Wednesday, February 26, 2025

Kerjasama dua hala Malaysia-Turkiye kukuhkan hubungan sedia ada


Lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia baru-baru ini menjadikan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye lebih mesra dan menyumbang kepada pengukuhan dagangan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang. Apatah lagi perdana menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Erdogan sebagai rakan karib yang menghulurkan tangan ketika semua orang menyembunyikan tangan masing-masing semasa beliau dipenjarakan.

Hubungan Malaysia dan Turkiye dapat dilihat dalam jumlah dagangan kedua-dua negara yang mencecah RM24.13 bilion pada tahun lepas dan Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.

Dalam bidang pendidikan, institusi pendidikan swasta di Malaysia mulai meneroka peluang-peluang pendidikan tinggi Turkiye di samping bahasa Turkey dipelajari oleh pelajar-pelajar yang bercadang melanjutkan pelajaran ke negara itu. Peluang yang terbuka luas adalah pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi terpilih yang mana dapat memanfaatkan pelajar-pelajar Malaysia.

Kunjungan Erdogan kali ini dilihat istimewa melalui sebelas perjanjian persefahaman yang menjadi penanda aras kesungguhan hubungan dua hala ini. Barangkali ia menjadi lebih istimewa apabila hubungan rapat kedua-dua negara dapat dilihat melalui percantuman budaya yang sudah tentu dapat dipanjangkan dalam aspek komunikasi, sains dan teknologi.

Pengaruh Turkiye dalam masyarakat Melayu khasnya dapat ditelusuri sejak abad ke-15 dalam hubungan perdagangan dan keagamaan antara kesultanan melayu melaka dan Turkiye Othmaniah. Pengaruh ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai aspek sosiobudaya, politik dan pendidikan.

Dalam masyarakat Melayu, agama dilihat ada hubung kait yang amat akrab kerana mereka melihat Turkiye sebagai pusat khalifah Islam yang tersohor. Pengaruh ini meresap dalam penulisan keagamaan dalam kalangan ulama dan menjana beberapa istilah seperti “ustaz” dan “madrasah”.

Bidang sastera juga mempengaruhi sastera Melayu klasik seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulatus Salatin yang menceritakan hubungan dengan Tuhan.

Pengaruh-pengaruh lain adalah dalam politik, pendidikan dan kebudayaan. Dalam politik, gerakan pan-Islamik yang dipelopori oleh Turkiye Othmaniah mendapat perhatian golongan intelektual Melayu kerana dapat menyumbang kepada kebangkitan nasionalisme Melayu.

Kerjasama dalam pelbagai bidang ini dapat dilihat dalam kekuatan dan kelemahan yang boleh ditambah baik dari semasa ke semasa. Kekuatan hubungan ini merangkumi aspek-aspek berikut:





Manakala kelemahan yang boleh diatasi adalah seperti berikut:








Untuk tempoh lima tahun akan datang, dijangkakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye akan terus diperkuatkan terutama dalam bidang kerjasama ekonomi, pendidikan dan pertukaran budaya. 

Walau bagaimanapun, hubungan dua hala juga akan menghadapi cabaran terutama dalam bidang persaingan dagangan, perbezaan budaya, keselamatan dan kerangka institusi yang terhad. Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk membina kepercayaan, memperkuatkan hubungan antara rakyat dan mempromosikan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Jenayah rasuah

Buku yang sarat dengan kupasan ilmiah berdasarkan al-quran dan hadis, mengambil iktibar ketamadunan Islam dan jatuh bangun kerajaan Melayu Islam.

Sepertimana tajuknya, “Jenayah Rasuah”, seseorang boleh terjebak dalam rasuah kerana ada ruang, peluang dan tekanan yang berlaku merentas zaman dan sesuai dengan kompleksiti masyarakat.

Definisi rasuah juga berkait dengan amalan di peringkat global dan budaya setempat. Contohnya “duit kopi”, apakah istilah ini disebabkan kerana berterima kasih lalu dianggap sebagai memberi rasuah?

Interaksi definisi antara amalan standard global dengan budaya masyarakat setempat membentuk garisan kelabu sama ada dianggap sebagai memberi rasuah atau sebahagian daripada norma dalam masyarakat. Namun, ia berbalik kepada siapa pelaku dan apa tujuannya serta atas kapasiti apa.

