Monday, January 06, 2025

Maruah diri: Antara harga diri, adab dan penghormatan


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi yang amat mendalam dan bermakna ketika mengulas insiden seorang peniaga minuman dalam satu ceramah yang telah dipermalukan di khalayak. Perkataan yang diucapkan oleh seorang penceramah kepada peniaga tersebut disifatkan tidak wajar biarpun disambut ketawa terbahak-bahak oleh seorang rakan di sisinya. Ramai penonton yang menyaksikan peristiwa ini. Ada yang mengikut tertawa dan ada yang berwajah serius.

Antara ucapan Anwar adalah, “Ini satu contoh bahawa keangkuhan dan kesombongan bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama, tetapi juga mereka yang memahami agama, bercakap tentang Islam, akidah, dan solat, tetapi kadangkala masih boleh menghina”.

Maruah seseorang ada nilainya sama ada ketika masih hidup mahupun sudah meninggal dunia. Maruah adalah lambang kehormatan yang menentukan kewibawaan, kemuliaan dan penerimaan orang lain terhadap diri sendiri. Dalam bahasa yang mudah, maruah disebut harga diri iaitu sejumlah nilai yang wujud dalam diri yang dipersepsikan sebagai satu bentuk pandangan yang patut diterima dengan rela hati oleh orang lain.

Harga diri yang tinggi sudah tentu akan mendapat penghormatan manakala harga diri yang rendah, ia lebih cenderung dipandang hina, malah mungkin tidak dihiraukan.

Maruah atau harga diri wajar selalu dinilai supaya kita tahu di mana dan bagaimana keadaan diri kita. Penilaian ini mungkin berbeza-beza pada setiap orang namun Dr Azahari Ismail, pensyarah saya di universiti memberikan tujuh dimensi maruah diri. Ia merangkumi ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika.

Ekonomi

Ia merujuk kepada jumlah pendapatan yang kita boleh dapat daripada pekerjaan sama ada bekerja sendiri, sambilan atau makan gaji. Andainya kita baharu bekerja sebagai pegawai, gaji asas dan elaun tidak sebanyak mana tetapi agak selesa. Selain itu, jumlah perbelanjaan yang digunakan semasa tempoh belajar juga boleh menentukan maruah diri kerana semakin tinggi aras pendidikan, perbelanjaan juga semakin meningkat biarpun mendapat bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa atau dermasiswa.

Satu lagi adalah keringat yang dikeluarkan untuk membuat kerja-kerja sambilan bagi menambah pendapatan. Semakin rajin bekerja, In shaa Allah pendapatan turut meningkat dan sifat-sifat insaniah juga berkembang dengan lebih cepat, justeru dapat membuka watak diri yang lebih matang dan berpandangan jauh.

Kita mesti berusaha meningkatkan pendapatan dan menambah baik status ekonomi supaya dapat membeli dan berbelanja bagi memudahkan urusan harian, membantu keluarga dan saudara mara, bersedekah, beramah mesra dengan masyarakat demi membina kesenangan hidup masa hadapan.

Politik

Maksud politik di sini adalah kebebasan diri untuk membuat pilihan dan kita bersetuju dengan pilihan tersebut supaya hidup sejahtera. Bagi mencapai maruah politik, kita sendiri wajar mempunyai prinsip hidup dan idea sendiri yang dapat mempengaruhi orang lain. Tidak kiralah di rumah, tempat kerja atau persatuan. Keazaman untuk membuat perubahan ini harus bermula dari dalam diri sendiri, diketengahkan kepada orang sekeliling dan digerakkan sehingga mendapat sokongan ramai.

Memiliki maruah politik bermakna kita mempunyai pandangan sendiri yang boleh mempengaruhi orang lain ke arah memenuhi kemahuan diri. Di sini, lahirlah kata-kata semangat untuk berpolitik iaitu ‘play the game, follow the rules; win the game, change the rules”. Jika tidak menjadi pempegaruh yang hebat pun, sekurang-kurangnya keluarga dan rakan taulan mengetahui bahawa kita ada pandangan sendiri.

