Tuesday, January 29, 2013

Syabas Sharifah, bagus Bawani








oleh Rahman Shaari

Minggu ini orang masih berbicara tentang pidato KS Bawani dan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Bawani bercakap dengan gaya golongan sosialis dekad 1970-an. Sharifah pula bergaya guru prihatin dekad yang terdahulu.

Secara keseluruhan, elok kita ucapkan tahniah atas keikhlasan bicara kedua-duanya. Dalam politik, sesiapa yang berani berupaya meningkat. Manalah tahu, salah seorang daripada mereka, atau kedua-duanya, akan sampai ke tahap Datuk Seri Shahrizat Jalil , Tan Sri Rafidah Aziz atau boleh juga Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Jika perhatian benar-benar diberikan, kita dapati Bawani berpidato bagai menghafal fakta. Ada catatan di tangannya, tetapi dia lebih banyak bersuara tanpa melihat kertas. Ada angka juta yang disebutnya, di samping beberapa nama negara, misalnya Argentina, Brazil dan Cuba.

Dia memuji pelaksanaan pendidikan percuma, terutama oleh Cuba. Baginya, Malaysia kurang bagus. Dia menerima tepukan. Sharifah juga menerima tepukan penghargaan kerana isi nasihatnya yang baik.

Memang dia kini terkenal kerana penyebutan “listen, listen, listen”, iaitu satu sindiran, tetapi falsafah bicaranya ada pada penyebutan kucing, ikan jerung, kambing dan burung.

Haiwan bermasalah. Masalah manusia pula, ialah complain, complain, complain. Brian Tracy mengatakan, masalah manusia ialah terlalu banyak excuses! Bicara Sharifah tinggi, namun mudah difahami oleh orang sastera.

Perbahasan antara mereka berdua bukannya terlalu bererti. Percakapan Bawani panjang, dan Sharifah mahu memendekkannya. Cara dia memendekkan percakapan Bawani tentu ada pilihan. Dia memilih untuk alihkan mikrofon.

Bawani pun tersenyum menerima cara itu, bahkan mereka bersalaman. Seperti biasa, pihak menjadikan perkara ini heboh bukanlah mereka berdua, tetapi pencinta hasutan.

Bawani peroleh nama yang diharapkan sejumlah aktivis. Bukan mudah dapatkan nama disebut orang. Bukankah Ambiga terpaksa bergerak dari Bersih ke Bersih untuk meletakkan namanya pada kedudukan kini?

Tentang Cuba, Argentina dan Brazil, Sharifah Zohra tidak memberikan jawapan yang padat. Sebenarnya, ada jawapan yang mudah untuk hal tersebut. Saya fikir, elok Sharifah mengatakan kepada Bawani, pendidikan percuma bukanlah segala-gala dalam pentadbiran negara.

Perbandingannya begini: Jika kita bermalam di hotel Pak Keng Kung, kita bersarapan nasi lemak dan teh tarik di restoran Mak Kembong, kena bayar. Jika kita bermalam di hotel lima bintang, kita makan di Restoran Big Boss, pagi esok bersarapan percuma.

Maknanya, jelas bukan? Sewa hotel Pak Keng Kung RM80 semalam, manakala sewa hotel lima bintang ialah RM400 semalam. Di hotel lima bintang, kita menyerahkan duit sewa hotel RM400 dan kita dapat sarapan percuma, jadi betulkah itu percuma?

Apabila usia kita meningkat, kita akan faham betul bahawa tiada apa-apa pun yang percuma. Mak Milah dari kampung tidak mahu ke pasaraya, kerana katanya jika dia ambil kena bayar, jika dia bagi pun kena bayar. Anaknya bertanya: “Mak ambil apa?”

Dia jawab, “Mak minum air kosong, kena bayar 30 sen.” Anaknya bertanya lagi, “Mak bagi apa?” Mak Milah jawab, “Mak masuk ke bilik air, kena bayar 30 sen juga.” Betul Mak Milah, dalam hal tandas, kita bagi, kita bayar!

Perkara utama dalam konteks bicara ini ialah wujudnya mekanisme untuk semua pihak mencari pendapatan. Pemerintah boleh bersikap pemurah dalam hal pendidikan percuma, tetapi wang untuk perbelanjaan pendidikan datangnya dari mana? Hal yang mudah kita bayangkan ialah cukai.

Percakapan garang akan terlihat seperti percakapan benar. Oleh itu, bahasa perbandingan tentang masalah kucing, ikan jerung, kambing dan burung, boleh membantu. Anggapan sesetengah orang Sharifah daif adalah silap.

Tema bicara Sharifah ialah orang muda mesti hormati orang tua! Ini berbeza daripada asuhan sesetengah ahli politik progresif yang tak hiraukan orang tua yang berjasa.

Kita terima fenomena ini seadanya. Dalam percakapan berbau politik, banyak hal simple kelihatan serius.
Perbahasan antara Bawani dan Sharifah Zohra ialah lakonan berkesan. Bagi sesetengah ahli politik, itu ialah umpan untuk pilihan raya nanti. Syabas Sharifah, bagus Bawani.

(Sinar Harian, 29 Januari 2013)

 

Monday, January 28, 2013

Bloomberg sumbang universiti RM3.3 bilion




Universiti sebagai pusat kecemerlangan


Seorang remaja kelas pertengahan yang dibesarkan di pinggir bandar Boston, Michael Bloomberg terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar yuran tuisyennya di Universiti Johns Hopkins dan bekerja secara sambilan sebagai atendan tempat letak kereta.
Sumber pendapatan itu kemudiannya digunakan remaja itu itu untuk membayar ansuran yuran pengajiannya bagi meneruskan pembelajaran.

Bagaimanapun bayaran yuran Bloomberg kurang AS$5 (RM15.20) pada tahun 1965, setahun selepas beliau lulus dengan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan.

Kelmarin, Universiti Baltimore mengumumkan bahawa Bloomberg menyumbang sebanyak AS$ 1.1 bilion (RM3.3 bilion). Komitmen terbaru yang datang dalam bentuk sejuk AS$ 350 juta (RM1.1 bilion) ke arah inisiatif "transformasi" yang bertujuan merentas disiplin penyelesaian kepada masalah masyarakat.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Universiti Johns Hopkins berkata, Bloomberg, bekas pemegang amanah, dipercayai menjadi orang pertama yang pernah menghulurkan bantuan kepada institusi pengajian tinggi tunggal di Amerika Syarikat (AS) iaitu AS$ 1 bilion (RM3.3 bilion).