Buku ini mengupas konsep keberkatan rezeki yang dikaitkan dengan rasuah di semua peringkat sosial iaitu individu, komuniti dan organisasi. Kesukaran yang dihadapi oleh individu bagi mendapatkan rezeki yang berkat amat akrab dengan kekuatan iman dan tarbiah yang diterima.

Rasuah tidak akan berlaku apabila iman kuat dan sedar betapa setiap perbuatan rasuah akan dibalas di akhirat. Justeru menjadi tanggungjawab semua pihak untuk meningkatkan iman dan memantapkan tarbiah diri supaya sedar bahawa kita membawa pahala dan dosa untuk diadili kelak.

Tuesday, February 25, 2025

Elakkan tragedi "eyeball gummy" berulang


Kematian seorang murid sekolah di Pulau Pinang akibat tercekik “eyeball gummy” mengejutkan masyarakat. Bukan setakat ibu bapa yang terkejut, anak-anak berumur empat dan lima tahun turut memahami kejadian berkenaan.

Makanan ini bukan sahaja tidak memberi zat malah merosakkan perkembangan gigi yang sihat kerana perasa manis membuatkan kanak-kanak mahu membelinya tanpa henti.

Umum tahu, sifat kanak-kanak adalah selagi dilarang, selagi itulah mereka memujuk ibu bapa untuk membeli biarpun sebutir. Ibu bapa yang lembut hati terpaksa mengalah namun ketegasan sangat penting untuk anak-anak mengawal pembelian.

Keadaan ini menimbulkan dilema kepada ibu bapa dan datuk serta nenek yang menurut kemahuan anak-anak dan cucu. Dilema memikirkan sikap anak-anak ini jika tidak dilayan yang akan mengundang rasa sedih dan merajuk. Lebih parah lagi ialah kerosakan gigi yang berterusan.

Justeru kita menyambut baik langkah segera Kementerian Kesihatan Malaysia yang menguatkuasakan barangan penjualan berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara. Tidak syak lagi produk ini mengundang lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

Selepas ini ibu bapa boleh berpesan kepada anak-anak supaya menjauhi makanan ini dan makanan lain seperti jelly ball, ice jelly, mashmallow, ring gummies dan candy spray supaya mereka terselamat, sihat dan dapat mengelakkan masalah gigi rosak.

Bagi mengekang penjualannya, agensi penguatkuasa boleh mengambil langkah tegas ke arah menyekat dan menghalang penjualan seperti ini supaya tidak ada lagi kanak-kanak dan murid yang kehilangan nyawa. Ia boleh bermula dengan makluman bahaya pemakanan ini disusuli dengan peringatan larangan pengambilan kepada kanak-kanak dan murid sekolah, seterusnya mengenakan denda ke atas penjual yang terlibat sama ada jualan di kedai mahupun kedai dalam talian.

Sepatutnya, langkah ini diambil sejak awal lagi iaitu dengan tidak membenarkan penjualannya dilakukan. Apabila melibatkan kematian, baharulah kita mengambil tindakan bagi mengelakkan peristiwa ini berulang. 

Pepatah “sudah terhantuk baru tergadah” adalah tepat bagi mengambbarkan apa yang telah pun terjadi dan tidak dapat diulang kembali. Ibu bapa hanya dapat meratap dan rakan-rakan hanya dapat menangisi kehilangan rakan sekelas mereka.

Kerajaan boleh mengambil langkah tegas bagi menghentikan penjualan “eyeball gummy” ini dalam tempoh tiga bulan dari sekarang supaya kanak-kanak dan murid sekolah terselamat daripada tercekik atau tidak mendapat makanan yang berkhasiat.


Monday, February 24, 2025

Langkah atasi jenayah pembunuhan wanita


Kematian tragis seorang peniaga wanita yang menghantar barangan tempahan di Tanjung Lumpur, Kuantan baru-baru ini menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan awam ketika ini.