Sosial

Bahagia atau kecewa dalam hidup ditentukan oleh bagaimana berinteraksi dengan orang lain. Penerimaan orang lain terhadap kita boleh menjadi ukuran kepada tinggi atau rendah maruah diri. Interaksi dengan pelbagai jenis orang, status sosial atau rencam budaya boleh meluaskan jaringan sosial melangkaui sempadan bangsa, agama atau budaya.

Jika sebagai orang biasa, jaringan sosial yang sesuai dan memadai adalah dimuliakan rakan-rakan sekerja, kawasan tempat tinggal ataupun kariah masjid. Jika ada jawatan di peringkat daerah atau bahagian, pertemuan dengan berbilang-bilang orang dalam suasana mesra adalah satu lambang yang kita memiliki maruah sosial yang tinggi. Kebahagiaan ini tidak harus bertukar serta-merta kepada kekecewaan walaupun kadang kala interaksi sosial ini tidaklah seperti yang diharapkan. Biasalah kerana ‘langit tidak selalu cerah’ malah ‘poket tidak selalu kering’.

Psikologi

Minda yang cergas, ceria dan pintar adalah imbasan daripada jiwa yang tenang dan damai, dua perkara ini orang sangat mencari, ada yang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan ketenangan dan merasai kedamaian hidup. Banyak orang berhabis wang kerana mencari kawasan hutan, gunung, pantai atau ke mana sahaja yang dapat membuatkan mereka dapat berehat sebentar menjauhi kata-kata toksik dan merupakan seketika muka-muka yang meresahkan. Memiliki maruah bermakna memiliki minda yang dapat menjadi penentu kepada jiwa yang bahagia dengan kehidupan. Pengayaan minda boleh ditambah dengan membaca buku, menulis pandangan dan berkongsi pelbagai isu untuk menyelesaikan masalah.

Agama

Dalam Islam, solat lima waktu sehari semalam adalah satu kewajipan. Di dalam tafsir disebutkan ‘Allah Maha Besar’ iaitu manifestasi yang menyatakan ada Tuhan yang mesti diingat. Manifestasi ini dibawa ke dalam kehidupan sejak bangun dari tidur hingga kembali tidur pada sebelah malamnya. Kendurlah sedikit keinginan untuk ponteng kerja, membazir masa atau tidak bersungguh-sungguh di tempat kerja. Sebabnya dalam fikiran kita terbayang Allah SWT akan menilai setiap kerja yang dibuat. Malangnya bagi orang yang lupa dan lalai dengan slogan ‘Allah Maha Besar’ ini, mereka menggunakan slogan ‘Member Akhbar’ iaitu kebergantungan kepada kawan-kawan. Sifat bergantung inilah yang menjadikan maruah diri boleh dijual beli. Jika rakan-rakan membantu, kepada merekalah diberi kesetiaan dan harapan. Biarlah setiap masa dan keadaan kita menjaga maruah diri dengan tetap berterusan mengingati ‘Allah Maha Besar’ kerana Tuhan tidak pernah bercuti untuk mendengar doa dan memberi penyelesaian.

Budaya

Setiap bangsa berkembang dan kuat dengan tradisi dan budaya yang diamalkan. Adab dibentuk melalui amalan budaya yang diwarisi dari satu generasi ke generasi sehingga ia menjadi sempurna. Maruah diri yang dipandang mulia diiringi dengan adab diri yang tinggi juga. Adab juga dibentuk oleh peraturan-peraturan dalam beragama yang digaul sekali dengan tradisi supaya akan wujud satu budaya yang kuat dan unik. Contohnya, orang yang mempunyai maruah diri meletakkan adab mengatasi ilmu kerana adab adalah cermin kepada citra diri. Adab menjadikan seseorang lebih banyak ilmu dapat diperoleh tetapi ilmu yang tinggi belum tentu dapat membuahkan adab yang mulia. Biasa sahaja kita mendengar orang mengatakan ‘ilmu tinggi tetapi tidak ada adab’.