Laman makro Twitter universiti berkenaan menyifatkan maklumat itu sebagai hadiah. Salah satu tweet menyebut mengenai pengumuman dengan perkataan, "Berita Besar," yang mungkin adalah benar.

Antara perkara lain yang disebut termasuklah, derma akan membiayai 2,600 pemegang Biasiswa Bloomberg selama lebih daripada 10 dan 50 tahun bergantung kepada mahasiswa mengikut bidang masing-masing.

Daripada jumlah yang diperolehi sebanyak AS$ 350 juta (RM1.1 bilion), AS$ 100 juta (RM 300 juta) akan disalurkan kepada "bantuan kewangan asas" untuk pelajar ijazah.

"Universiti Johns Hopkins telah menjadi bahagian penting dalam hidup saya sejak saya mula-mula menjejakkan kaki di kampus lebih daripada lima dekad yang lalu.

"Setiap dolar yang telah saya berikan telah dibelanjakan untuk membaiki institusi dan adalah penting memastikan pembelajaran boleh diikuti oleh semua orang terutamanya bagi pelajar yang mungkin tidak mampu,” kata Bloomberg dalam satu kenyataan media dipetik CNN.

Ucapan yang luar biasa mengenai kemurahan hati dan kejayaan disampaikan kepada umum mengenai Datuk Bandar, New York City yang kini telah berjaya mengembangkan empayar perniagaan selepas meninggalkan Baltimore.

Beliau akan mencapai usia 71 tahun pada Hari Valentine bulan depan.

Bloomberg memperoleh MBA dari Harvard Business School. Beliau telah diambil bekerja oleh firma Wall Street Salomon Brothers pada tahun 1966, lapor biografi beliau di laman web NYC.

Selepas beliau meninggalkan Salomon pada tahun 1981, usahawan muda itu kemudiannya menggunakan kepakarannya dalam sistem maklumat untuk melancarkan Bloomberg LP, yang menyediakan sistem komputer untuk peniaga dan firma kewangan.

Kemudian, minat Bloomberg dalam bidang media semakin meningkat sehingga beliau akhirnya mempunyai lebih daripada 15,000 pekerja di seluruh dunia, menurut biografi beliau.

Bloomberg akhirnya menumpukan usaha beliau kepada kebajikan dan politik. Beliau telah dilantik sebagai Datuk Bandar Big Apple pada tahun 2001 dan telah memegang jawatan itu hingga kini.

Sumbangan AS$ 1 juta (RM3 juta) pertama beliau kepada Universiti Johns Hopkins telah dibuat pada tahun 1984, 20 tahun selepas beliau tamat pengajian dan dalam masa sama bagi memperingati mendiang ibunya, Charlotte.

Presiden universiti itu, Ronald J. Daniels berkata, ‘hadiah’ yang diterima Sabtu lalu "menggambarkan semangat Bloomberg untuk menyelesaikan masalah besar dengan cepat dan cekap.

Katanya, tindakan itu akan memastikan bukan sahaja Universiti Johns Hopkins dapat membantu menyelesaikan masalah manusia, tetapi juga dapat membawa universiti di mata dunia tentang bagaimana bagaimana ia perlu dilakukan."

Setakat ini, sumbangan Bloomberg termasuklah AS$ 240 juta (RM 730 juta) yang digunakan dapat menjana pendapatan universiti seterusnya dapat membaiki infrastruktur universiti, AS$ 219 juta (RM666 juta) untuk bantuan kewangan pelajar dan AS$ 336 juta (RM1.06 bilion) untuk penyelidikan.

"Memberi sangat bermakna jika wang itu akan membuat perbezaan dalam kehidupan orang ramai.

"Saya tahu institusi lain juga boleh membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan di seluruh dunia melalui penyelidikan yang menggemparkan - terutama dalam bidang kesihatan awam," ujar Bloomberg lagi.


(Sinar Harian, 28 Januari 2013)

 

Tuesday, January 22, 2013

Gadis berkerjaya jadi pelacur





Bunga yang indah pada pandangan mata


Memiliki kerjaya dan mampu menyara hidup dengan pendapatan bulanan, ternyata tidak memadai bagi sesetengah wanita tempatan yang sanggup menjadi pelacur kelas atasan demi kemewahan.
 
Mengetepikan aspek moral dan agama, mereka ini bekerja secara sambilan dan hanya melayan pelangggan apabila ada masa terluang, namun apabila diberkas, ada yang mendakwa terperangkap dengan jerat sindiket.

Hakikatnya, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan, sindiket itu tidak memaksa wanita terbabit memperdagangkan diri, tetapi hanya mempelawa dengan jaminan upah lumayan.

Mereka bergerak menerusi orang tengah atau 'ibu ayam' atau 'mami' yang akan mencari pelanggan untuk wanita terbabit. Ada mami ini sebenarnya rakan kepada wanita berkenaan, katanya kepada Bernama di sini.

"Ada wanita yang sudah biasa dengan aktivitinya ini selalunya akan memaklumkan sendiri kepada mami sekiranya mereka mempunyai waktu terluang," katanya.

Berdasarkan serbuan sebelum ini, Abdul Jalil berkata, terdapat 'mami' yang sebenarnya merupakan pengusaha salun kecantikan dan menjalankan kegiatan tidak bermoral itu secara sambilan.

"Lazimnya kalau seorang pelacur memperoleh RM450, mami akan dapat komisen RM200," katanya menambah berdasarkan siasatan, seorang pelacur mengenakan caj antara RM450 dan RM800 untuk menjadi teman berhibur selama empat jam, serta minimum RM1,500 untuk hubungan seks.

Kegiatan itu yang membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 20-an itu dikesan di sekitar Lembah Klang, Johor Bharu serta Pulau Pinang dan bergerak secara eksklusif, membabitkan pelanggan elit dan profesional.

Mereka yang ditahan, sama ada terlibat atau menjadi ejen bagi kegiatan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Statistik terkini D7 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 2,772 wanita tempatan ditangkap terbabit pelacuran tahun lepas, berbanding 1,801 pada 2011, iaitu peningkatan 54 peratus.