Kematian wanita yang berumur 37 tahun itu dikatakan telah dirompak dan dipukul sehingga mati. Kematian ini memberi kesan atas keselamatan wanita yang bekerja seorang diri ketika berada di luar rumah.

Ketika keadaan ekonomi yang agak mencabar hari ini, mencari wang untuk perbelanjaan harian keluarga adalah satu keperluan utama dan mendesak. Kehidupan di kampung atau bandar tidak banyak bezanya apabila melibatkan perbelanjaan, cuma jumlahnya yang berbeza.

Dari segi mencari wang, kedua-duanya adalah sama.

Kisah-kisah pembunuhan ke atas wanita memang meresahkan. Banyak faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku. Salah satu kes yang menarik berlaku di Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia pada September tahun lepas. Seorang gadis penjual makanan bergoreng telah dirogol dan dibunuh oleh ketika sedang mengelilingi kampung bagi menjual makanannya.

Kesan besar yang dapat dilihat ialah keadaan trauma ibu gadis tersebut. Rumah mereka tidak besar dan gadis ini menjual makanan goreng untuk menampung hidup keluarga.

Kejadian yang berlaku di Tanjung Lumpur menimbulkan kerisauan kepada anak-anak muda yang sedang berusaha mencari pendapatan sendiri tetapi harus bekerja kuat untuk maju. Ibu bapa juga turut terkesan memikirkan keselamatan anak-anak yang make mencari pendapatan sendiri.

Kebimbangan dan kerisauan ini harus segera ditangani oleh pihak berkuasa biarpun suspek telah ditangkap. Antara langkah yang patut diambil adalah maklumat dari orang awam yang disalurkan tepat pada masanya ketika operasi pencegahan jenayah. Seterusnya aktiviti berkala yang boleh dirancang bersama komuniti melalui hebahan media sosial atau khutbah jumaat.

Kita ingin melihat hubungan baik ini diteruskan dalam institusi keagamaan seperti masjid dan surau, gereja atau kuil yang dibuat dalam bentuk pameran, promosi atau pertandingan sukan yang bersifat setempat. Pihak polis daerah atau negeri boleh juga membuat tinjauan soal-selidik berkaitan tahap kesediaan orang awam untuk bekerjasama dengan anggota polis di kawasan mereka.

Analisis dapatan tinjauan ini dapat membantu pasukan polis mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan yang boleh diatasi. Peruntukan perbelanjaan untuk tinjauan ini boleh diberikan kepada penyelidik-penyelidik dari universiti awam yang telah biasa dengan kajian seperti ini.

Bidang dan fokus kajian boleh dikecilkan kepada komunikasi, persepsi, impak atau penilaian bagi tempoh tertentu dan sasaran. Ia juga boleh dipecahkan kepada sasaran kaum, agama, tahap sosial atau komuniti. Bilangan responden tidak perlu terlalu ramai, cukup dalam seribu orang bagi penilaian awam.

Untuk mengatasi jenayah pembunuhan wanita di Malaysia, terdapat beberapa langkah penting yang perlu diambil dengan melibatkan peranan komuniti dan kesediaan pasukan polis untuk bertindak. Berdasarkan analisis mendalam serta kajian berkaitan isu ini, berikut adalah tiga langkah utama.

Pertama, peningkatan kesedaran komuniti dan pendidikan awal tentang keselamatan wanita. Komuniti memainkan peranan penting dalam mencipta budaya saling menjaga dan melaporkan aktiviti mencurigakan. Program kesedaran seperti kempen “Zero tolerance terhadap kekerasan wanita” harus diperkenalkan secara aktif di setiap kawasan perumahan, sekolah dan tempat kerja. Ia juga termasuk pendidikan tentang hak-hak wanita, pengenalan tanda-tanda awal keganasan dalam hubungan dan cara-cara untuk mendapatkan bantuan.

Polis harus bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang cara membuat laporan, garis panduan untuk perlindungan diri dan nombor talian kecemasan. Selain itu, polis perlu menubuhkan unit khas yang sensitif terhadap isu keganasan terhadap wanita dengan anggota yang dilatih untuk menangani kes-kes ini dengan empati dan profesional.