Estetika

Maksudnya ialah keindahan, kecantikan atau keelokan fizikal iaitu tubuh badan kita. Setiap anggota badan dari hujung rambut ke hujung jari kaki adalah ciptaan yang sangat sempurna. Setiap satunya harus digunakan secara berkesan supaya maruah diri berada pada tahap tertinggi. Amat malanglah bagi seseorang anak muda yang mencederakan paru-parunya dengan aktiviti yang boleh merosakkan kesihatan diri, begitu juga anak muda yang yang merasa bangga selepas menyedut bahan-bahan terlarang masuk ke dalam badannya. Maruah diri adalah bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pertanyaan yang perlu disoal kepada diri sendiri supaya kita sentiasa menjaga maruah diri adalah, pertama, sepuluh sebab orang lain perlu kenal diri kita; kedua, sepuluh sebab kenapa kita perlu berada di sini; dan, ketiga, sepuluh sebab kenapa orang lain mesti ikut kita.

Oleh kerana itulah apabila ada penilaian negatif ataupun penghinaan ke atas diri kita, kita mesti segera menilai diri dengan menambah baik aspek-aspek yang masih berkurangan supaya orang tahu kita ada harga diri dan harus dimuliakan.

Sebagai kesimpulan, maruah diri adalah aset berharga yang mencerminkan keperibadian, kewibawaan dan kehormatan diri kita. Ia merangkumi pelbagai dimensi seperti ekonomi, politik, sosial, psikologi, agama, budaya dan estetika yang semuanya saling berkait rapat dalam menentukan kedudukan kita di mata masyarakat dan di sisi Tuhan. Oleh itu, kita perlu sentiasa menilai dan memperbaiki diri, menjaga tingkah laku dan berpegang teguh kepada prinsip hidup yang mulia. Dengan menjaga maruah diri, kita bukan sahaja dihormati oleh orang lain tetapi juga mampu menjalani kehidupan dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan.


Rujukan

https://sarangburung.net/ini-respon-pmx-selepas-tular-video-pendakwah-gelar-penjual-air-sebagai-bodoh/



Wednesday, January 01, 2025

Implikasi 'duta Tuhan' terhadap hubungan sosial di Malaysia


Selain daripada ‘Anak Tuhan’, ‘Tuhan Bapa’ dan ‘Roh Kudus’, konsep ‘duta Tuhan’ juga terdapat dalam agama Kristian. Isu ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang juga menteri Belia dan Sukan menyaman bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah membuka mata dan fikiran orang ramai terhadap peranan dan impak duta Tuhan ke atas rakyat Malaysia.

Idea duta Tuhan ini dilihat menjadi semangat dan dorongan kepada penganut agama Kristian yang mahu berkongsi kepercayaan mereka dengan penganut agama-agama lain seperti Islam, Hindu, Buddha, animisme, malah golongan ateis.

Dalam kes Hannah Yeoh, peranan duta Tuhan dilaksanakan melalui kepimpinan politik Malaysia iaitu jawatan yang disandang sama ada dalam parti sendiri ataupun kementerian. Beliau tidak lagi berselindung tentang niat dan hasratnya untuk menjadi duta Tuhan dan menyebarkan kepercayaannya kepada semua orang.

Melihat kepada semangat yang meluap-luap dalam diri Hannah Yeoh, sudah tentulah gerak kerja dan aktiviti penyebaran kepercayaan ini disokong dan dibantu oleh kumpulan yang berkemahiran dengan dana yang besar bagi mencapai tujuan yang tersurat dan tersirat.

