Friday, September 30, 2022

Kerja lebih, hasilnya juga lebih


Hampir semua orang yang berjaya, kaya dan ternama terdiri daripada mereka yang bermula dari peringkat bawah. Biasanya ialah berapa banyak usaha yang kita pertaruhkan di dalam pekerjaan dan kehidupan sebanyak itulah yang kita akan dapat balik. 

Contohnya, kalau kita usahakan sebanyak sepuluh peratus daripada tenaga kita, maka sepuluh peratus hasil yang kita akan dapat balik. Jika kita bekerja setakat mendapat upah seribu ringgit, Insya-Allah kita akan dapat seribu ringgit juga dan tidak lebih daripada itu kerana usaha itu tidak sampai ke tahap dua ribu ringgit. 

Jika hendak jumlah yang lebih besar, kenalah berusaha lebih banyak. Jadi, mari kita fikirkan tentang bagaimana hendak bekerja dengan lebih kuat supaya kita dapat jumlah yang lebih banyak daripada yang kita fikirkan. 

Orang yang berusaha gigih sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatannya.

Usaha yang diberikan juga akan berlipat kali ganda supaya dapat mencapai sasaran dan akhirnya mengecap nikmat daripada hasil kerja tersebut.

Thursday, September 29, 2022

Buat lebih, dibayar lebih


Kali ini kita masih berkongsi tentang kejayaan. Sekiranya kita mencapai kejayaan seperti kenaikan pangkat, gaji yang lumayan dan sebagainya, sudah tentu ada sebab dan alasan yang istimewa.

Satu tabiat yang sangat terpuji ialah berusaha membuat kerja yang lebih daripada apa yang dibayar. Pasti suatu hari nanti kita akan dibayar lebih daripada apa yang kita lakukan. 

Inilah salah satu prinsip kejayaan dalam kerjaya undang-undang dan hukum alam bersifat timbal balas menyatakan apabila kita mengamalkan nilai dan tabiat yang baik, pada akhirnya, orang lain akan memberikan ganjaran lebih banyak. 

Ganjaran seperti gaji, bonus dan apa sahaja adalah hasil daripada perkhidmatan cemerlang. 

Jika kita lihat orang-orang yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, biasanya mereka mengamalkan tabiat bekerja lebih daripada apa yang dibayar di peringkat permulaannya. 

Itulah kejayaan yang hebat.




Wednesday, September 28, 2022

Kuasa ilmu


Ilmu pengetahuan menjadi kuasa besar untuk berubah. Kuasa yang boleh membawa kita ke tempat lebih jauh, lebih tinggi dan lebih mulia. Ilmu pengetahuan membawa perubahan kepada ramai orang miskin dan orang susah. 

Anak-anak petani, nelayan, buruh, tukang sapu, pencuci dan sebagainya telah keluar dari kepompong pekerjaan tradisi kepada pekerjaan yang lebih mencabar kerana mereka belajar di sekolah, mendapat ilmu dan mula membuat perubahan. 

Semasa kanak- kanak kita mungkin bermain ‘enjet-enjet semut siapa sakit naik atas’ yang mana falsafah permainan ini ialah kesakitan diumpamakan seperti kesukaran atau rintangan. 

Jika kita menghadapi kesukaran, jangan pandang belakang sebaliknya terus mara. 

Dalam proses belajar dan mencari ilmu, kita perlu ingat sebaik sahaja kita berhenti belajar, pembangunan diri kita akan turut terhenti.

Tuesday, September 27, 2022

Tiga C


Maksud kaya memiliki banyak tafsiran. Ada orang yang kaya harta tetapi sangat susah hendak senyum, ada yang miskin harta tetapi kaya dengan senyuman dan ada juga sebaliknya. 

Allah swt tidak mengukur kekayaan harta benda, kaya anak- pinak tetapi kekayaan di sisi Allah swt ialah kaya iman dan kaya amal. Apabila lalai dan leka dengan kesenangan hidup, iman dan amal diletak di tepi. 

Satu kajian yang dilakukan ke atas kecenderungan anak muda terhadap kehidupan pada zaman moden, rata-rata anak muda ini memilih ‘3C’ iaitu credit card, car, condominium. 

Tidak ada kecenderungan untuk mencari iman ketika usia muda. 

Jadilah kehidupannya hanya untuk kesenangan hidup sahaja. Tidak memikirkan apakah bekalan untuk dibawa ke akhirat dan itulah kehidupan yang dilalui hanya untuk berseronok dan gembira.


Monday, September 26, 2022

Ucapan penghormatan jadi amalan


Apabila kita hormat orang lain, orang lain turut akan hormat kepada kita kerana hormat sangat sukar dituntut. 

Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk hormat jika kita tidak ada keinginan untuk menghormati. Memberi hormat ini banyak cara seperti ucapan selamat, ucapan salam, senyum ataupun berjabat tangan. 

Seorang rakan saya dari Amerika Syarikat memberi contoh yang sangat baik kepada kita untuk hormat dalam bentuk ucapan selamat. 

Dia selalu memberi ucapan ‘hello’, ‘good morning’ dan ‘thank you’. Ketika mengucapkan perkataan ini dia tersenyum. 

Oleh kerana masyarakat kita yang tidak biasa dengan cara ini, saya pun agak kekok untuk praktis dalam ucapan harian, tetapi saya cuba juga supaya menjadi amalan yang melekat dalam diri. 

Mungkin dengan hormat cara begini kita akan diingat sampai bila-bila.

