Tuesday, August 31, 2021
Monday, August 30, 2021
Sunday, August 29, 2021
Mengajar nilai sejak kecil
Nilai murni seperti menghormati ibu bapa, menjaga kebersihan diri dan harta awam perlu diterapkan dalam diri anak-anak remaja dan pelajar sekolah sejak awal lagi.
Sikap seperti ini perlu disemai sejak usia mereka tiga tahun iaitu ketika mula memahami perkataan supaya ia menjadi sebahagian daripada jati diri.
Nilai-nilai ini adalah seiring dengan kepentingan mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Pelajaran menjadi asas kepada kecemerlangan individu manakala nilai murni ini sebagai sokongan yang memungkinkan kemampuan untuk melahirkan generasi berkualiti.
Pelajaran adalah satu keajaiban dalam hidup kerana mengubah keadaan hidup dan persepsi kita terhadap kehidupan.
Ramai orang yang telah berubah kerana memiliki tahap pendidikan yang lebih baik, pada masa yang sama mengekalkan nilai-nilai murni.
Saturday, August 28, 2021
Kekuatan dan kelemahan diri
Mana satukah yang kita hendak fokuskan dalam membina kejayaan? Kekuatan diri atau kelemahan diri?
Nampaknya kedua-dua ini sama penting. Terdapat dua pendapat yang kontra.
Satu pendapat melihat fokus patut diberikan kepada kekuatan diri dan satu lagi kepada kelemahan diri.
Pada saya, kedua-duanya penting dan terpulang kepada kita untuk memilihnya. Jika kita memilih kekuatan diri, gunakan kelebihan itu untuk mengatasi kelemahan dan kekurangan diri.
Contohnya, kita mahir menulis dalam bahasa Inggeris tetapi tidak tahu sepatah pun bahasa Arab, sedangkan rakan-rakan kita ramai berbangsa Arab.
Kita boleh menguasai bahasa Arab melalui kekuatan diri iaitu berkomunikasi bahasa Arab melalui terjemahan ke bahasa Inggeris.
Jadi, gunakan pengetahuan, pengalaman dan jaringan sosial untuk menguasai bahasa Arab ataupun bahasa-bahasa lain.
Friday, August 27, 2021
Thursday, August 26, 2021
Bayangkan yang terbaik
Sehingga ke hari ini, kuasa berfikir otak kita melangkaui infiniti kerana pencapaian hebat kita dalam membina peradaban dan kemanusiaan.
Kehebatan otak berkait dengan keupayaan minda untuk membentuk gambaran yang belum wujud dalam realiti.
Kita boleh bayangkan apa sahaja yang kita mahu dan boleh menjadi pendorong kepada kejayaan.
Sebagai pelajar, kita boleh bayangkan kesungguhan belajar sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, sebagai suami, kita boleh bayangkan isteri dan anak-anak gembira dengan kehadiran kita di rumah, sebagai guru kita boleh bayangkan pelajar sangat sayang kepada kita.
Bayangkan yang terbaik untuk diri kita.
Wednesday, August 25, 2021
Kenali diri sendiri untuk berubah
Idea untuk mendapatkan maklumat tentang kejayaan dan perubahan minda hanya berada di hujung jari kita.
Ada laman sesawang, buku, ceramah motivasi dan model yang telah berjaya.
Maklumat-maklumat ini mesti dikaji dan dibincangkan supaya kita mendapat cara yang terbaik untuk melakukan perubahan.
Ada orang yang tergesa-gesa mengikut saranan-saranan yang dibacanya tanpa memikirkan keupayaan diri, akhirnya perubahan hidup yang hendak dibuat tidak tercapai.
Menyesal dan merana.
Cara yang lebih baik ialah memikirkan kaedah yang sesuai dengan potensi diri kita, buat secara beransur-ansur dan istiqamah. Kenali diri, kenali masa hadapan kita.