Sebanyak 42,788 serbuan dijalankan tahun lepas dengan serbuan tertinggi di Johor Bahru iaitu 8,749 serbuan berbanding 7,288 serbuan pada 2011. Ini diikuti Kuala Lumpur (8,620); Selangor (6,663) dan Perak (5,426).

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata, kos sara hidup yang tinggi bukan lagi faktor utama kegiatan pelacuran dalam kalangan wanita terbabit kerana sebahagian mereka mempunyai kerjaya.

Katanya, ada sesetengah terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu kerana terpengaruh dengan ajakan kawan yang mempunyai kenalan lelaki kaya.

"Sekali mereka terjebak, timbul rasa suka dan faktor itu jugalah yang membuatkan mereka dengan rela hati untuk melayan termasuk melayan nafsu sendiri dan pelanggannya," katanya.


(BERNAMA, 21 Januari 2013)





Thursday, January 17, 2013

Nilai integriti dalam sektor awam





Integriti amat sukar diamalkan jika nilai baik tidak diasuh sejak kecil


Kursus, ceramah, seminar dan program penerapan nilai integriti menjadi sebahagian daripada agenda besar kerajaan untuk membentuk sistem pentadbiran yang cekap, berkesan dan berpotensi menjadi yang terbaik di dunia. 
 
Sebagai tanda serius kerajaan, Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan untuk menyemai nilai dan budaya integriti menjangkaui sektor swasta, insitusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan. 
 
Walaupun kerajaan bersungguh-sungguh mengingatkan kakitangan awam agar melaksanakan integriti dalam tugas masing-masing, masih ada penjawat awam yang memandang rendah dan tidak mengendahkan seruan ini. Kes rasuah yang membabitkan mana-mana penjawat awam tidak dapat lari daripada isu integriti dalam perkhidmatan awam. 
 
Keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan bekas pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan terdapat ruang untuk menjejaskan integriti individu dan organisasi kerajaan. Mahkamah membuat keputusan selepas berpuas hati dengan keterangan bahawa tertuduh tidak menulis surat tersebut walaupun ternyata surat itu adalah palsu. Ertinya ada orang lain yang melakukannya dan beban tersebut diletakkan kepada tertuduh. 
 
Tempoh tiga tahun agak lama untuk mengesan pemalsuan dokumen yang melibatkan kenaikan gaji, pemangkuan jawatan atau pengesahan jawatan. Bagaimana surat palsu boleh dikeluarkan daripada kementerian dan pembayaran telah dibuat? Sepanjang tiga tahun itu tertuduh mampu hidup senang dan siapa pula yang harus membayar pembayaran yang tidak sepatutnya diterima akibat pemalsuan dokumen? 
 
Dalam organisasi kerajaan, surat rasmi adalah instrumen penting yang mempunyai autoriti. Tindak balas dari sebarang surat rasmi adalah mustahak dan perlu maklum balas. Apakah ciri-ciri surat rasmi sesebuah agensi kerajaan? 
 
Pertama, ia mengandungi logo agensi dan jabatan yang biasanya dicetak berwarna. Di bawah logo diletakkan alamat lengkap termasuk nombor telefon, faksmili dan emel. 
 
Kedua, ada rujukan fail. Ia menentukan di mana surat itu dikeluarkan dan menggunakan kod tertentu bagi rujukan segera. Biasanya kod ini melibatkan nombor seperti 100 hingga 500. 
 
Ketiga, tarikh surat dikeluarkan. Tarikh amat penting kerana ia menentukan pergerakan surat keluar dan masuk. Penyediaan buku log untuk mencatat pergerakan surat membantu pengurusan surat yang cekap. 
 
Keempat, tajuk surat adalah berkaitan arahan atau makluman tujuan surat dikeluarkan. Kadang-kadang tajuk surat berkaitan perkara yang sulit atau rahsia besar hanya diketahui oleh beberapa orang. 
 
Kelima, tandatangan penulis surat. Bahagian ini sangat penting kerana ia menentukan sejauh mana aktiviti surat dilakukan. Jika ketua pengarah, secara automatik surat itu menjadi penting dan maklumatnya mesti diberi perhatian. Jika sekadar penolong setiausaha, ia mengambil sedikit masa untuk memberi maklum balas. 
 
Keenam, bilik fail. Dalam kebanyakan agensi kerajaan, bilik fail disediakan beserta dengan penjaga fail. Tugas penjaga fail sangat penting kerana tanpa penjaga, urusan fail akan terganggu dan surat-surat dalam fail tertentu mungkin tidak lengkap. Beliau juga boleh memantau pergerakan fail-fail penting yang melibatkan individu dan organisasi. 
 
Peranan surat rasmi lebih penting daripada memo kerana surat rasmi memiliki autoriti yang lebih banyak, mencakupi pelbagai bidang kuasa dan tidak mengira pangkat dan jawatan. Jadi, dalam kes rasuah yang dilalui oleh bekas pengarah berkenaan, pengeluaran surat palsu memaklumkan kenaikan pangkat secara mendadak dalam tempoh tiga tahun sepatutnya dilihat mencurigakan. Sebagai ketua, beliau wajar merujuk kepada kementerian untuk pengesahan. 
 
Dari segi reputasi sebagai ketua, beliau dilihat kurang berpengalaman menguruskan pentadbiran organisasi yang besar dan bagi orang ramai yang mengikuti kes berkenaan tentu menganggap reputasinya sebagai ketua telah jatuh. Walaupun dibebaskaan daripada tuduhan rasuah, nama dan personalitinya telah pun terjejas. Namun hikmahnya sangat banyak iaitu beliau perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan kekananan dan penilaian yang dibuat oleh ketua jabatan. 
 
Polisi perkhidmatan awam di Malaysia amat jelas dan sesekali tidak akan memberi peluang kepada keinginan peribadi melebihi keperluan negara. Hanya mereka yang layak dan berbakat wajar diberi perhatian untuk jawatan-jawatan utama dalam sektor awam.


Wednesday, January 16, 2013

Bersedia dengan masa depan





Dalam satu kisah zaman dahulu, seorang ketua negara mempunyai had masa lima tahun untuk memimpin negara. Apabila sampai tempoh tersebut, pentadbir perlembagaan datang dan meminta ketua negara melepaskan jawatan dan diarahkan tinggal di padang pasir di luar kota.

