Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi yang amat mendalam dan bermakna ketika mengulas insiden seorang peniaga minuman dalam satu ceramah yang telah dipermalukan di khalayak. Perkataan yang diucapkan oleh seorang penceramah kepada peniaga tersebut disifatkan tidak wajar biarpun disambut ketawa terbahak-bahak oleh seorang rakan di sisinya. Ramai penonton yang menyaksikan peristiwa ini. Ada yang mengikut tertawa dan ada yang berwajah serius.
Antara ucapan Anwar adalah, “Ini satu contoh bahawa keangkuhan dan kesombongan bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama, tetapi juga mereka yang memahami agama, bercakap tentang Islam, akidah, dan solat, tetapi kadangkala masih boleh menghina”.
Maruah seseorang ada nilainya sama ada ketika masih hidup mahupun sudah meninggal dunia. Maruah adalah lambang kehormatan yang menentukan kewibawaan, kemuliaan dan penerimaan orang lain terhadap diri sendiri. Dalam bahasa yang mudah, maruah disebut harga diri iaitu sejumlah nilai yang wujud dalam diri yang dipersepsikan sebagai satu bentuk pandangan yang patut diterima dengan rela hati oleh orang lain.
Harga diri yang tinggi sudah tentu akan mendapat penghormatan manakala harga diri yang rendah, ia lebih cenderung dipandang hina, malah mungkin tidak dihiraukan.
Maruah atau harga diri wajar selalu dinilai supaya kita tahu di mana dan bagaimana keadaan diri kita. Penilaian ini mungkin berbeza-beza pada setiap orang namun Dr Azahari Ismail, pensyarah saya di universiti memberikan tujuh dimensi maruah diri. Ia merangkumi ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika.
Ekonomi
Ia merujuk kepada jumlah pendapatan yang kita boleh dapat daripada pekerjaan sama ada bekerja sendiri, sambilan atau makan gaji. Andainya kita baharu bekerja sebagai pegawai, gaji asas dan elaun tidak sebanyak mana tetapi agak selesa. Selain itu, jumlah perbelanjaan yang digunakan semasa tempoh belajar juga boleh menentukan maruah diri kerana semakin tinggi aras pendidikan, perbelanjaan juga semakin meningkat biarpun mendapat bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa atau dermasiswa.
Satu lagi adalah keringat yang dikeluarkan untuk membuat kerja-kerja sambilan bagi menambah pendapatan. Semakin rajin bekerja, In shaa Allah pendapatan turut meningkat dan sifat-sifat insaniah juga berkembang dengan lebih cepat, justeru dapat membuka watak diri yang lebih matang dan berpandangan jauh.
Kita mesti berusaha meningkatkan pendapatan dan menambah baik status ekonomi supaya dapat membeli dan berbelanja bagi memudahkan urusan harian, membantu keluarga dan saudara mara, bersedekah, beramah mesra dengan masyarakat demi membina kesenangan hidup masa hadapan.
Politik
Maksud politik di sini adalah kebebasan diri untuk membuat pilihan dan kita bersetuju dengan pilihan tersebut supaya hidup sejahtera. Bagi mencapai maruah politik, kita sendiri wajar mempunyai prinsip hidup dan idea sendiri yang dapat mempengaruhi orang lain. Tidak kiralah di rumah, tempat kerja atau persatuan. Keazaman untuk membuat perubahan ini harus bermula dari dalam diri sendiri, diketengahkan kepada orang sekeliling dan digerakkan sehingga mendapat sokongan ramai.
Memiliki maruah politik bermakna kita mempunyai pandangan sendiri yang boleh mempengaruhi orang lain ke arah memenuhi kemahuan diri. Di sini, lahirlah kata-kata semangat untuk berpolitik iaitu ‘play the game, follow the rules; win the game, change the rules”. Jika tidak menjadi pempegaruh yang hebat pun, sekurang-kurangnya keluarga dan rakan taulan mengetahui bahawa kita ada pandangan sendiri.
Sosial
Bahagia atau kecewa dalam hidup ditentukan oleh bagaimana berinteraksi dengan orang lain. Penerimaan orang lain terhadap kita boleh menjadi ukuran kepada tinggi atau rendah maruah diri. Interaksi dengan pelbagai jenis orang, status sosial atau rencam budaya boleh meluaskan jaringan sosial melangkaui sempadan bangsa, agama atau budaya.
Jika sebagai orang biasa, jaringan sosial yang sesuai dan memadai adalah dimuliakan rakan-rakan sekerja, kawasan tempat tinggal ataupun kariah masjid. Jika ada jawatan di peringkat daerah atau bahagian, pertemuan dengan berbilang-bilang orang dalam suasana mesra adalah satu lambang yang kita memiliki maruah sosial yang tinggi. Kebahagiaan ini tidak harus bertukar serta-merta kepada kekecewaan walaupun kadang kala interaksi sosial ini tidaklah seperti yang diharapkan. Biasalah kerana ‘langit tidak selalu cerah’ malah ‘poket tidak selalu kering’.