Kedua, pengukuhan undang-undang dan pelaksanaan hukuman yang lebih ketat. Komuniti harus didorong untuk menjadi lebih proaktif dalam memastikan undang-undang dilaksanakan dengan adil. Misalnya, jika seseorang menyaksikan atau mengetahui tentang sebarang bentuk pelecehan atau ancaman terhadap wanita, mereka harus merasa yakin untuk melaporkannya tanpa takut akan balas dendam atau stigma.

Polis perlu mempercepat proses siasatan dalam kes-kes keganasan terhadap wanita dan memastikan pelaku ditangkap serta dihukum dengan hukuman yang setimpal. Hukuman yang lebih ketat seperti penjara maksimum atau hukuman mati bagi kes pembunuhan wanita boleh dijadikan sebagai elemen pencegahan. Selain itu, polis harus memastikan bahawa semua laporan tidak diabaikan atau dipandang remeh.

Ketiga, pembentukan rangkaian sokongan dan perlindungan untuk mangsa. Komuniti boleh membantu dengan menubuhkan pusat sokongan tempatan seperti rumah perlindungan atau kumpulan sokongan untuk wanita yang berisiko tinggi. Sukarelawan dari komuniti juga boleh dilatih untuk memberikan kaunseling asas atau membantu mangsa mendapatkan bantuan profesional.

Polis perlu bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk menyediakan perlindungan kepada wanita yang berada dalam situasi genting. Ia termasuk program perlindungan saksi, sistem pemantauan pelaku keganasan domestik dan garis panduan untuk intervensi awal apabila ada tanda-tanda keganasan meningkat.

Dengan melibatkan komuniti secara aktif dan memastikan pasukan polis bersedia untuk bertindak secara cepat dan efektif, langkah-langkah ini dapat mencipta persekitaran yang lebih selamat untuk wanita. Fokus pada pendidikan, penegakan undang-undang dan rangkaian sokongan akan membantu mengurangkan risiko pembunuhan wanita serta mencegah keganasan sebelum ia berlaku.

Langkah-langkah ini telah dibuktikan berkesan dalam negara lain yang menghadapi cabaran serupa, dan dengan pelaksanaan yang konsisten, Malaysia juga boleh mencapai penurunan signifikan dalam kes pembunuhan wanita.

Monday, February 10, 2025

Cabaran memajukan etnik dalam pembangunan sosioekonomi di Malaysia


Malaysia sebuah negara yang daripada pelbagai etnik dan tiga etnik yang utama adalah Melayu, Cina dan India manakala di Sabah dan Sarawak adalah etnik Kadazan-Dusun dan Iban merupakan etnik terbesar di kedua-dua buah wilayah.

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama. Keanekaragaman ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sejarah penghijrahan, penjajahan, perdagangan dan perkembangan ekonomi di rantau Asia Tenggara. Terdapat beberapa asal usul etnik ini ada di Malaysia.


Melayu

Orang Melayu merupakan kumpulan etnik majoriti di Malaysia. Mereka berasal dari rantau Nusantara (kini Indonesia, Malaysia dan sekitarnya) dan telah mendiami Semenanjung Tanah Melayu sejak berabad-abad lalu. Orang Melayu memiliki budaya yang dipengaruhi oleh agama Islam yang dibawa oleh pedagang Arab dan India pada abad ke-14. Dalam Perlembagaan Malaysia, seseorang dikira sebagai Melayu jika mereka beragama Islam, berbahasa Melayu, salah seorang ibu atau bapa berketurunan Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu [1].


Cina

Komuniti Cina di Malaysia bermula dari penghijrahan besar-besaran semasa era penjajahan British (abad ke-19 hingga awal abad ke-20). Kedatangan mereka ke Malaysia (dulu dikenali sebagai Tanah Melayu) disebabkan oleh peluang kerja dalam sektor perlombongan bijih timah, perladangan getah dan perdagangan. Terdapat juga faktor kesukaran hidup akibat kebuluran dan kelaparan. Kebanyakan pendatang Cina berasal dari wilayah selatan China seperti Fujian, Guangdong dan Hainan. Komuniti ini membawa budaya, bahasa dan adat resam mereka sendiri termasuk ajaran Taoisme, Buddha dan Kristian.


