoh
pembangunan sosial. Intervensi yang dimaksudkan ini
termasuk pelaburan modal manusia dan
modal sosial, pengumpulan aset indiviu dan komuniti, mewujudkan
pekerjaan dan peluang pekerjaan sendiri, melanjutkan perlindungan
sosial, mengatasi halangan terhadap penyertaan ekonomi dan promosi program dengan kos yang efektif. Sebilangan besar program dan projek yang berbeza ini mempunyai fungsi pelaburan sosial dikategorikan di bawah intervensi ini.
Pelaburan modal insan menyediakan pengetahuan,
kemahiran dan keupayaan kepada kita untuk
mengambil bahagian secara berkesan
dalam ekonomi produktif. Keperluan terhdap pengetahuan dan kemahiran
mulai diberi keutamaan di seluruh dunia hari ini dan banyak
negara komited untuk meningkatkan peluang pendidikan kepada rakyat
masing-masing. Penekanan juga sedang diberi kepada penjagaan kanak-kanak,
pendidikan prasekolah, literasi latihan, kemahiran kerja dan latihan semula
serta pembelajaran sepanjang hayat.
Kebanyakan orang termasuk kelompok miskin mengiktiraf kepentingan pendidikan
dan sering membuat pengorbanan yang besar untuk menghantar anak-anak ke
sekolah. Kesanggupan keluarga miskin melabur dalam pendidikan perlu disokong
sepenuhnya oleh kerajaan. Anggapannya ialah pelaburan modal insan boleh
menggembleng dan mengimbangi sumber isi rumah, individu, komuniti dan negara
dengan berkesan.
Walaupun pengamal pembangunan sosial menekankan keperluan
untuk intervensi pendidikan, pembangunan modal insan juga digalakkan melalui
pemakanan yang baik dan program penjagaan kesihatan. Pelaburan modal insan
membawa faedah positif bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada komuiti
secara keseluruhannya dan wajar diberi keutamaan (Schultz, 1981).
Modal sosial merujuk
kepada pelaburan yang mengukuhkan rangkaian sosial dan penyertaan dalam
aktiviti kemasyarakatan. Modal sosial juga digerakkan oleh pelbagai persatuan
masyarakat. Pembentukan modal sosial yang
berkesan dapat memupuk kerjasama dan perpaduan sesama ahli komuniti. Putnam dan
rakan-rakan (1993) menyatakan modal sosial menggalakkan pembangunan ekonomi dan
meningkatkan taraf hidup.
Sehubungan itu, projek pembangunan peringkat komuniti
yang mengintegrasikan aktiviti sosial dan ekonomi telah mula diberi keutamaan
di samping penyertaan dalam aktiviti awam. Konsep pemerkasaan, kolaborasi dan
keaktifan juga memainkan peranan utama
dalam pendekatan ini. Melalui penyertaan aktif, komuniti perlu digalakkan mengawal
hal ehwal mereka sendiri dan menentang sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan.
Penggemblengan modal sosial tidak hanya memberi gambaran strategi masyarakat
popular tetapi juga melibatkan sumber-sumber luaran yang disediakan oleh
kerajaan. Promosi pekerjaan yang bergaji menjadi matlamat utama usaha-usaha pembangunan
ekonomi sejak tahun 1950-an dan kedudukannya sama penting dengan pembangunan
sosial tetapi di sini tumpuan harus diberikan kepada kelompok miskin dan berkeperluan khas.
Pendokong pembangunan sosial percaya kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam
mempromosikan peluang pekerjaan untuk mereka. Mereka juga harus menyokong masyarakat
dan perusahaan yang memupuk matlamat ini. Walaupun manfaat perkongsian antara kerajaan,
masyarakat dan institusi komersial boleh disalah guna, mereka mencadangkan
supaya insentif ditawarkan kepada kedua-dua syarikat swasta dan koperasi berasaskan
komuniti untuk merangsang peningkatan upah. Walaupun peranan koperasi dalam
mewujudkan pekerjaan tidak popular sebelum
ini, mereka mempunyai peranan utama dan patut diberi sokongan. Dana komuniti
yang dibiayai kerajaan untuk melaksanakan
projek pembasmian kemiskinan wajar diteruskan.
