Wednesday, June 30, 2021

Perubahan pada masa yang tepat


Perbezaan antara orang yang cemerlang atau berjaya dengan gagal ialah sikap mereka. 

Saya bawakan kisah dua sifat ikan yang sangat berbeza dan kedua-duanya sangat jelas berbeza. 

Ikan pertama adalah ikan laut flounder (sejenis ikan laut yang berbentuk sebelah). Ikan ini hidup di dasar laut dan memiliki sikap tunggu dan lihat. 

Oleh kerana ia menunggu, pergerakannya amat perlahan dan sentiasa mengikut gelombang laut. Nelayan tidak menghadapi masalah untuk menangkap ikan ini. 

Namun nelayan akan menghadapi masalah menangkap ikan air tawar kerana sifatnya yang lincah dan suka melawan arus. 

Ia sangat memilih makanan dan mempunyai prinsip diri yang tegas apabila membuat keputusan.

Orang yang memiliki ciri ikan laut adalah orang yang menunggu semuanya berubah, baharulah ia akan bertindak. Sebaliknya ciri ikan air tawar adalah perubahan yang dibuat sesuai dengan keinginannya. 

Rumusannya ialah jadilah orang yang cepat membuat perubahan pada masa yang tepat.


Tuesday, June 29, 2021

Bijaksana dan sabar mengurus hidup


Kehidupan yang kita lalui semalam, hari ini dan esok umpama medan pertempuran yang hebat. Untuk memenangi pertempuran ini, kita perlukan senjata dan sistem pertahanan yang kuat supaya hidup kita, di akhirnya adalah kejayaan. 

Apakah senjata yang paling ampuh dalam peperangan hidup? 

Jawabnya adalah kebijaksanaan. 

Bagaimana hendak mendapat kebijaksanaan ini? Tentulah dengan belajar, berfikir, mencuba, memerhati, mengkaji dan bertanya. 

Apakah pula sistem pertahanan paling kebal diri kita? 

Jawabnya ialah sabar. 

Apabila kita gabungkan bijaksana dan sabar, insya Allah kita dapat merancang kehidupan dengan lebih teratur, terencana dan berkesan. 

Jika kita ingin hidup dengan selesa lebih berumur 60 atau 70 tahun, rancanglah kewangan hari ini, urus perbelanjaan dengan teratur dan membuat pelaburan dalam pelbagai bidang.

Kesihatan diri sentiasa dipantau supaya berada dalam keadaan terbaik. Malah menjadikan setiap masa yang ada sentiasa dalam keadaan aktif dan dinamik.


Monday, June 28, 2021

Pantas dan aktif dalam kerja


Baru-baru ini saya menghadirkan diri untuk kursus pembangunan diri di sebuah resort yang menarik. 

Jadual harian sangat padat dan setiap masa diisi dengan program-program yang mencabar mental dan fizikal. Pukul lima pagi kami bangun, solat subuh dan bersedia dengan aktiviti kecergasan diri. 

Hampir satu jam semua peserta berlari dan bergerak dengan pantas sambil memberi perhatian kepada arahan jurulatih. 

Walaupun badan keletihan, saya tidak ada masa hendak tidur kerana badan yang cergas telah mengaktifkan otak. 

Kita boleh bezakan siapa yang cergas dan siapa yang malas dengan cara melihat kepantasan pergerakan peserta. 

Jika kita perasan, orang yang bergerak pantas lebih aktif dalam kerja atau berfikir. 

Aktif dalam kerja bermaksud sebaik sahaja diberi tugasan, terus dibuat tanpa berlengah-lengah. Insya Allah, pekerja seperti ini lebih cepat berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka.


Sunday, June 27, 2021

Serius dengan masa


Saya mengenali seorang rakan yang boleh berbahasa Jepun dengan baik. Beliau pernah belajar bahasa Jepun selama dua tahun seterusnya menyambung pengajian di sebuah universiti di negara matahari terbit itu. 