India

Komuniti India di Malaysia juga datang semasa era penjajahan British khususnya untuk bekerja di ladang getah dan pembinaan landasan kereta api. Kebanyakan mereka berasal dari selatan India iaitu Tamil Nadu namun ada juga yang berasal dari Kerala, Andhra Pradesh dan wilayah lain. Komuniti India membawa pengaruh budaya Hindu, Islam dan Kristian serta tradisi bahasa Tamil, Hindi dan bahasa-bahasa India lainnya.


Orang Asli

Orang Asli merujuk kepada kelompok peribumi yang telah mendiami Semenanjung Malaysia sebelum kedatangan orang Melayu atau bangsa lain. Mereka terdiri daripada pelbagai sub-etnik seperti Semai, Temiar, Jakun dan banyak lagi. Orang Asli biasanya tinggal di kawasan pedalaman dan memiliki gaya hidup yang lebih tradisional, bergantung kepada alam untuk keperluan harian mereka. Walaupun minoriti dalam konteks demografi moden, mereka dianggap sebagai penduduk asal tanah air ini.




Etnik-etnik Lain

Selain etnik utama, Malaysia juga memiliki komuniti etnik lain yang lebih kecil seperti Sikh (kebanyakannya dari Punjab, India), Eurasia (keturunan campuran Eropah dan tempatan) serta kelompok suku kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak (seperti Kadazan-Dusun, Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain). Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik yang sangat unik dan kompleks dengan ratusan sub-kumpulan etnik dan bahasa.

Kewujudan pelbagai etnik di Malaysia adalah hasil daripada beberapa faktor, pertama ialah perdagangan antarabangsa di mana pedagang dari India, China, Arab dan negara-negara Eropah yang telah singgah di rantau ini untuk bertukar barang dan mencari hasil dagangan. Kedua adalah penjajahan British, yang mana British menggalakkan penghijrahan buruh dari China dan India untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian dan perlombongan. Ketiga adalah kedudukan strategik Malaysia di persimpangan laluan perdagangan dunia menjadikannya destinasi bagi pelbagai bangsa.

Kepelbagaian ini mencipta masyarakat yang kaya dengan budayanamun memberi cabaran dalam integrasi sosial dan politik. Namun, Malaysia terus berusaha mengekalkan harmoni melalui dasar-dasar yang mempromosikan perpaduan dan toleransi antara pelbagai kumpulan etnik.

Perkembangan semasa menunjukkan pertumbuhan penduduk Malaysia yang semakin menurun sejak 1970. Ketika itu, jumlah penduduk adalah 10.9 juta dengan kadar pertumbuhan 2.6 peratus, namun kadar ini berkurangan kepada 2 peratus pada 2024 dengan jumlah penduduk seramai 34.1 juta orang [2].




Pertambahan penduduk ini menambahkan lagi kerencaman dan kepelbagaian budaya. Ketika ini adalah sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh masyarakat Cina dengan majlis rumah terbuka. Perayaan sebegini diberi cuti umum dua hari dengan promosi separuh harga tol lebuh raya, harga istimewa jualan kenderaan dan barangan keperluan rumah serta diskaun di kedai dalam talian.

Fabrik sosial masyarakat Malaysia menjadi tarikan kepada banyak negara untuk mengkaji bagaimana negara ini boleh mengurus kepelbagaian sehingga berkembang dan maju. Slogan pelancongan iaitu ‘Malaysia Truly Asia’ menggambarkan betapa dekatnya Malaysia dengan cara hidup pelbagai bangsa di Asia. Berbeza budaya, bahasa dan agama tidak menjadi masalah untuk hidup dengan lebih harmoni dalam sebuah negara. Keadaan ini menunjukkan perbezaan ini bukan menjadi faktor kepada kelemahan negara sebaliknya ada faktor lain yang menjadi tarikan untuk menguatkan perpaduan negara.

