Friday, October 07, 2022

Sangka baik sikap terpuji


Setiap hari kita dapat merasai persaingan hidup yang sangat mencabar dan berbekas dalam fikiran. Salah satu daripada sifat yang sewajar dan seharusnya menjadi perhiasan diri kita untuk mencipta kejayaan dalam hidup adalah berfikir positif. 

Sifat ini dapat diertikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan yang menimpa dirinya. 

Dalam bahasa Arab, fikir positif dikenali sebagai التفكير الإيجابي dan Rasulullah saw suka kepada orang yang berfikir positif atau bersangka baik. 

Riwayat Al-Imam Muslim, maksudnya, ‘Dari Syuib katanya, Rasulullah saw. bersabda: Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, ia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya’.

Thursday, October 06, 2022

Persaingan jadikan kita maju


Hidup dalam persaingan memang sukar. Sebaik sahaja anak kecil dilahirkan, ibu bapanya akan mula berhadapan dengan kerenah anak yang berbagai-bagai ragam. 

Pening kepala kerana tidak dapat memilih dengan sempurna pusat jagaan anak-anak yang paling berkualiti kerana banyak pusat jagaan anak-anak yang semakin baik. 

Banyak lagi contoh persaingan yang bermula sejak kita dilahirkan sehinggalah kita meninggal dunia. 

Di sekolah, tempat kerja mahupun kawasan kejiranan, semuanya ada elemen persaingan yang tidak dapat dielakkan kerana persaingan menjadikan kita lebih aktif, berwaspada dan maju.

Bagaimana hendak berhadapan dengan persaingan ini? 

Perkara utama adalah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, teknik dan strategi yang dapat membantu mengembangkan potensi diri. 

Contohnya, untuk memilih institusi pengajian tinggi yang hebat dan bersesuaian dengan bidang yang diminati, kita perlu melakukan kajian, melihat perbandingan dan mengkayakan maklumat. Pencarian maklumat ini perlukan kemahiran. 

Siapa yang cepat mencari ilmu, dialah yang akan menang.

Wednesday, October 05, 2022

Masa telah berlalu


Sebahagian besar daripada hidup kita, sama ada bekerja sebagai pelajar, anak remaja malah ibu bapa, banyak dihabiskan di luar rumah, sekolah, universiti, institusi latihan mahupun di pejabat. Ini bermakna kita mengheret diri kita ke tempat kerja, sekolah dan sebagainya dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. 

Kitaran hidup ini berulang sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun sehingga kita pencen. Ibu bapa melihat anak-anak membesar ketika perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. 

Kita yang bekerja di pejabat melihat perubahan pada raut wajah rakan-rakan sekerja. Jika dulu kulitnya gebu licin kini sudah tumbuh di celah-celah rambut yang hitam rambut putih. 

Masa telah berlalu pergi dan tidak dapat diputar kembali. 

Lalu kita bertanya tanya apakah amal ibadah yang kita lakukan sepanjang usia hingga kini? 

Apakah kita masih ada masa untuk menggencarkan amal yang lebih banyak ketika kekuatan tubuh badan semakin menurun dan penuaan semakin menebal?


Tuesday, October 04, 2022

Kualiti sinonim dengan kecemerlangan


Kualiti sangat akrab, intim dan rapat dengan kecemerlangan. Kualiti adalah satu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan itu tidak terhad dan boleh pula berubah ke satu tahap. Ia tidak statik tetapi dinamik dan bergerak sepanjang masa. 

Jadi, apabila sahaja kita mencapai kualiti, tentu kita akan mendapati ada kualiti yang lebih hebat mesti dikejar. Jika ada lagi kualiti yang baru dicapai di depan, ada lagi bahagian-bahagian yang boleh ditambah baik. 

Maknanya, usaha membina dan membentuk kualiti ini tidak akan habis-habis, tidak ada hadnya. 

Prinsip utama kualiti ialah apa sahaja yang kita buat pada hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam.

Monday, October 03, 2022

Gembira dan kecewa


Bagaimana anda pada hari ini? Seronok? Happy? Kecewa. Saya doakan anda dalam keadaan gembira. Kadang-kadang kita perhatikan orang yang kurang gembira di tempat kerja mereka juga jarang rasa gembira di rumah. 

Gembira dan kecewa adalah tabiat mental. Jika kita memiliki ciri-ciri periang, positif dan buat kerja apa pun di mana-mana sahaja, kita akan berasa gembira, seronok dan akan berasa puas hati. Kegembiraan inilah yang membawa tuah, rezeki dan kejayaan. 

Jadi, jika kita mahukan perubahan kejayaan, kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya, kita kena suntik unsur-unsur sukakan bekerja dan suka apa yang kita lakukan. 

Biarlah kita suka bekerja, suka belajar dan suka beri buah, fikiran, idea dan sebagainya. Melalui cara ini, tentulah masyarakat dan negara akan maju.


Sunday, October 02, 2022

Beza bekerja bersunguh-sungguh dan separuh hati


Beza di antara orang yang bekerja, belajar atau bermain bersungguh-sungguh dan malas boleh dikenal pasti dengan jelas. 

Disiplin ketika datang bekerja, kemahiran melengkapkan tugasan atau menghasilkan produk yang sangat baik adalah antara elemen yang boleh digunakan untuk membezakan orang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan orang yang bekerja hanya untuk gaji. 

Orang yang bekerja bersungguh-sungguh ini dapat merasai kenikmatan hasil bekerja keras seperti mendapat anugerah kecemerlangan, sentiasa merasa puas dan hormat diri sendiri. 

Orang yang malas buat kerja akan melakukan kerja dengan separuh hati, lebih suka bekerja kerana hendak dapatkan gaji. Setiap hari akan cuba memenuhi masa untuk melepak atau bersembang sehinggalah cukup bulan. 

Hari-hari bekerja adalah membosankan, justeru tidak ada perubahan, peningkatan ataupun pertambahan ilmu. 

Perbezaannya sangat banyak di antara mereka yang bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja dengan mereka yang bekerja hanyalah untuk tujuan tertentu sahaja. 

Keyakinan untuk bekerja ini akan menjadikan seseorang itu jauh ke hadapan ataupun tertinggal di belakang. Inilah perbezaan yang paling ketara apabila kita membuat penilaian ke atas kemajuan setiap pekerja dalam organisasi.

Saturday, October 01, 2022

Law of work


Kita sendiri yang menentukan tabiat yang baik, suka bekerja, mahu belajar dan sebagainya. Tidak ada orang yang boleh memaksa kita melakukannya. 

Ia sesuai dengan pepatah ‘love what we are doing’. Melalui minat, suka dan cintakan kerja, seseorang itu akan dapat memajukan dan melakukan kerja dengan lebih cekap, cemerlang, berkualiti dan pantas. 

Orang yang menikmati keseronokan bekerja ditunjukkan dengan tingkah laku yang terlalu berminat hendak belajar sehingga disuruh berhenti oleh ibu dan ayah, tidak menghiraukan makan dan minum atau tidur tidak mengira tempat. 

‘Law of Work’ memberi panduan yang boleh diikuti iaitu semakin tinggi tahap keseronokan kita bekerja atau belajar semakin tinggilah ganjaran kewangan yang boleh diterima. 

Semakin tidak seronok bekerja atau belajar, semakin kuranglah produktiviti yang diterima. Kejayaan dan kegagalan adalah pilihan yang kita ada dalam hidup. 

Sejauh mana usaha yang kita lakukan akan menentukan sejauh mana pula pencapaian yang akan diperoleh. 

Jadi, terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.