Buat masa sekarang, orang awam hanya dapat memahami ulasan-ulasan berkenaan dengan kegagalan saman Hannah Yeoh melalui media sosial dan akhbar. Beberapa isu utama dalam ulasan tersebut dapat membakar emosi orang ramai khususnya penganut agama bukan Kristian kerana duta tuhan yang dimaksudkan bukan sekadar kepada penganut agama Kristian.

Berdasarkan petikan dari buku autobiografi Hannah Yeoh, Becoming Hannah: A Personal Journey, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi menjelaskan, “Dalam mempertimbangkan pembelaan justifikasi, Mahkamah mengambil kira bahawa kenyataan Defendan sebahagiannya berdasarkan penulisan dan analisis akademik SD-3/Dr Kamarul Zaman Yusoff. Bukti menunjukkan pengakuan oleh Hannah Yeoh bahawa beliau menyampaikan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, kembali sebagai “duta Tuhan”, ingin berdakwah melalui karier politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya kepada penganut Kristian. Pembelaan justifikasi tidak memerlukan setiap perkataan dibuktikan benar, tetapi kebenaran substansial terhadap imputasi sudah mencukupi. Pengakuan ini memberikan asas yang kukuh untuk kenyataan Musa”.

Jelas di sini, perkara yang menjadi perhatian ialah dakwaan terdapat penyebaran secara halus ajaran agama Kristian dalam konteks politik Malaysia, pernyataan sebagai duta Tuhan yang menggunakan kerjaya politik untuk menyebarkan agama dan sasaran buku tersebut yang dikatakan untuk menarik perhatian semua lapisan masyarakat, termasuk bukan penganut Kristian.

Malaysia tidak sama seperti negara-negara yang majoriti penganut Islam yang lain. Negara ini mempunyai struktur pengukuhan masyarakat Islam yang kuat, stabil dan terbuka kepada penambahbaikan ikatan sosial sejak beratus tahun. Struktur ini memperkukuh Kesultanan Melayu Melaka dan terus kekal ke hari ini dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaksudkan negan kontrak sosial.

Di Brunei, sistem Raja Melayu sangat ketara dan dijelmakan dalam kehidupan seharian masyarakat melalui falsafah melayu Islam Beraja. Falsafah ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan dan menjadi sebahagian daripada silibus pendidikan. Ia juga diterapkan dalam media massa dengan menjadikan muka laporan akhbar sebagai berita utama manakala Radio Televisyen Brunei melaporkan aktiviti ketua negara sebagai leporan utama. Program-program ke arah pengukuhan falsafah ini juga diberi liputan rasmi dan meluas. Manakala inti pati khutbah Jumaat disiarkan di media untuk ingatan bersama.

Sebaliknya di Indonesia, rakyat negara itu bersikap terbuka terhadap amalan beragama sehingga isu bertukar agama dan murtad diletakkan sebagai pilihan peribadi dan tidak dianggap jenayah khususnya bagi yang murtad. Lalu di dalam keluarga ada anak-anak yang berbeza agama, sambutan hari kebesaran agama juga berbeza malah penyediaan makanan dan minuman tidak dianggap menjadi masalah besar.

Justeru, apabila isu duta Tuhan dan rancangan penyebaran kristianisasi kepada masyarakat awam tanpa mengira agama di Malaysia, ia menjadi perhatian untuk perdebatan umum dan terbuka. Cuma ianya tidaklah memaksa orang awam untuk turun ke jalan raya membuat bantahan sebaliknya disuarakan melalui media sosial dengan cara berhemah dan berhati-hati.

Pemimpin-pemimpin agama juga sangat berhati-hati dalam memberi maklum balas dengan harapan isu ini dapat diselesaikan melalui perundangan.

Tahun 2024, Indeks Keamanan Global (GPI) meletakkan Malaysia tempat ke-10 dalam senarai negara yang paling aman di dunia. Tahun 2023 Malaysia berada di kedudukan ke-19. Perubahan kedudukan ini turut disumbangkan oleh kefahaman masyarakat berbilang kaum untuk menghormati antara satu sama lain dalam isu-isu yang boleh meluaskan jurang sosial.