Jika kita mengambil pendekatan global dalam menilai kemajuan sesebuah negara, terdapat tiga indikator yang menentukan status negara maju iaitu ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Indikator ekonomi untuk mengukur tahap pendapatan rakyat, indikator pendidikan untuk menentukan kadar celik huruf dan indikator kesihatan untuk menentukan umur yang panjang. Perbandingan antara negara dapat dilihat dalam dalam Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI) [3] yang digunakan sebagai alat mempertimbangkan dan menilai pilihan dasar sebuah negara dengan mengemukakan soalan tentang bagaimana dua buah negara yang memiliki tahap Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita yang serupa boleh mencapai hasil pembangunan manusia yang berbeza. Perbezaan sedemikian berpotensi untuk memulakan perbincangan intelektual yang mendalam mengenai keutamaan dan keberkesanan dasar kerajaan dalam menguruskan aspek-aspek sosioekonomi masyarakat.

Apabila indikator-indikator ini diberi tumpuan dalam pembangunan negara, ia mengatasi indikator kaum yang sering kali menjadi penghalang kepada pembangunan sosial kerana keperluan kepada memenuhi keperluan sesuatu kaum yang masih menghadapi kelemahan dan perlu dibantu.

Kerumitan yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi jurang ekonomi, pendidikan dan kesihatan diterjemahkan dalam pelbagai dasar yang dirangka untuk merapatkan jurang berkenaan. Satu dasar yang sangat signifikan dan masih menjadi rujukan sehingga kini ialah Dasar Ekonomi Baru yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Kedua-dua sasaran ini dapat dilihat pelaksanaannya dalam semua aktiviti masyarakat yang memberi impak secara langsung kepada rakyat Malaysia.

Contohnya dalam merancang pembasmian kemiskinan masyarakat yang berada dalam kategori miskin dalam masyarakat Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Pelajar pelajar yang cemerlang di kawasan luar bandar telah dipilih dan diberi bantuan ke sekolah berasrama penuh dan sekolah bantuan kerajaan yang berasrama supaya mereka mendapat pendidikan terbaik. Pelajar-pelajar yang berjaya di sekolah menengah ini dihantar belajar ke universiti di dalam dan luar negara. Selepas tamat pengajian mereka akan memenuhi pasaran kerja dengan pendapatan yang lebih baik untuk membantu adik-beradik yang masih belajar di kampung. Kitaran ini terus berlaku sehingga semua adik-beradik selesai belajar.

Impak yang paling menonjol ialah kadar kemiskinan di luar bandar dapat dikurangkan dalam tempoh satu generasi sahaja. Keluarga di luar bandar tidak lagi terbeban dengan tekanan ekonomi kerana anak-anak yang berpendidikan dengan sendirinya mempunyai peluang untuk meneroka pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan yang lebih banyak di bandar.

Impak dalam pendidikan adalah lebih hebat dan menjangkau dalam pelbagai bidang. Contohnya apabila sesebuah negara mempunyai ramai bijak pandai, maknanya lebih banyak kolej dan universiti akan dibina bagi melahirkan tenaga kerja dan pakar dalam pelbagai bidang. Keperluan untuk pembangunan tidak terhad kepada menyediakan apa yang tidak ada malah menaik taraf apa yang telah ada. Kolej dan universiti ini juga boleh menawarkan tempat untuk pelajar antarabangsa memajukan negara masing-masing sepertimana yang dilakukan oleh Malaysia.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru ini telah menghakis syak wasangka sesama kaum dan mencipta platform baharu dalam pengelompokan berdasarkan kelas sosial. Pengelompokan kelas sosial seperti B40, M40 dan T40 tidak lagi melihat kaum sebagai punca kepada kemiskinan tetapi mengguna pakai indikator ekonomi iaitu jumlah tertentu sebagai pendapatan yang dijadikan ambang bagi sesuatu kategori kelas sosial. Pergerakan di satu kelas ke satu kelas yang lebih tinggi ditentukan oleh jumlah pendapatan keluarga yang boleh dijadikan ukuran untuk mendapatkan bantuan kerajaan.

Apabila sistem ini telah stabil, ia akan dapat mengurangkan pengenalan kaum dan digantikan dengan kelas sosial berpendapatan. Dari sini, kita akan dapat melihat kaum yang masih berada dalam kelompok sosial B40 atau M40. Jika masih belum dapat keluar dari kelompok B40, mereka akan dibantu supaya mendapat akses kepada peluang-peluang ekonomi yang disediakan. Jika masih berada dalam kelompok M40, mereka akan dibantu dengan kaedah lain yang sesuai untuk mengurangkan beban ekonomi isi rumah.