Selepas melalui proses pembudayaan masyarakat Jepun, perwatakannya sedikit sebayak sebanyak telah berubah kerana dipengaruhi oleh nilai-nilai yang ada dalam masyarakat Jepun. Salah satu amalan yang saya sangat kagum adalah disiplin masa. 

Beliau sentiasa memakai jam tangan dan dalam setiap kali mesyuarat atau perjumpaan, biasanya beliau yang akan hadir paling awal. 

Dalam konteks global, masyarakat di negara-negara maju sangat mementingkan masa berbanding negara-negara sedang membangun atau belum maju. 

Dalam sebuah rancangan televisyen, hasil kajian ke atas kehadiran pelajar untuk mereka menunjukkan sangat ramai pelajar yang datang lewat ke kuliah. 

Malah ada yang datang lewat setengah jam selepas kuiah berjalan. Antara alasan kehadiran lewat ini ialah bersarapan pagi, tidak ada kenderaan dan ketiduran. 

Jika kita hendak jadi seorang yang maju, kita perlu sentiasa serius dengan masa.


Saturday, June 26, 2021

Sahsiah positif


Setiap orang diberikan bakat, kemahiran dan keupayaan yang berbagai-bagai. 

Dalam keluarga, anak pertama atau anak sulung berbeza dengan anak kedua, ketiga atau anak bongsu. 

Perbezaan inilah yang menentukan kualiti diri yang ada pada setiap orang seterusnya menentukan sahsiah positif atau negatif. 

Sahsiah positif adalah kekuatan diri yang ada pada seseorang untuk melonjakkan kecemerlangan. 

Contoh-contoh sahsiah positif ialah bertanggungjawab. Sikap ini adalah sangat mustahak kerana menyiapkan mental dan fizikal untuk bersedia menghadapi semua rintangan dan cabaran sama ada kecil ataupun besar, senang ataupun susah, risiko tinggi ataupun rendah.

Bagi pencari kayu, majikan amat suka kepada pekerja yang bertanggungjawab kerana beliau tahu semua kerja akan disempurnakan dengan sebaik-baiknya.


Friday, June 25, 2021

Kenal diri


Apakah ciri-ciri seseorang yang dikatakan telah mengenal dirinya? 

Banyak ciri yang sebenarnya seperti memiliki keyakinan diri dalam hidup. 

Membentuk keyakinan diri bermula sejak kecil dan tentulah pengalaman hidup mematangkan fikiran dan tindakan.

Pengalaman hidup menjadi pendorong yang sangat hebat untuk membina keyakinan diri kerana terdapat unsur-unsur kepercayaan diri yang sangat tinggi apabila kita menempuh pengalaman berjaya atau gagal. 

Seorang pekerja yang diberi dorongan dan galakan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh berbanding pekerja yang tidak dipedulikan. 

Dorongan dan galakan tadi merupakan asas kepercayaan bahawa beliau boleh melakukannya ditambah pula dengan dorongan, sokongan dan perhatian berterusan.


Thursday, June 24, 2021

Pergi sekolah


Dunia akademik di Barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah kerap membuat kajian tentang manusia. 

Salah satu bidang kajian ini ialah tentang diri manusia atau diri kita sendiri. 

Hasil kajian-kajian ini dirumuskan sebagai ramai orang yang kurang menyedari siapa diri mereka yang sebenarnya dalam hal arah tuju, keperluan-keperluan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan peluang-peluang yang boleh diambil sepanjang hidup. 

Kunci kepada menjual bakat dan kebolehan diri ialah mengetahui di mana kedudukan diri sendiri dalam pelbagai aspek hidup seperti tahap pengetahuan, emosi, rohani dan jasmani. 

Sebab itulah pendidikan formal sangat penting kerana lebih tinggi ilmu, lebih cepat dan mudah kita mengenal diri sendiri. 

Jadi, kepada anak-anak muda, belajarlah rajin-rajin.