Kemudian dibuat pengumuman siapa yang akan menjadi ketua negara yang baru. Sesiapa sahaja boleh tawarkan diri.

Lalu seorang anak muda menawarkan diri. Anak muda ini diberi peluang menjadi ketua negara selama lima tahun. Dia diingatkan untuk menjadi raja selama lima tahun sahaja.

Pemuda ini sangat pintar.

Dia mentadbir negara mengikut caranya dengan membawa kegembiraan dan kekayaan kepada semua orang. Genap lima tahun, pentadbir perlembagaan datang dan minta pemuda itu turun takhta dan dibuang negara. Apabila pintu kota dibuka, di luar bukan lagi sebuah gurun tetapi sebuah tempat yang indah dan selesa untuk didiami.

Moral cerita ini ialah kita mesti bersedia dengan masa depan supaya kita berani menghadapi masa sekarang.


 

Tuesday, January 15, 2013

Gelombang pilihan rakyat





Stadium Merdeka Kuala Lumpur mencatat sejarah pawa awal tahun ini kerana Pakatan Rakyat dapat menggerakkan penyokongnya untuk datang beramai-ramai dalam penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). Penyokong dari utara, selatan, timur dan barat Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak memenuhi jalan-jalan di sekitar stadium.

Inilah kali pertama perhimpunan besar-besaran barisan pembangkang dalam politik Malaysia berjaya dilaksanakan secara aman di ibu kota. Keadaan ini sudah tentu merupakan implikasi kepada pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. 

Saya melihat perhimpunan ini sebagai satu lagi kejayaan politik rakyat Malaysia yang mula menunjukkan kematangan. Ciri-ciri kematangan ini bukan sahaja dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin politik malah penyokong, agensi penguatkuasa dan pembuat polisi. Cuma yang masih belum nampak perubahan ialah laporan akhbar arus perdana yang enggan melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam paradigma pemikiran rakyat.

Implementasi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 memberi suasana baru kepada proses demokrasi dan masa depan politik Malaysia. Anjakan paradigma pembuat polisi yang mahukan kedinamikan dalam pertembungan politik negara sedang dilihat oleh negara-negara jiran. 

Mereka mahu melihat apakah implikasi segera dan perubahan dalam jangka masa panjang arah tuju Malaysia. Biarpun dari segi kebenaran perhimpunan politik telah biasa di Thailand, Filipina dan Indonesia, budaya ini masih baru di Malaysia. Ia perlu disuburkan supaya rakyat dapat menilai dan membuat keputusan yang tepat tentang kepimpinan negara, keperluan mempertahankan hak dan memastikan suara mereka didengari di parlimen.

Rata-rata masyarakat memuji kejayaan penganjuran HKR ini. Akhbar Sinar Harian menyerlahkan tajuk "Tahniah" dan memetik beberapa catatan yang memuji cara perhimpunan itu dikendalikan. Di belakang tajuk berkenaan ialah gambar ribuan peserta yang memenuhi segenap ruang Stadium Merdeka. Blog yang cenderung kepada Pakatan Rakyat turut memuatkan kisah yang baik-baik mengikut perspektif masing-masing.

Namun, selepas perbincangan dengan rakan-rakan, siapakah yang sebenarnya benar-benar berjaya dan memenangi HKR ini? Adakah ianya Pakatan Rakyat kerana mereka yang menganjur, adakah tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat ataupun pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran program tersebut?

Pada saya, Pakatan Rakyat ada kejayaan khasnya menampilkan imej dan pengaruh mereka untuk mengumpul orang ramai. 

Bagaimanapun saya cenderung melihat dua pihak yang berjaya. Pertama, imej Malaysia menguruskan politik. Tahun 2012 tidak begitu menarik kerana perhimpunan Bersih penuh dengan suasana dan aksi yang agak ganas. Namun dalam HKR ini imej tersebut dipadam dan digantikan dengan imej ceria, selamat dan puas hati.

Kedua, persepsi orang ramai terhadap kerajaan Barisan Nasional. Anggapan paling cepat dan melekat kuat di fikiran orang ramai ialah kerajaan ini mendengar hati nurani rakyat. "Barang kali kerajaan ini prihatin dengan kita" mungkin terlintas di fikiran dan benak sebilangan rakyat Malaysia termasuk pengundi muda, pengundi atas pagar dan pengundi yang baru pertama kali mendaftar. 

Dalam mana-mana kerajaan, sebarang perubahan dalam polisi mestilah memberi kelebihan kepada mereka. Inilah yang sedang dilakukan. Dalam pilihan raya, kemenangan tidak ditentukan oleh semua rakyat Malaysia sebaliknya hanya pengundi yang berdaftar dan mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Mesej lain yang dapat dikenal pasti ialah rakyat Malaysia sudah ada pilihan untuk menentukan siapa yang boleh menjadi kerajaan pilihan mereka. Banyak isu yang menarik untuk diselesaikan seperti kenaikan kos hidup, harga rumah, harga kereta yang mahal dan isu-isu pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan hidup kini boleh ditawar-menawar untuk diselesaikan. 

Jika Barisan Nasional dapat menyelesaikan isu-isu dengan baik dan pro kepada tuntutan hidup rakyat, sokongan kepada mereka akan bertambah. Jika masih dengan takuk lama, bermain "tarik tali" dan ingatan pada memori lama, Pakatan Rakyat ada harapan untuk mengeksploitasi isu-isu dengan sebaik-baiknya.

Dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, bahang pilihan raya semakin panas. Keupayaan sebenar ialah mempengaruhi persepsi pengundi dan mereka yang akan menang ialah yang berupaya menjadikan persepsi pengundi berada dalam mood  yang terbaik.


Monday, January 14, 2013

Urus kejayaan diri





Sebahagian besar daripada kita mengenali peninju terkenal, Mike Tyson. Biasanya, dalam pusingan pertama perlawanan, lawan akan jatuh bergolek kerana tumbukan Mike Tyson sangat kuat.

Oleh kerana terlalu biasa sebagai juara, dia mula rasa megah.

Selepas dikalahkan oleh James Buster Douglas, barulah dia tahu seorang juara ada tempohnya. Kisah ni sangat mudah untuk kita analisis dan ambil iktibar.