Psikologi
Minda yang cergas, ceria dan pintar adalah imbasan daripada jiwa yang tenang dan damai, dua perkara ini orang sangat mencari, ada yang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan ketenangan dan merasai kedamaian hidup. Banyak orang berhabis wang kerana mencari kawasan hutan, gunung, pantai atau ke mana sahaja yang dapat membuatkan mereka dapat berehat sebentar menjauhi kata-kata toksik dan merupakan seketika muka-muka yang meresahkan. Memiliki maruah bermakna memiliki minda yang dapat menjadi penentu kepada jiwa yang bahagia dengan kehidupan. Pengayaan minda boleh ditambah dengan membaca buku, menulis pandangan dan berkongsi pelbagai isu untuk menyelesaikan masalah.
Agama
Dalam Islam, solat lima waktu sehari semalam adalah satu kewajipan. Di dalam tafsir disebutkan ‘Allah Maha Besar’ iaitu manifestasi yang menyatakan ada Tuhan yang mesti diingat. Manifestasi ini dibawa ke dalam kehidupan sejak bangun dari tidur hingga kembali tidur pada sebelah malamnya. Kendurlah sedikit keinginan untuk ponteng kerja, membazir masa atau tidak bersungguh-sungguh di tempat kerja. Sebabnya dalam fikiran kita terbayang Allah SWT akan menilai setiap kerja yang dibuat. Malangnya bagi orang yang lupa dan lalai dengan slogan ‘Allah Maha Besar’ ini, mereka menggunakan slogan ‘Member Akhbar’ iaitu kebergantungan kepada kawan-kawan. Sifat bergantung inilah yang menjadikan maruah diri boleh dijual beli. Jika rakan-rakan membantu, kepada merekalah diberi kesetiaan dan harapan. Biarlah setiap masa dan keadaan kita menjaga maruah diri dengan tetap berterusan mengingati ‘Allah Maha Besar’ kerana Tuhan tidak pernah bercuti untuk mendengar doa dan memberi penyelesaian.
Budaya
Setiap bangsa berkembang dan kuat dengan tradisi dan budaya yang diamalkan. Adab dibentuk melalui amalan budaya yang diwarisi dari satu generasi ke generasi sehingga ia menjadi sempurna. Maruah diri yang dipandang mulia diiringi dengan adab diri yang tinggi juga. Adab juga dibentuk oleh peraturan-peraturan dalam beragama yang digaul sekali dengan tradisi supaya akan wujud satu budaya yang kuat dan unik. Contohnya, orang yang mempunyai maruah diri meletakkan adab mengatasi ilmu kerana adab adalah cermin kepada citra diri. Adab menjadikan seseorang lebih banyak ilmu dapat diperoleh tetapi ilmu yang tinggi belum tentu dapat membuahkan adab yang mulia. Biasa sahaja kita mendengar orang mengatakan ‘ilmu tinggi tetapi tidak ada adab’.
Estetika
Maksudnya ialah keindahan, kecantikan atau keelokan fizikal iaitu tubuh badan kita. Setiap anggota badan dari hujung rambut ke hujung jari kaki adalah ciptaan yang sangat sempurna. Setiap satunya harus digunakan secara berkesan supaya maruah diri berada pada tahap tertinggi. Amat malanglah bagi seseorang anak muda yang mencederakan paru-parunya dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan diri, begitu juga anak muda yang yang merasa bangga selepas menyedut bahan-bahan terlarang masuk ke dalam badannya. Maruah diri adalah bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pertanyaan yang perlu disoal kepada diri sendiri supaya kita sentiasa menjaga maruah diri adalah, pertama, sepuluh sebab orang lain perlu kenal diri kita; kedua, sepuluh sebab kenapa kita perlu berada di sini; dan, ketiga, sepuluh sebab kenapa orang lain mesti ikut kita.
Oleh kerana itulah apabila ada penilaian negatif ataupun penghinaan ke atas diri kita, kita mesti segera menilai diri dengan menambah baik aspek-aspek yang masih berkurangan supaya orang tahu kita ada harga diri dan harus dimuliakan.
Sebagai kesimpulan, maruah diri adalah aset berharga yang mencerminkan keperibadian, kewibawaan dan kehormatan diri kita. Ia merangkumi pelbagai dimensi seperti ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika yang semuanya saling berkait rapat dalam menentukan kedudukan kita di mata masyarakat dan di sisi Tuhan. Oleh itu, kita perlu sentiasa menilai dan memperbaiki diri, menjaga tingkah laku dan berpegang teguh kepada prinsip hidup yang mulia. Dengan menjaga maruah diri, kita bukan sahaja dihormati oleh orang lain tetapi juga mampu menjalani kehidupan dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan.
Rujukan
https://sarangburung.net/ini-respon-pmx-selepas-tular-video-pendakwah-gelar-penjual-air-sebagai-bodoh/