Sunday, September 25, 2022

Berkorban untuk belajar hingga berjaya


Sikap ingin belajar bergantung kepada diri kita iaitu terbuka kepada ilmu baharu dan cabaran baharu. Keterbukaan ini adalah tahu, faham, terjemahkan kefahaman dan laksana. inilah sistem yang boleh diguna pakai untuk belajar dalam bidang yang kita minat. 

Belajar juga bergantung kepada kesediaan diri. Disiplin diri, serius dan mahu membuat kerja adalah antara persediaan yang boleh membuka ruang kepada keterbukaan. 

Peluang untuk belajar semakin banyak contohnya di negara kita terdapat institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai bidang pengajian. 

Dua puluh tahun lepas, kewujudan institusi ini tidak sebanyak yang ada pada hari ini. Kerajaan telah membuka ruang dan terpulang kepada kita untuk menempatkan diri dalam peluang yang disediakan. 

Semakin banyak atau tinggi aras ilmu yang kita ada, ongkosnya tentulah lebih banyak. Insya-Allah. jika sudah ada niat hendak belajar, Allah akan bantu kita.


Saturday, September 24, 2022

Gen-X, Gen-Y dan Gen-Z

Dalam masyarakat, terdapat empat generasi yang hidup bersama iaitu baby boomer, Gen-X, Gen-Y dan Gen-Z. Cara berfikir mereka ini berbeza-beza. Gen-Z tidak sama cara fikirnya dengan Gen-X dan Gen-Y. 

Gen-Z berfikir lebih laju, lebih pintar dan lebih cerdik kerana maklumat yang diperolehi lebih terkehadapan dan jaringan sosial juga lebih banyak. 

Saya rasa dari setahun ke setahun pemikiran generasi ini akan lebih maju dalam pelbagai bidang. Hal ini mewujudkan jurang generasi tetapi banyak cara untuk menyelesaikannya. 

Contohnya, generasi yang celik IT sangat pantas mencari maklumat melalui internet berbanding generasi lama. Perbezaan ini boleh mencetuskan perselisihan pandangan, idea dan kaedah. 

Maka, ibu bapa perlu belajar sedikit sebanyak apa yang menjadi kegilaan anak manakala guru-guru perlu mengambil berat minat anak murid dalam pelbagai bidang dan sebagainya.


Friday, September 23, 2022

Perubahan tetap akan berlaku


Belajar menerima perubahan dari yang lama kepada yang baharu adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Perubahan tidak semestinya drastik tetapi mengambil masa dan berperingkat-peringkat. 

Kenapa perubahan mesti dipelajari? 

Maksud mempelajari perubahan ini ialah kita kenal selok-belok bagaimana perubahan bermula dan berakhir serta proses yang paling baik untuk mengurus perubahan tersebut. 

Kita belajar bagaimana hendak merancang perubahan dan menilai keputusan dari semasa ke semasa. Dalam proses ini terdapat adakalanya perubahan tidak menepati kehendak kita. 

Jadi kita belajar bagaimana hendak menerima keputusan begitu, lihat bagaimana, di mana silapnya, apa halangannya dan bagaimana cara terbaik untuk capai matlamat perubahan, 

Sama ada mahu ataupun tidak mahu, perubahan akan berlaku. 

Jika kita tidak mahu membuat perubahan, suatu masa nanti, orang lain yang akan melakukan perubahan ke atas diri kita.



Thursday, September 22, 2022

Rubbish on, rubbish out


Sesekali semasa saya hadir ke kursus, pagi-pagi lagi disediakan senaman pagi yang biasanya mengambil masa 45 minit hingga satu jam. 

Selepas melompat, duduk, lari dan merangkak, fasilitator atau jurulatih akan memberi ulasan. Antara ulasan yang menarik ialah keupayaan menerima arahan dan melaksanakan arahan. 

Bagaimana kita mengurus arahan-arahan di rumah, sekolah atau tempat kerja? 

Kaedahnya begini. Sebaik sahaja menerima arahan mesej, proses mesej dan pelaksanaan berdasarkan kefahaman sendiri. Arahan yang jelas tentu menghasilkan kerja yang sangat cemerlang. 

Bagaimana pula jika dapat mesej yang salah? 

Proses perlu juga dibuat tetapi biasanya mesti dibetulkan dengan memaklumkan kepada penghantar mesej supaya dapat betulkan mesej yang diberi. Jika mesej yang salah dibiarkan, jadilah seperti mana ayat ‘rubbish on, rubbish out’.




Wednesday, September 21, 2022

Dedahkan kepada perubahan


Proses pembangunan dalam diri mengambil masa dan melalui banyak peringkat. 

Ada kalanya hanya dua atau jam berbual-bual dengan kaunselor, seorang klien sudah boleh menerima kenyataan hidup dan melihat hidup dengan pemikiran yang positif. Pandangannya terhadap diri sendiri telah berubah ke arah yang lebih baik. 

Ada juga perubahan yang boleh berlaku dalam masa seminggu. Contohnya selepas menghadiri kursus, bengkel atau seminar yang mana ilmu yang diperolehi dapat membantu merencanakan perubahan yang diingini. 

Semakin banyak kita hadir ke kursus atau mendedahkan diri kepada perubahan, lebih cepatlah proses perubahan itu akan berlaku. 

Jadi, kalau kita ada niat untuk merancang membuat perubahan diri, kita harus sedar proses tersebut kadangkala amat sukar dan menyakitkan. 

Jika kita dapat melalui proses tersebut dengan baik, insya Allah kita boleh melakukannya.