Kerajaan Malaysia memperkenalkan banyak bantuan untuk meringankan beban ekonomi rakyat. 'Bantuan Sara Hidup' atau BSH adalah bantuan bersasar untuk kategori penerima tertentu. Bantuan diberikan secara tunai kepada penerima yang layak mengikut kriteria yang telah diumumkan oleh kerajaan. 

Skim bantuan secara bersasar ini bermula dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ketika pentadbiran Najib Razak. Seterusnya pertukaran pentadbiran menggunakan pelbagai nama dengan kaedah bantuan yang lebih bersasar dan merangkumi pelbagai kategori.





BR1M

Bantuan ini dimulakan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 7 Oktober 2011. Pada mulanya ia hanya bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa ditambah baik, justeru nilai bantuan ditambah menjadi RM1,000 dalam Bajet 2016.


BSH

Pada 2018, BR1M kemudian ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Menerusi BSH, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah menerima bantuan berjumlah RM1,000. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah menerima bantuan berjumlah RM750. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 menerima bantuan berjumlah RM500.


BPR

November 2020, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan BSH akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat. Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dengan seorang anak menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih menerima RM1,800. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501-RM4,000 dan mempunyai seorang anak menerima bantuan RM800 manakala isi rumah yang mempunyai 2 orang anak atau lebih menerima RM1,200.

Sementara itu, isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001-RM5,000 dan seorang anak menerima RM500 manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih, RM750.


BKM

Pada tahun 2022, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah menggantikan insentif kewangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun sebelum ini. Bagi mereka yang telah menerima Bantuan BPR tidak perlu membuat sebarang permohonan baru kerana hanya perlu kemas kini dan membuat semakan jika ada sebarang perubahan maklumat. Menerusi pembayaran itu, setiap penerima menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing dengan bayaran secara berperingkat.

Pengagihan bantuan dibuat lebih menyeluruh seperti warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing menerima RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan. Bantuan sebanyak RM3,000 bayaran maksimum turut diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak iaitu kenaikan RM500 berbanding RM2,500 sebelum ini.






Selain daripada skim bantuan BSH yang popular, terdapat skim bantuan lain yang ditawarkan iaitu MySalam, rebat elektrik, myRAPID, Bantuan Awal Persekolahan, i-SURI, i-SINAR dan Skim Peduli Kesihatan untuk B40 [4].



Kesimpulan

Etnik di Malaysia terdiri daripada Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak. Keanekaragaman ini sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sejarah seperti perdagangan antarabangsa, penjajahan British dan kedudukan strategik Malaysia sebagai pusat perdagangan global. Walaupun kepelbagaian ini menjadi aset kepada negara, ia juga membawa cabaran dalam isu-isu integrasi sosial dan politik.

Bagi mengatasi jurang ekonomi, pendidikan dan kesihatan antara kumpulan etnik, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur masyarakat. Dasar ini telah memberikan impak positif seperti pengurangan kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar, peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti dan penciptaan platform baru berdasarkan kelas sosial (B40, M40, T40) bagi menggantikan pengelompokan berdasarkan kaum.

Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai skim bantuan kewangan seperti BR1M, BSH, BPR dan BKM untuk meringankan beban ekonomi rakyat. Skim-skim ini menunjukkan usaha kerajaan untuk menyediakan sokongan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengira etnik.

Secara keseluruhan, Malaysia berjaya mengurus kepelbagaian etnik dengan harmoni melalui dasar-dasar yang inklusif dan berfokus kepada pembangunan manusia. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran seperti ketidakseimbangan sosioekonomi masih wujud dan memerlukan penyelesaian berterusan untuk memastikan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.


Rujukan

[1] https://sainsinsani.usim.edu.my/index.php/sainsinsani/article/view/174
[2] https://open.dosm.gov.my/ms-MY/dashboard/population
[3] https://hdr.undp.org/data-center/human-development-index#/indicies/HDI
[4] https://www.pmo.gov.my/governments-aid-for-the-people/