Pada saya, kegagalan berpunca daripada diri sendiri. menyimpang sedikit daripada rutin kejayaan, hasil akhirnya adalah kegagalan.

Atlet olahraga yang tidak jaga makan atau makan lebih banyak, berat badan akan bertambah. Macam mana hendak lari, melompat atau melontar kalau badan semakin berat?

Jadi, kejayaan bergantung kepada keupayaan kita menguruskan diri sendiri.


 

Sunday, January 13, 2013

Bukti cinta seorang suami





Penyakit boleh menyerang sesiapa sahaja meski dengan amaran atau tanpa sebarang tanda. Seperti kanser yang menyerang isteri tercinta, tidak pernah kami menduga, tidak pernah kami meminta, penyakit datang sekelip mata. 
 
Namun saya galas semuanya, menjaga isteri sedaya upaya, agar dia kembali seperti sediakala.
 
Kami mendirikan rumah tangga pada 1999 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Isteri saya guru sekolah dan saya pula pegawai di sebuah syarikat petroleum.
 
Episod kanser isteri saya bermula pada 2008. Ketika itu, dia mengalami kencing berdarah. 
 
Saya membawanya menjalani pemeriksaan dan doktor mendapati buah pinggang sebelah kiri isteri saya agak besar (hampir 13 sentimeter) berbanding sebelah kanan. Isteri saya disahkan menghidap kanser buah pinggang.
 
Pada 2010, isteri menjalani pembedahan membuang buah pinggang sebelah kirinya. Pasca pembedahan, isteri nampak sembuh namun beberapa bulan selepas itu, dia mula hilang selera makan dan demam. Tubuhnya jadi teramat letih dan seluruh badannya kekuningan. 
 
Saya sedaya-upaya membawa isteri berubat, berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan.
 
Semakin lama, keadaan isteri bertambah tenat. Saya ambil keputusan berhenti kerja demi memberi 100 peratus perhatian kepadanya. 
 
Pemeriksaan doktor mendapati pankreas isteri saya telah rosak. Diabetesnya menunjukkan kandungan tahap gula 17 hingga 19 dan tidak pernah turun akibat kerosakan pankreas. 
 
Saya bawa isteri bertemu pelbagai pakar untuk membantunya kembali pulih.
 
Pada 2011, doktor menjalankan rawatan ke atas isteri saya berikutan buah pinggang dan pankreas gagal berfungsi. Ketika itu, isteri saya koma selama seminggu.
 
Doktor panggil saya dan memberitahu bahawa tahap penyakit isteri saya sudah kronik. Doktor mengesan kanser sudah merebak ke seluruh anggota tubuhnya.
 
Saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan reda dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan getir ini. 
 
Di samping menjaga isteri yang sakit, saya perlu melakukan tugas harian, memasak, menghantar anak ke sekolah dan segalanya. Saya tidak pernah berehat kerana perjuangan menyembuhkan isteri tercinta, tidak perlukan rehat. Melihatnya kembali senyum, sudah cukup menghilangkan segala lelah saya.
 
Pada masa isteri melalui saat-saat kritikal, doktor mengesan satu lagi penyakit iaitu ketumbuhan dalam bahagian kiri otaknya. 
 
Ketika itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya. Namun, saya tabahkan hati dan kuatkan semangat. Bagi saya, tiada yang mustahil dengan izin-Nya.
 
Setelah itu, isteri menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur. Setiap hari, Isnin hingga Jumaat, lima kali seminggu. Ketika itulah isteri mula mengalami kesan-kesan sampingan. 
 
Dia tidak boleh mengunyah makanan, percakapannya makin perlahan dan berat badannya susut mendadak. 
 
Doktor memberitahu keadaan isteri teramat tenat. Sel kanser telah merebak ke seluruh tubuh dan berada pada tahap empat. Isteri saya koma bermula Februari sehingga Jun 2011.
 
Lebih perit, doktor yang merawatnya memberitahu bahawa ilmu perubatan beliau hanya setakat itu sahaja. Tiada lagi kaedah rawatan lain yang boleh digunakan kerana kanser yang dihidapi isteri saya ketika itu telah merebak ke seluruh anggota badan. 
 
Rawatan kemoterapi tidak boleh diberi memandangkan keadaan tubuhnya yang sangat lemah. 
 
Kanser tersebut merosakkan organ utama tubuhnya. Bermula saat itu, saya bawa isteri pulang dan menjaganya sendiri di rumah. Bermacam-macam ikhtiar saya lakukan. 
 
Ketika itu juga ujian berat datang menimpa keluarga kami. Kami hadapi kesulitan wang. Saya terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos perubatan isteri.
 
Pada masa sama, kami terima surat tuntutan hutang kad kredit isteri bernilai hampir RM20,000. Baki hutang meningkat, dicampur faedah tahun ke tahun. Allah sahaja tahu penderitaan kami ketika itu.
 
Pada April 2011, saya kunjungi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Mulanya, saya hanya bawa gambar isteri berserta sebotol air kerana isteri saya sedang koma. Kemudian saya dukung dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan. 
 
Setiap kali rawatan, saya terima beberapa ayat al-Quran untuk dibaca kepada isteri serta doa mohon keberkatan dan rahmat Allah menyembuhkan penyakit isteri yang saya cintai. 
 
Saya juga amalkan solat malam, solat hajat dan segala zikir yang disarankan. Ketika itu, hati saya terasa amat dekat dengan Allah. Saya serahkan urusan ini kepada-Nya. Saya berdoa dengan penuh pengharapan agar Allah sembuhkan penyakit isteri saya. 
 
Ketika itu jugalah saya amalkan solat sunat taubat, menangisi kiranya ada dosa silam kami terdahulu yang tidak disedari. 
 
Setelah mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Quran ini, saya dapat lihat perubahan isteri. Dia mula sedar dan mampu duduk. Ingatannya makin pulih, memori lama dia boleh ingat. Tangan dan kakinya boleh bergerak. Isteri makin pulih dan boleh bertindak balas bila saya bertanya.
 
Tidak lama kemudian dia boleh bercakap. Derianya makin bertambah. Makan tidak lagi pakai tiub. Hanya mata masih kabur. Perubahan itu beransur-ansur baik hari demi hari. 
 