Namun apabila isu duta Tuhan ini menjadi tumpuan, pihak berkuasa pula harus segera berperanan supaya isu ini tidak merebak dan melangkaui sempadan hubungan sosial masyarakat. Janganlah pula isu agama ini menjejaskan kedudukan Malaysia dalam senarai negara yang paling aman di dunia.

Bagi memahami lebih lanjut idea dan konsep duta Tuhan, ada baiknya kita membaca sedikit bagaimana konsep ini bermula dan kesannya kepada penganut Kristian yang berkobar-kobar berkongsi dengan orang lain.

Asal Usul Idea

Terdapat beberapa ayat penting yang menjadi asas kepada idea ini seperti 2 Korintus 5:20, "Kami ini adalah utusan Kristus, seolah-olah Allah menasihati kamu melalui kami; kami memohon kamu, dalam nama Kristus, supaya kamu berdamai dengan Allah", Matius 28:19-20, (Amanat Agung) "Pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku, dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus."

Idea ini bermula daripada misi jesus Kristus sendiri yang mengutus murid-murid-Nya untuk menyebarkan ajaran Injil, membawa pengampunan dosa dan mewujudkan hubungan antara manusia dengan Tuhan.

Konsep Duta Tuhan

Duta Tuhan dalam Kristian merangkumi beberapa aspek utama iaitu 1) Wakil Kristus: Seperti seorang duta mewakili negaranya, seorang Kristian bertindak sebagai perwakilan Kristus, menunjukkan nilai-nilai rohani dalam kehidupan harian, 2) Mesej Perdamaian: Menyampaikan pesan pengampunan dan perdamaian antara manusia dengan Tuhan, sesuai dengan ajaran Kristus, dan, 3) Transformasi Hidup: Menunjukkan kehidupan yang berubah sebagai saksi kuasa Tuhan melalui kasih, kesetiaan dan kebaikan.

Cara Pelaksanaan

Penganut Kristian melaksanakan peranan mereka sebagai duta Tuhan melalui:

1. Penginjilan

o Berkongsi ajaran Injil melalui perbincangan, seminar atau penerbitan bahan rohani.
o Contoh: Penerbitan Bible, program misi di kawasan terpencil dan media digital.

2. Teladan hidup

o Menjadi teladan melalui tingkah laku yang menunjukkan kasih, sabar dan pengampunan.
o Contoh: Menunjukkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan seperti membantu dalam kebajikan.

3. Kehidupan berdoa

o Berdoa untuk orang lain dan meminta petunjuk Tuhan dalam pelaksanaan tugas mereka.
o Contoh: Perjumpaan doa atau doa individu untuk kedamaian dan keselamatan dunia.

4. Amalan kasih

o Melakukan pekerjaan amal sebagai manifestasi kasih Tuhan.
o Contoh: Memberi bantuan kemanusiaan, menyediakan pendidikan untuk yang kurang berkemampuan.

5. Memelihara kesaksian

o Mengamalkan kejujuran, integriti dan kesetiaan dalam pekerjaan, keluarga dan hubungan sosial.

Konsep duta Tuhan dalam Kristian adalah inti kepada misi penginjilan dan kehidupan rohani penganutnya. Ia menuntut kepercayaan yang mendalam, hubungan yang kuat dengan Tuhan dan keinginan untuk membawa kasih-Nya kepada dunia. Peranan ini dihayati melalui tindakan, perkataan dan teladan hidup sehari-hari.

Kepentingan duta Tuhan dalam agama Kristian amat besar kerana ia merangkumi aspek rohani, sosial dan moral yang memainkan peranan penting dalam kehidupan individu, masyarakat dan misi agama. Berikut adalah perincian tentang kepentingannya.