Di samping intervensi
ini, isu seperti keperluan untuk gaji yang mencukupi, persekitaran kerja yang selamat
dan sihat serta penciptaan peluang pekerjaan yang baik mesti juga diberi
keutamaan. Memandangkan cabaran yang dihadapi dalam mewujudkan
pekerjaan-pekerjaan baru, bekerja sendiri telah diiktiraf oleh pengamal pembangunan
sosial yang percaya bahawa perusahaan mikro yang dibiayai melalui pinjaman
kecil boleh menyumbang kepada peningkatkan pendapatan keluarga miskin.
Didorong
oleh kejayaan Bank Grameen dan inisiatif yang sama, perusahaan mikro dilihat mempunyai
asas kejayaan. Walaupun sering dikatakan terlalu optimistik, pendekatan ini mungkin memberi manfaat hanya kepada
sesetengah orang yang berpendapatan rendah, sumbangan kepada pembangunan sosial
dalam aktiviti sektor tidak formal, meningkatkan pendapatan keluarga yang
berpendapatan rendah dan memperkasa wanita (Midgley, 2008; Remenyi & Quinon,
2000).
Program pembangunan aset
juga telah menjadi popular akhir-akhir ini. Pembangunan aset melibatkan
pengumpulan aset kewangan oleh individu dan kelompok isi rumah serta aset yang
dimiliki oleh komuniti seperti sekolah, klinik, bekalan air bersih dan jalan
raya. Pengumpulan aset kewangan telah ditambah baik melalui akaun simpanan
kanak-kanak. Padanan yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan, yayasan dan
kerajaan telah mewujudkan insentif untuk membantu keluarga miskin. Walaupun
kajian menunjukkan jumlah yang disimpan adalah tidak penting, ia mempunyai
kesan psikologi dan sosial yang positif kerana mereka dapat meningkatkan
kepercayaan kredit keluarga miskin dan menyediakan akses kepada bank (Schreiner
& Sherraden, 2007).
Walaupun program perlindungan sosial tidak lagi menjadi sebahagian besar
pembangunan sosial pada masa lalu, implikasi pemberian wang bantun sara hidup sedang
diiktiraf dan digunakan secara meluas. Sebagai contoh, program pemberian wang tunai
yang diperkenalkan di Mexico dan Brazil pada tahun 1990-an (Fiszbein &
Shady, 2009) telah yang diguna pakai di negara-negara lain. Ia menunjukkan
bahawa menyuntik wang tunai ke dalam perbelanjaan isi rumah keluarga miskin dapat
meningkatkan penggunaan dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan, mempengaruhi
proses pembuatan keputusan dalam perusahaan kecil isi rumah serta menggalakkan kehadiran
anak-anak ke sekolah, semuanya mempunyai implikasi positif untuk pembangunan (Patel
& Trieghaardt, 2008; Ellis, Devereux, & White, 2009).
Menyedari bahawa terdapat banyak rintangan yang menghalang penyertaan masyarakat
miskin dalam pembangunan, dasar-dasar yang memudahkan penyertaan mereka telah
disuarakan oleh ramai sarjana dan pengamal pembangunan sosial. Rintangan ini termasuk
amalan diskriminasi terhadap wanita, kumpulan minoriti, orang kurang upaya dan
warga tua. Menghapuskan halangan jenis ini memerlukan peranan aktif kerajaan
dalam menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang bersifat diskriminasi dan
tindakan afirmatif.
Di samping itu,
penyertaan dalam ekonomi memerlukan persekitaran yang aman dan adil. Matlamat
pembangunan sosial tidak mungkin dapat direalisasikan dalam masyarakat di mana
ketakadilan sering berlaku dan kelompok elit mengekalkan keistimewaan mereka serta
menghalang usaha kelompok majoriti memperbaiki taraf hidup mereka. Dalam situasi
ini, cita-cita pembangunan sosial yang terbaik adalah dilaksanakan dalam komuniti
yang aman dan adil yang dicirikan oleh penyertaan demokratik dan komitmen
kepada hak asasi manusia.
Akhirnya, penyokong
pembangunan sosial hari ini lebih menyedari keperluan untuk menilai intervensi
dan memastikan bahawa ia adalah dalam lingkungan kos efektif. Disebabkan
tekanan ke atas perbelanjaan semakin bertambah, idea memastikan projek dan
pembangunan sosial yang menepati objektif dan berorientasikan matlamat telah
diterima secara meluas.
Penerimaan terhadap
kepelbagaian teknologi dari analisis kos sehinggalah penilaian hasil adalah
baik dan pendekatan berasaskan pembuktian semakin popular. Secara tidak
langsung kecekapan kos menjadi satu prinsip yang penting dalam amalan
pembangunan sosial pada masa depan.