Monday, April 29, 2024
Penguasaan Amerika Syarikat sudah sampai ke penghujung
Dalam tempoh enam bulan yang terakhir, serangan balas antara Palestin dan Israel telah menyebabkan lebih 34,000 kematian jiwa. Di pihak Palestin, kematian kanak-kanak sahaja telah melepasi jumlah 14,000 korban. Kezaliman yang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas masyarakat Palestin dilihat hanya sebagai satu bentuk hiburan oleh kuasa-kuasa besar dunia. Amerika Syarikat berterusan menghalang semua resolusi yang berkaitan dengan Palestin khususnya yang terbaru iaitu pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas ahli penuh Palestin di badan dunia itu.
Dari sehari ke sehari sejak enam bulan lalu, kita nampak wujudnya kezaliman yang berleluasa yang dilakukan oleh negara Israel kepada masyarakat Palestin. Pembunuhan yang berterusan setiap hari dan boleh dikatakan lebih daripada seratus orang meninggal apabila tempat tinggal mereka dibedil tentera Israel. Tidak ada yang membela kematian ini malah negara-negara yang memihak kepada rejim Israel menyatakan kewajaran bagi negara itu untuk mempertahankan diri dengan membunuh lebih ramai orang.
Negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin seperti tidak peduli untung nasib setiap kanak-kanak dan wanita Palestin. Mereka masih lagi teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak yang kesakitan, wanita yang kelaparan dan orang tua yang kehilangan harta benda. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di timur tengah ini, apa yang kita boleh fikirkan tentang keadaan yang sedang berlaku?
Pertamanya ialah kita melihat konflik ini bergerak daripada serangan yang kecil telah bertukar menjadi peperangan yang besar, malah yang melibatkan pertempuran antara negara negara. Penglibatan Lubnan, Iran, Yemen dan Syria menjadikan rantau itu tidak selamat untuk didiami. Serangan demi serangan antara negara yang berkonflik ini menyebabkan kehidupan tidak lagi aman dan tenteram, malah mencetuskan permusuhan yang berpanjangan.
Kedua, peruntukan pertahanan yang diberikan Amerika Syarikat berjumlah 26 bilion dolar menjadikan Israel lebih berkuasa untuk menyerang masyarakat Palestin dan negara-negara sekitar. Sudah tentu rejim ini akan mengukuhkan pertahanan keselamatan negara dan pada masa yang sama menyerang negara lain sebaga langkah pertahanan diri. Belum ada negara yang berani menyerang Israel secara berterusan walaupun sebelum ini Iran melancarkan serangan balas.
Ketiga, Israel tidak lagi menjadi sebuah negara yang selamat kerana diserang dari utara, barat dan selatan. Dari kawasan Gaza, pasukan Hamas akan terus menjadi bayang-bayang hitam yang berupaya merencatkan apa juga pembangunann yang dirancang oleh rejim Israel. Kepimpinan Israel perlu membayar harga yang lebih mahal untuk mendapat sedikit rasa aman daripada bahaya.
Keempat, dominasi Amerika Syarikat dalam perdagangan antarabangsa sedang dilemahkan oleh kelompok negara yang menggelarkan diri mereka sebagai BRICS iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Kelompok ini membina kekuatan mereka dengan menolak penggunaan mata wang dolar sebagai instrumen perdagangan sebaliknya mengunakan mata wang negara masing-masing.
Ya, kumpulan ini telah pun memulakan langkah menolak penggunaan dolar Amerika dalam urusan pembelian dan jual beli barang dagangan mereka. Seterusnya mereka telah menetapkan bahawa dalam satu tempoh tertentu tidak ada lagi penggunaan dolar Amerika dalam urusan perniagaan.
Begitu juga dengan negara-negara lain yang sedang melihat perkembangan ini. Terdapat negara yang ingin mengikut langkah anggota BRICS menggunakan mata wang tempatan sebagai menggantikan dolar Amerika. Di ASEAN, usaha telah pun dimulai dan dipergiatkan untuk menggunakan mata wang negara masing-masing setelah dipersetujui sebagai sebahagian daripada mekanisme untuk meningkatkan nilai mata wang negara. Ia juga memastikan barangan dijual beli dengan harga yang berpatutan.
Penggunaan dolar Amerika telah membebankan banyak negara kerana nilainya yang tinggi dan terpaksa menggunakan jumlah wang mata wang yang banyak untuk ditukarkan kepada nilai dolar.
Kembali kepada isu ketika ini, hasrat Amerika Syarikat yang membantu rejim Israel membantai dan juga membunuh rakyat Palestin di Gaza pada hari ini melalui senjata yang dibekalkan dan memveto setiap usaha gencatan senjata akan terhenti suatu hari nanti.
Kebangkitan masyarakat dunia yang jelek dengan sikap pemimpin Amerika Syarikat sedikit demi sedikit sudah dirasai. Begitu juga kebangkitan golongan pelajar yang mahukan perdamaian telah memberi kesedaran secara besar-besaran kepada ramai orang. Cuma masa yang akan menentukan bilakah Amerika Syarikat dan Israel akan tersungkur.
Negara ataupun masyarakat yang zalim ini tidak akan kekal lama. Di dalam al-quran telah disebutkan tentang kezaliman penguasa yang berakhir dengan tragedi. Akan sampai masanya, mereka ini akan berhadapan dengan tentangan yang akan merosakkan dan memusnahkan kehidupan mereka serta mereka akan lenyap secara tanpa ada kekuatan.
No comments:
Post a Comment