Saya tidak tinggalkan amalan membaca al-Quran ini kerana saya yakin, inilah ubat yang saya cari selama ini. 
 
Ketika itu juga, pihak bank menghantar surat melupuskan hutang kad kredit isteri. Saya menangis dan bersyukur. Betapa Allah mendengar doa para hamba-Nya.
 
Memasuki 2013, meskipun isteri sudah beransur baik, mampu mengunyah makanan sendiri, duduk di atas kerusi roda, bercakap semula biarpun tersekat-sekat, saya masih tetap meneruskan amalan bacaan al-Quran ini. 
 
Itulah hikmah dugaan ini. Kini, saya berasa lebih dekat dengan Allah dan kasih kepada isteri semakin hari semakin bertambah.
 
Pada 21 Disember lalu, saya bawa isteri menjalani ujian darah kanser antigen dan hasilnya: Alpha-Fetoprotein pada tahap 1.8 (normal bawah 15), ujian CA 19.9 pada tahap 22.9 (normal bawah 37), ujian CA 15.3 pada tahap 14 (normal bawah 28) dan CA 125 pada tahap 21.8 (normal bawah 35). 
 
Nasihat saya buat para suami yang senasib dengan saya, jagalah isteri kita sebaik mungkin. Ini adalah amanah Allah kepada kita.

(Utusan Malaysia, 13 Januari 2013)


 

Saturday, January 12, 2013

Kenderaan milik JPJ kena bakar





Tindakan sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain mengundang padah apabila menimbulkan kemarahan orang ramai yang bertindak membakar kenderaan itu dalam satu insiden di Kilometer 12 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Sekolah Menengah Methodist Ayer Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kenderaan jenis Toyota Harrier milik JPJ yang membawa tiga anggota dari arah Lumut ke Ipoh, dikatakan menaiki pembahagi jalan untuk memintas sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, tindakan drastik kenderaan itu menyebabkan sembilan kenderaan lain yang berada di laluan bersebelahan tidak sempat mengelak lalu berlanggar sesama sendiri.

Dikatakan menjadi punca kemalangan, orang ramai yang berang bertindak lepaskan geram sebelum membakar kenderaan JPJ itu.

Kemalangan melibatkan dua lori tiga tan, dua bas sekolah, empat kereta dan sebuah motosikal itu mengakibatkan empat parah sementara 11 yang lain cedera.

Saksi kejadian, Saravanan, 44, berkata, selang 20 minit selepas pelanggaran, orang ramai dilihat mengerumuni kenderaan JPJ berkenaan yang terbalik merintangi laluan.

Menurutnya, beberapa individu dilihat cuba melepaskan geram dengan menendang dan memukul kenderaan tersebut menggunakan topi keledar.

“Ada beberapa anggota pihak berkuasa yang cuba untuk meleraikan, namun situasi tenang tidak lama.

“Mereka kembali merusuh dan ketika itu orang ramai sekali lagi mengerumuni kenderaan berkenaan dan menterbalikkan kereta itu sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Saravanan berkata, dalam keadaan tidak terkawal itu, secara tiba-tiba api dilihat dari bahagian bawah kenderaan menyebabkan orang ramai bertempiaran lari. Tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran berjaya menyelamatkan keadaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Rizuan Ramli berkata, kebakaran itu berlaku ketika kerja selamat mangsa dilakukan.

“Kita tiba di tempat kejadian sebaik terima panggilan kira-kira 12.21 tengah hari. Ketika itu semua mangsa dibawa keluar orang awam dan dihantar ke hospital rawatan lanjut,” katanya.

Bunyi dentuman kuat

“Ketika itu saya sedang menunggu anak yang mahu pulang dari sekolah, tiba-tiba saya terdengar bunyi satu dentuman yang kuat dari arah jalan.

“Saya yang mula mengesyaki sesuatu terus menuju ke tempat kejadian dan melihat beberapa kenderaan telah berlanggar,” demikian kata seorang saksi, Asrol, 36.

Katanya, ketika itu dia berada 20 meter sahaja dari tempat kejadian.

“Saya melihat beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing dan bertindak membantu mereka, ketika itu dia tidak memikirkan apa-apa kecuali mahu menyelamatkan mangsa,” katanya.

Asrol berkata, mereka terpaksa mengumpil bahagian pintu serta beberapa bahagian lain kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.

Kenderaan saling berlanggar

Seorang lagi saksi dikenali Raja, 47, berkata, insiden itu menyebabkan beberapa kenderaan saling berlanggar sesama sendiri.

Katanya, lori, kereta, bas dan motosikal yang berada di laluan berkenaan masing-masing tidak sempat mengelak sebelum saling berlanggar.

“Ini kejadian pertama seumpama ini yang pernah saya lihat melibatkan begitu banyak kenderaan,” katanya.

Anggota JPJ selamatkan diri

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan semua mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga anggota JPJ berjaya keluar dari kenderaan yang dinaiki sebelum melarikan diri kerana khuatir dicederakan orang ramai.

“Ketiga-tiga mereka menumpang kenderaan orang awam untuk ke Balai Polis Seri Manjung.

“Siasatan mendapati, kenderaan JPJ telah dirosakkan, cubaan membakar turut berlaku, namun berjaya diselamatkan bomba yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, insiden itu berlaku apabila kenderaan JPJ berkenaan berhenti di lampu yang menunjukkan isyarat merah di Pekan Ayer Tawar.

“Semasa tunggu lampu bertukar hijau, tiba-tiba sebuah lori bawa muatan kelapa sawit dari arah Ipoh melanggar kenderaan JPJ itu,” katanya.


(Sinar harian 12 Januari 2013)

 

Friday, January 11, 2013

Pengaruh pujian pada jiwa





Apabila kita mula terpengaruh dengan kata-kata dan pujian orang lain, itu adalah petanda jiwa dan fikiran kita agak lemah.

Pujian datang kepada kita apabila ada kejayaan, tunjukkan hasil dan ada perubahan yang lebih baik.

Contoh mudah ialah prestasi pasukan bola sepak. Kalau menang, ramailah yang memuji, maknanya jiwa dan fikiran pemain sangat bahagia.

Pemuji dan pengkritik hanya memberi ucapan atau kata-kata tetapi kata-kata itu mempunyai tenaga yang kuat untuk mendorong kita bertindak.

