Thursday, May 29, 2025

Cabaran pendidikan semakin kompleks

Tindakan seorang guru yang meminta murid perempuan sekolah rendah mengaku perbuatan yang tidak dilakukannya telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk kementerian yang bertanggungjawab dalam pendidikan negara.

Terdapat dua pihak yang berpandangan berbeza apabila menghuraikan kejadian ini iaitu, satu pihak yang menyokong tindakan guru dan pihak satu lagi yang berpandangan tindakan guru tersebut telah melepasi ‘garis merah’ dalam mengurus tingkah laku murid.

Di ruang komentar media sosial, kedua-dua pihak ini saling memberi justifikasi masing-masing untuk membenarkan pandangan mereka.

Di pihak yang menyokong tindakan guru, hujah mereka adalah tidak ada sebarang tindakan ganas yang menyebabkan murid hilang atau rosak anggota badan seperti patah tulang, calar atau mata menjadi buta. Mereka juga menyifatkan murid hari ini memiliki mental yang sangat rapuh sehingga tidak mampu menahan tekanan. Malahan mereka mengaitkannya dengan tindakan susulan oleh ibu bapa yang mahukan anak-anak lebih berdisiplin apabila pulang ke rumah. Alasannya ibu bapa menyerahkan anak-anak untuk diajar supaya berdisiplin dan bijak oleh guru.

Manakala pihak yang tidak senang dengan tindakan guru telah mengaitkannya dengan kesan psikologi yang ditanggung murid sepanjang masa. Ia bakal mengganggu perkembangan sosial seperti murid enggan ke sekolah, tidak mahu belajar mata pelajaran tertentu dan muncul rasa tidak yakin pada diri. Ia juga mengganggu emosi murid kerana diaibkan di hadapan orang ramai.

Profesion guru tidak meletakkan mengajar sebagai satu-satunya tugas yang perlu dilaksanakan sebaliknya ia hadir bersama tanggungjawab membina kerektor murid. Walaupun seorang guru mengajar mata pelajaran matematik, peranan guru bukan hanya datang ke kelas untuk mengajar silibus matematik sehingga pelajar faham sebaliknya melalui pengajaran itulah murid mendapatkan nilai-nilai ketekunan, mendengar cakap, keinginan untuk berjaya dan bersedia dengan cabaran hidup.

Melalui aktiviti di luar bilik darjah, murid dapat mempraktikkan nilai-nilai tadi dalam hidup mereka. Galakan yang diberi ketika di sekolah rendah dapat menumbuhkan nilai-nilai positif yang lebih kuat dan berkekalan.

Memarahi murid umpama pegawai penyiasat untuk mendapatkan jawapan bukanlah kaedah terbaik bagi mendapatkan maklum balas. Terdapat pendekatan lain yang boleh menjadikan hati murid bertambah lembut dan menceritakan hal sebenar.

Etika profesionalisme guru harus diingatkan dari semasa ke semasa supaya para guru menyedari bahawa peranan mereka amat penting dan sangat bermakna kepada dunia pendidikan.

Cadangan mewajibkan guru menghadiri kursus-kursus psikologi dalam mengendalikan tingkah laku murid amat dialu-alukan supaya guru-guru dapat memahami kaedah mengawal diri, mengurus emosi dan pemikiran kritis supaya ekosistem pendidikan sentiasa ditambah baik.

Guru-guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran ini dapat menguruskan apa juga masalah dan isu dengan lancar, umpama 'menarik rambut dari tepung’ supaya murid, ibu bapa dan guru tidak berbalah. Ada kalanya kebijaksanaan ini boleh dibuat seorang diri sahaja dan ada kalanya bersama-sama orang lain.

Tidak dinafikan, cabaran-cabaran pengajaran semakin kompleks dan semakin mencabar. Menggunakan pendekatan lama dalam suasana yang berubah dan baharu akan menghasilkan impak yang sangat minimum.

Jadi, pendidik wajar diberikan ilmu dan kemahiran baharu supaya dapat menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan suasana dan bentuk kehidupan yang berbeza.

Penyampaian kepada kaedah-kaedah ini boleh dilakukan oleh institusi secara dalaman dan Iuaran. Berikan kursus, adakan seminar dan bentukkan kumpulan fokus untuk menggesa perubahan. Melalui cara ini, kesedaran terhadap kelebihan teknik-teknik terkini dapat ditimbulkan, seterusnya diguna pakai dalam dunia pendidikan.

No comments:

Post a Comment