1. Menyampaikan mesej Injil

Menghubungkan manusia dengan Tuhan: Duta Tuhan bertindak sebagai perantara yang membawa mesej kasih, pengampunan dan keselamatan daripada Tuhan kepada umat manusia.
Melaksanakan Amanat Agung: Peranan ini memenuhi arahan Yesus dalam Matius 28:19-20 untuk menyebarkan Injil kepada semua bangsa.

2. Membina komuniti yang harmoni

Memupuk kasih sayang dan pengampunan: Melalui teladan mereka, duta Tuhan membantu mengurangkan persengketaan dan mewujudkan suasana yang penuh kasih dan damai.
Mendorong nilai moral: Kehadiran mereka membantu menanamkan nilai-nilai seperti kejujuran, kebaikan dan tanggungjawab dalam masyarakat.

3. Menjadi saksi hidup

Kesaksian melalui kehidupan: Kehidupan duta Tuhan yang mencerminkan nilai-nilai Kristian memberi inspirasi kepada orang lain untuk mendekati Tuhan.
Mengukuhkan imej Kristian: Tindakan dan kata-kata mereka mencerminkan kasih dan rahmat Tuhan, menarik perhatian orang untuk mendalami ajaran Kristian.

4. Membawa perubahan positif

Peningkatan rohani individu: Dengan melaksanakan tugas mereka, duta Tuhan sendiri mengalami pertumbuhan iman dan hubungan yang lebih mendalam dengan Tuhan.
Perkhidmatan kepada masyarakat: Melalui kerja amal, pendidikan dan bantuan, mereka menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

5. Melestarikan ajaran Kristian

Menguatkan iman generasi akan datang: Melalui pengajaran dan teladan, mereka memastikan nilai-nilai Kristian diwarisi oleh generasi seterusnya.
Memperkenalkan ajaran Kristian ke kawasan baharu: Mereka berperanan penting dalam memperluaskan pengaruh ajaran Kristian ke tempat-tempat yang belum mengetahuinya.

6. Menjadi alat perdamaian

Perdamaian dengan Tuhan: Duta Tuhan membantu orang memahami bahawa mereka boleh berdamai dengan Tuhan melalui pengampunan dosa.
Perdamaian dalam masyarakat: Dengan menunjukkan teladan hidup yang harmoni, mereka menjadi pemangkin kepada perpaduan dan penyelesaian konflik dalam komuniti.


Seharusnya, ajaran agama lain selain daripada Islam dapat diamalkan dengan selamat namun melangkaui sempadan undang-undang negara yang tidak membenarkan penyebarannya kepada penganut Islam wajar diambil tindakan tanpa mengira siapa. Tindakan penyebaran ini melalui buku yang dapat dibeli dan dibaca oleh orang ramai boleh menjadi ancaman besar yang tidak disedari.

Selain perundangan, perbincangan mengenai inti pati dan hala tuju kandungan buku itu juga harus disegerakan secara ilmiah supaya lebih ramai yang sedar dan dapat membuat tindakan rasional. Perbincangan di media sosial tanpa mengetahui latar belakang penganalisis merupakan suatu tindakan yang meresahkan emosi yang dikhuatiri mengundang tindakan di luar kawalan.


Rujukan
 
Bernama. (15 Jun 2024). Malaysia tempat ke-10 negara paling aman di dunia.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1259139/malaysia-tempat-ke-10-negara-paling-aman-di-dunia

Ibrahim Shah Abu Shah. (25 Disember 2024). Kalah kes saman fitnah: Hannah Yeoh wajar letak jawatan. https://malaysiagazette.com/2024/12/25/kalah-kes-saman-fitnah-hannah-yeoh-wajar-letak-jawatan/#google_vignette

Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Kelantan. (26 Disember 2024). Hannah Yeoh Perlu Berundur: Isu Integriti dan Kredibiliti Kepimpinan. Facebook. https://www.facebook.com/paskelantanofficial/photos/ulasan-pas-kelantanhannah-yeoh-perlu-berundur-isu-integriti-dan-kredibiliti-kepi/1010584901098388/