Thursday, May 15, 2025

Di mana suara Melayu-Islam dalam politik Singapura?

Hari ini saya dapat berbual-bual sekejap dengan seorang warga singapura yang sedang bersarapan pagi di meja bulat tingkat empat sebuah hotel di Kuala Terengganu. Beliau bersama rakannya dari johor.

Perbualan bermula apabila saya menegur mereka untuk minta izin duduk di kerusi-kerusi kosong di hadapan mereka. Apabila dinyatakan tidak ada yang duduk di situ, saya pun duduk betul-betul di hadapan mereka lalu memulakan perbualan dengan pertanyaan datang dari mana.

Lelaki pertama menyatakan dia dari Johor dan memperkenalkan rakannya dari Singapura.

“Oh… jauh juga. Yalah esok cuti”, saya cuba membina hubungan dengan mereka.

Berapa ketika kami menikmati makanan masing-masing. Saya juga memikirkan topik yang sesuai untuk dibincangkan.

Lalu saya pilih topik pilihan raya di Singapura. Negara itu baru sahaja selesai pilihan raya umum yang dilaksanakan dan keputusannya tidak jauh berbeza dengan pilihan raya yang lepas-lepas.

“Pilihan raya di Singapura baru selesai, petir menang lagikah?” Saya memulakan topik walaupun saya tahu PAP dapat mengekalkan kuasa.

Warga Singapura tadi menjawab, “Ya masih”. Selanjutnya dia menambah, Ttak akan kalah sampai kiamat” sambil bibirnya meleret senyuman.

Dalam maklumbalasnya dia menyatakan kempen pilihan raya kali ini sangat hebat dan petir mahukan kuasanya terus dominan.

Paling penting adalah pemimpin parti yang berkuasa mesti menang di kawasannya. Dari segi belanja kempen, banyak wang digunakan untuk mempengaruhi pengundi melalui pelbagai saluran aktiviti termasuk di media sosial.

Lalu saya bertanya bagaimana dengan ahli parlimen berbangsa Melayu, adakah kali ini mereka bangkit dan dapat memenangi hati pengundi?

Dia menjawab, “Ada seorang dua… itu pun untuk jadi wayang saja”. Saya pun tidak pasti apakah yang dimaksudkan wayang. Biasanya wayang ini menggambarkan dua imej yang berbeza. Di depan nampak cantik tetapi di belakangnya jauh beza.

Tidak lama selepas itu datang berapa orang wanita berusia yang telah selesai bersarapan pagi menuju ke arah pintu keluar. Kedua-dua lelaki tadi pun minta izin untuk keluar sekali.

Saya agak bertuah kerana dapat bertanya beberapa perkara tentang pilihan raya di Singapura. Sebelum ini saya hanya mengikuti perkembangan pilihan raya di Facebook dan Tiktok serta beberapa akhbar dalam talian yang memberi liputan meluas tentang kempen pilihan raya di negara itu.

Di Facebook, saya mengikuti tulisan Ustaz Noor Derus yang turut aktif memberikan pandangannya tentang calon-calon Melayu Islam dan kepentingannya kepada Singapura. Sebab itulah di media massa perdana di negara itu, perdana menteri Singapura membangkitkan isu pengaruh dari luar Singapura yang mahukan pengundi Melayu Islam tidak terikut dengan hasutan dan idea tersebut.

Kuasa politik Melayu Islam semakin penting dalam tempoh 25 tahun akan datang. Jumlah populasi mereka akan bertambah kepada 20 peratus kerana kadar kelahiran yang masih tinggi ketika populasi kaum Cina semakin menurun.

Pertumbuhan penduduk Islam bermakna pengaruh mereka dalam pembentukan dasar negara itu akan turut dipengaruhi oleh suara mereka walaupun jumlahnya tidak besar.

Isu-isu yang dulunya tidak diberi perhatian kini tidak boleh dipandang sebelah mata khususnya berkaitan amalan agama Islam dan cara hidup.

Masyarakat Islam di Singapura telah pun mengalami budaya hidup yang jauh berbeza daripada masyarakat Islam di negara-negara jiran. Mereka memiliki nilai-nilai yang dipengaruhi oleh persekitaran yang menjadikan hidup mereka lebih berdaya tahan. Ada kalanya sifat ini menjadikan mereka rasa lebih superior, terkehadapan dan hebat berbanding masyarakat Islam lain.

Mereka bersama-sama membina kekuatan ekonomi dan pendidikan SIngapura sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dua faktor ini menjadikan masyarakat Islam di negara itu turut menikmati limpahan kemakmuran hidup mengikut standard dunia seperti pendapatan yang tinggi, pendidikan yang komprehensif dan jangka hayat lebih panjang.

Kemajuan Singapura juga telah menarik ramai warganegara Malaysia dan Indonesia bekerja dalam pelbagai bidang sokongan. Setiap hari ratusan ribu pekerja memenuhi Tambak Johor untuk mencari dolar yang nilainya tiga kali ganda lebiih tinggi berbanding ringgit.

Selepas 60 tahun merdeka, puncak pembangunan Singapura dilihat berada pada titik paling atas. Kita tidak dapat menjangkakan berapa lama ia akan bertahan kerana suasana geopolitik sangat cepat berubah ketika ini. Perdagangan dan perluasan sempadan seakan-akan mengulangi sejarah perkembangan empayar dahulukala seperti yang berlaku ke atas beberapa buah empayar di nusantara.

Selepas mengalami kemuncak kehebatan, empayar-empayar ini merosot sedikit demi sedikit. Ada yang beralih pusat pentadbiran, ada yang dimusnahkan kerana gempa dan gunung berapi dan ada yang hilang terus kerana dikuasai oleh musuh yang lebih gagah.

Namun, geopolitik di era moden mungkin lebih matang. Kefahaman kita terhadap hidup dalam masyarakat yang pelbagai dapat memberi perspektif yang lebih luas tentang keperluan memenuhi hak asasi beragama dan kehidupan. Masyarakat Islam di Singapura juga sedang menghadapi cabaran yang sama dan mereka juga, mahu ataupun tidak mahu harus melihat masa hadapan dengan lebih optimis dengan mengharapkan lebih banyak perubahan akan berlaku.

No comments:

Post a Comment