Orang yang kuat jiwanya tidak mudah terkesan dengan kata-kata kerana dia tahu matlamat hidup dan kerjayanya.


 

Thursday, January 10, 2013

Berjaya atau gagal adalah pilihan





Pada saya kejayaan dan kegagalan boleh berlaku bila-bila masa. Kadang-kadang bersifat subjektif.

Seorang remaja yang rajin dalam pelajaran, berusaha gigih untuk belajar dan diterima masuk ke universiti amat bertuah kerana berjaya dalam cita-citanya. Ramai orang suka dengannya.

Seorang remaja lagi agak berbeza. Belajarnya tidak tinggi. Siang dan malam berusaha sendiri. Siangnya berniaga, buat bisnes, malamnya berfikir bagaimana hendak majukan bisnes untuk hari esok.

Remaja pertama, selepas belajar besar kemungkinan akan kerja makan gaji kerana dia memilih untuk begitu sejak awal. Begitu juga remaja kedua, dia mungkin bekerja sendiri kerana ada pengalaman bekerja.

Kedua-duanya ada nilai masing-masing. Cuma Rasulullah saw lebih galakkan jadi usahawan kerana sembilan persepuluh rezeki ada dalam perniagaan.




 

Wednesday, January 09, 2013

Bantu polis jejak penjenayah





Kisah banduan atau tahanan melarikan diri daripada pengawasan polis amat jarang kita dengar. Seorang dua tahanan yang berjaya melarikan diri ini biasanya dapat ditangkap semula dan dibicarakan dengan sempurna. Biasanya tahanan berjaya melarikan diri akibat kecuaian polis pengiring atau keadaan luar biasa seperti kenderaan yang membawa mereka terbabas dan peluang melarikan diri terbuka luas. Bagaimanapun Standard of Procedure (SOP) pihak polis sangat tinggi untuk mengawal sebarang kejadian melarikan diri daripada kerap berlaku.

Namun tujuh tahanan meloloskan diri dari kenderaan polis adalah luar biasa. Kejadian di Pulau Pinang itu menunjukkan SOP yang diguna pakai perlu dirombak apabila melibatkan pergerakan ramai tahanan kerana membawa ramai tahanan dengan kawalan yang minimum boleh mengundang padah.

Kehilangan tahanan-tahanan itu memberi kesan besar ke atas kredibiliti pasukan polis dalam mengurus penjenayah berbahaya. Ia juga turut menjejaskan keselamatan penduduk sekitar tempat kejadian kerana setiap orang tidak kira umur akan berasa terancam takut-takut rumah mereka menjadi sasaran penjenayah untuk bersembunyi. Penjenayah ini boleh melakukan apa sahaja bagi mengelak dari ditangkap. Mereka boleh menculik anak-anak sebagai tebusan, mengugut warga emas atau merompak wang untuk keluar dari kawasan tersebut. Andainya tuntutan tidak dipenuhi, mereka ini tidak teragak-agak mendatangkan kecederaan kerana ada antara mereka ini yang pernah memukul orang dan membunuh.

Menjejak seorang demi seorang penjenayah bukannya mudah. Mengerahkan lebih ramai anggota polis adalah langkah awal untuk menghalang penjenayah tersebut melepasi sempadan kawasan terlibat. Sekatan jalan raya dan mengedarkan poster suspek adalah langkah segera tetapi melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh polis. Namun ada langkah lain yang boleh diminta oleh polis untuk mempercepat gerakan mencari dan memburu suspek.

Bantuan paling penting ialah keluarga dan saudara-mara tahanan yang melarikan diri. Mereka perlu dihubungi serta-merta bagi memaklumkan perkembangan terbaru operasi polis di samping bersedia dengan sebarang bentuk komunikasi daripada penjenayah. Jaminan polis untuk membantu keluarga  penjenayah tentu memberi keyakinan untuk mereka menyalurkan maklumat.

Orang ramai di sekitar kawasan kejadian wajar didekati dan diberi penerangan. Sebuah bilik gerakan yang melibatkan koordinasi polis-rela-Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) peru segera diaktifkan supaya rondaan dapat diselaraskan. JKKK boleh menjadi mata dan telinga pasukan polis untuk memberi maklumat baru bagi mengesan kehadiran orang asing di kampung masing-masing.

Bantuan media amat penting. Sebaik sahaja berita tahanan melarikan diri diketahui, perkembangan kejadian sentiasa dikemas kini melalui siaran dalam talian akhbar. Berita di televisyen dan radio turut memuatkan perkembangan kes berkenaan supaya orang ramai berwaspada.

Pelarian tahanan polis ini cukup menjadi iktibar khususnya pelaksanaan SOP yang berkesan. Hidup anggota polis yang terlibat dalam kes ini tentu tidak tenteram selepas dipukul dan mungkin juga dikenakan tindakan akibat kecuaian. Jika Mas Selamat boleh meloloskan diri dan hilang selama setahun, bagaimana pula dengan tujuh penjenayah berbahaya yang melarikan diri itu?

Kita tidak ada masa lagi untuk berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah. Kerjasama semua pihak amat perlu ketika ini bagi menangkap tahanan yang melarikan diri itu.


 

Tuesday, January 08, 2013

Padah menunggang motosikal tanpa lesen





Masih ada ibu bapa yang tidak mengambil iktibar kejadian yang berlaku ke atas remaja yang memandu kereta tanpa lesen, Amirul sehingga beliau ditembak dan meninggal dunia. Membiarkan anak-anak remaja memandu kenderaan di atas jalan raya tanpa memiliki lesen memandu yagn sah mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di Putrajaya merupakan kisah malang pada tahun ini. Menunggang motosikal bersama rakannya, pelajar berkenaan terjatuh dan terlentang di atas jalan berhadapan sekolahnya. Fizikalnya tidak ada sebarang kecederaan yang teruk tetapi hentakan kepala di atas permukaan jalan menyebabkannya parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang. Jenazahnya disemadikan di Presint 20, Putrajaya sebelum tengah hari ini.

Rakannya pula sedang koma.
 
Saya berjumpa dengan ayahnya untuk menyatakan takziah dan mendapat gambaran bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Di rumah mereka tidak ada motosikal, kalau ke sekolah pun hanya berjalan kaki. Mungkin disebabkan tidak ada motosikal, arwah kepingin membonceng motosikal kawannya.