Wednesday, June 23, 2021

Bayangkan kejayaan



Fikiran kita tidak mampu membezakan di antara realiti dan fantasi. Maksudnya, apa-apa yang kita bayangkan kemungkinan besar boleh diraih. 

Bagaimana kita hendak mempercayai konsep ini? 

Saya berkongsi beberapa kajian yang telah dibuat. 

Pertama, Dr Maxwell Maltz, seorang doktor perubatan telah melakukan eksperimen ke atas dua pasukan bole keranjang. 

Satu pasukan diminta berlatih secara bebas iaitu membayangkan lemparan bola tanpa melakukannya secara fizikal. Manakala satu pasukan lagi benar-benar membuat latihan. 

Selepas itu, kedua-dua pasukan masuk bertanding dan anehnya pasukan pertama tadi yang telah menang. 

Kedua, kajian Dr Denis Waitley ke atas atlet olimpik Amerika Syarikat. Beliau meminta atlet olahraga ‘berlari’ dengan membayangkan otot-otot mereka bergerak pantas semasa berlari.

Dalam kedua-dua kaedah ini, konsep yang digunakan ialah ‘Act as If’ iaitu teknik yang mengajar berpura-pura seakan-akan hal itu akan berlaku. 

Andai kita dapat bayangkan dapat naik pangkat, cemerlang dalam peperiksaan, hal itu boleh direalisasikan.


Tuesday, June 22, 2021

Menghadap masalah



Apakah tempat yang paling bebas daripada masalah? 

Saya terfikir soalan ini apabila membaca kisah Dr Norman Vincent Peale dengan seorang anak muda. Anak muda ini datang berjumpa beliau kerana tidak sanggup lagi menanggung beban hidup dan meminta Dr Norman memberikan penyelesaian. 

Apabila Dr Norman bersetuju untuk menunjukkan sebuah tempat di mana ramai orang tidak lagi memiliki sebarang masalah anak muda ini tersenyum kerana berpuas hati dan minta ditunjukkan segara. 

Dr Norman membawa anak muda in ke sebuah kawasan da berkata, ‘Di sini terbaring lebih daripada 150,000 orang yang tidak lagi memiliki masalah hidup’. 

Tahukah anda apakah nama kawasan tersebut? Tempat itu adalah kubur. 

Kita yang masih hidup tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah yang perlu dihadap setiap hari, sama ada masalah itu kecil ataupun besar. 

Jadi, masalah memang tidak dapat dielakkan.

Monday, June 21, 2021

Setiap kejadian ada hikmah


Apabila umur kita semakin meningkat dewasa dan melangkaui umur tua, tentu banyak kenangan sama ada yang memberi bekas dalam hidup ataupun menjadi bekas dalam hidup ataupun menjadi hiburan. 

Dalam beberapa keadaan, banyak peristiwa yang tidak dapat dijelaskan semasa peristiwa itu berlaku. 

Seorang penulis Inggeris, Somerset Maugham pernah menceritakan seorang pembantu yang berpangkat rendah telah bekerja di sebuah rumah ibadat di kota London. 

Sebaik sahaja diketahui beliau tidak boleh membaca dan menulis, majikan telah bertindak memecatnya. Kita boleh bayangkan apa yang berlaku pada emosinya. 

Namun fikirannya ligat berfikir. 

Beliau mengeluarkan semua wang simpanan dan mula mendirikan sebuah gerai. 

Rezekinya murah, gerai jualannya berkembang dan membolehkannya mengumpulkan kembali wang untuk memiliki simpanan, harta dan wang yang bayak. 

Suatu hari, ketika memasukkan wang ke bank, seorang petugas bank bertanya, ‘Tuan mampu menjadi kaya walaupun buta huruf, kalau tuan boleh menulis dan membaca, mesti tuan akan hebat?’ 

Lalu dijawabnya, ‘Jika saya boleh membaca dan menulis, saya akan jadi pembantu rumah ibadat selama-lamanya’.