Orang yang paling sedih ialah ibunya, seorang guru. Walaupun nampak mengukir senyuman, keadaannya tidak sama. Senyuman diiringi dengan air mata berlinang dan mata sedikit kemerah-merahan. Selepas orang ramai meninggalkan tanah perkuburan, ibunya duduk di sisi pusara arwah beberapa ketika. Sedih hati seorang ibu tidak sama sedihnya hati seorang bapa. Hati bapa lebih cekal dan tabah. Namun, paling penting ialah redha dengan kematian anak lelaki kerana Allah swt lebih sayang kepadanya. 

Lima hari sebelum itu saya sempat menyampaikan pulut kuning dan kari ayam kepada arwah. Ayahnya memaklumkan dia bersarapan pagi dengan pulut kuning pada keesokan harinya. Pada wajahnya tidak nampak tanda-tanda akan meninggal dunia mungkin kerana suasana yang agak kelam semasa saya menghukurkan bungkusan pulut kepadanya.

Tidak apa yang boleh dibuat kerana kedua-duanya tidak memiliki lesen memandu dan tidak pula memakai topi keledar. Kejadian yang berlaku di luar kawasan sekolah menyebabkan tanggungjawab membiarkan anak-anak remaja bawah umur membawa motosikal terletak di atas bahu ibu bapa. Keprihatinan ibu bapa terhadap bahaya menunggang motosikal tanpa lesen memandu mesti ditingkatkan di seluruh negara melalui kempen dari semasa ke semasa.

Di sekolah, guru boleh mengingatkan pelajar pada perhimpunan mingguan betapa kesan buruk ke atas mereka yang berani menunggang motosikal tanpa ada lesen dan tidak dibenarkan ibu bapa. Remaja yang ingin mencuba hanya ada tiga pilihan iaitu selamat pulang ke rumah, cedera dan dimasukkan ke hospital ataupun menjadi arwah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kita yakin agensi kerajaan, swasta malah pihak sekolah sendiri sentiasa mengadakan kempen keselamatan jalan raya dan membuat pemeriksaan mengejut ke atas motosikal yang dibawa ke sekolah, ia masih belum mencukupi kerana terdapat ibu bapa yang masih berfikiran "tidak apa" dengan membenarkan anak-anak ini membawa motosikal ke sekolah atau bersiar-siar di jalan raya.

Apabila berlaku tragedi, semuanya sudah terlambat.




Monday, January 07, 2013

Ikut arahan jurulatih untuk menang





Kemampuan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Piala Sumbangsih 2013 amat membanggakan. ATM yang jarang-jarang sekali menjadi pasukan hebat dalam sejarah bola sepak negara memperlihat peningkatan yang ketara dalam pelbagai aspek yang diperlukan oleh sebuah pasukan yang hebat.

Selepas kalah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 kepada Kelantan, ATM menyusun strategi bagi memperkemaskan jentera serangan, memperkukuh barisan pertahanan dan memantapkan mental pemain. Kesungguhan TM terserlah hingga minit terakhir permainan melalui jaringan penyamaan yang cantik.

Penentuan juara ditentukan oleh sepakan penalti yang berakhir dengan kemenangan 4-3.

Ciri paling menarik pasukan juara ATM kali ini ialah semangat juang untuk menjadi pasukan terbaik. Resepi juara perlukan adunan dari pelbagai sudut seperti kekuatan mental, ketangkasan fizikal dan koordinasi setiap pemain. Arahan jurulatih dari tepi padang amat penting dan mematuhi arahan adalah karektor pasukan juara.

Pasukan yang sering kali menidakkan arahan jurulatih akan pincang di tengah padang dan menjadi belasahan pasukan lawan. Banyak pasukan yang hebat dan memuncak suatu ketika dulu hanya tinggal nama pada hari ini gara-gara pemain yang memandang rendah arahan dan strategi jurulatih.

Tahniah ATM.

 

Sunday, January 06, 2013

Lebih dan kurang





Lebih dan kurang boleh menjadi madu dan racun dalam hidup. Banyak contoh yang kita boleh ambil.

Katakan saya jadikan tubuh badan kita sebagai model. Badan kita perlukan makanan pada kadar tertentu, jika diambil lebih daripada kadarnya, muncullah simptom atau gejala penyakit.

Contohnya, kerap minum minuman manis, lama-kelamaan dapat penyakit kencing manis atau diabetik. Jika selalu sangat kurang makan sayur atau buah-buah-buahan, boleh dapat sembelit.

Jadi, lebih dan kurang ada baik dan buruknya.

Sebaik-baiknya kita cuba ambil tahu apa yang sesuai dengan kesihatan kita. Maklumat kesihatan diri sangat banyak. Kalau tidak mahu beli buku-buku, cari saja di internet.

 

Saturday, January 05, 2013

Salah faham punca konflik rumah tangga






"Ustaz, tengok ni.."

Saya menunjukkan tajuk berita tentang seorang wanita dalam pantang yang dibelasah suami kepada rakan semasa kami bersama-sama membaca surat khabar.

Puncanya ialah si suami berang kerana isteri berpelukan dengan lelaki lain. Namun si isteri menyatakan ia hanyalah salah faham kerana sebelum kejadian, ada dua jiran lelaki sedang mencucuh rokok dalam kawasan rumah dan terserempak dengan suaminya.

Kisah ini sangat mudah difahami kerana kejadian yang berlaku melibatkan salah faham tetapi impkanya ialah seluruh badan isteri cedera, motosikal dibakar dan pakaian mangsa turut musnah.

Keluarga menjadi nukleus kepada masyarakat dan negara. Keluarga yang bahagia tidak akan berlaku kecederaan kepada mana-mana pihak walaupun wujud salah faham dan prasangka kerana penyelesaiannya berbagai-bagai.

Mangsa lain ialah anak-anak yang bakal kehilangan sentuhan kasih-sayang kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes ini, anak yang masih kecil tentulah masih perlu diberi perhatian khususnya hubungan kasih-sayang, pendidikan dan perbelanjaan harian. Selepas suami dihukum nanti, siapa pula yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak mereka? Akhirnya, datuk dan nenek yang membesarkan cucu.