Tuesday, August 24, 2021
Formula 15 peratus
Kebanyakan orang yang bijak mengurus kewangan akan menyimpan 15 hingga 20 peratus jumlah pendapatan mereka.
Gaji, bonus, elaun atau pendapatan sampingan lain adalah punca-punca pendapatan yang boleh diuruskan dengan bijak.
Membuat pelaburan seperti menjadi rakan kongsi perniagaan, berzakat, infaq dan sedekah akan mengembangkan pendapatan.
Kita mungkin tidak mampu melabur dalam jumlah yang besar tetapi mesti juga diusahakan untuk mencari jalan bagi mengembangkan pendapatan supaya sumber pendapatan dipelbagaikan.
Kalau ada harta seperti tanah, emas, rumah atau bangunan yang boleh diniagakan, ia amat baik untuk pelaburan jangka panjang.
Monday, August 23, 2021
Bersusah-susah dahulu
Ahli perniagaan atau seorang usahawan mengamalkan prinsip ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’, pendekatan yang jauh berbeza dengan kebanyakan orang.
Konsep yang diamalkan oleh usahawan ini sebenarnya turut diamalkan orang ramai cuma pendekatannya yang berbeza. Orang yang bekerja makan gaji mengambil masa 10 hingga 20 tahun untuk membayar ansuran bulanan sebuah rumah.
Walaupun selepas habis membayar, rumah akan menjadi miliknya, terlalu banyak dugaan yang perlu dihadapi. Dia terpaksa bersabar untuk mengumpulkan bayaran bulanan.
Begitu juga mereka yang belajar sambil bekerja atau bekerja sambil belajar.
Tempoh dua hingga empat tahun berulang-alik ke universiti memang memenatkan tetapi di hujungnya merupakan hadian yang paling hebat iaitu mendapat ijazah yang diidamkan.
Sunday, August 22, 2021
Tip umur panjang
Di sebuah tempat di negara Greece terdapat sebuah kawasan yang digelar Zon Biru iaitu zon yang memiliki penduduk berumur panjang. Ada yang mencecah umur 94 tahun dan masih aktif.
Rahsia mereka ialah menjaga kesihatan.
Semasa muda, keadaan fizikal kita masih kuat tetapi semakin lemah dan uzur apabila umur meningkat. Masalah kesihatan pula banyak muncul.
Mulai hari ini, mari kita berazam untuk melakukan aktiviti kecergasan diri seperti berlari, berenang, mengayuh basikal atau mendaki bukit sebagai aktiviti wajib setiap minggu. Kalau tidak mampu, boleh memilih untuk berjalan-jalan di sekitar taman permainan.
Jika hendak kekalkan kesihatan, pelbagaikan aktiviti fizikal dan pilihan makanan yang segar. Kalau hendakkan jantung kuat dan bertenaga, senam selama 20 minit sehari.
Kalau hendakkan badan yang tegap, angkat berat selama 30 minit sehari.
Kalau hendakkan umur yang berkat, amalkan menderma dan memberi infaq sama ada ketika masa senang atau susah.
Saturday, August 21, 2021
Bijak pilih kawan
Kawan atau rakan sangat penting dalam hidup kita. Mereka menjadi tempat untuk berkongsi cerita, bersosial dan bermasyarakat.
Kawan ada dua jenis. Pertama, jenis baik. Kedua, jenis tidak baik.
Dalam istilah yang lebih mesra, kawan positif dan kawan negatif. Kedua-dua jenis kawan ini umpama magnet yang boleh menarik atau menolak kita.
Jika kita rapat dengan mereka, sudah pasti mereka akan cuba pengaruhi minda dan sikap kita.
Dalam memilih kawan yang memiliki sikap positif dan negatif ini, kita mesti bijak kerana pengaruh kawan adalah penyumbang besar kepada keputusan-keputusan penting dalam hidup selain daripada ibu bapa dan guru.
Bijak memilih kawan bermaksud mendapat manfaat yang besar untuk masa hadapan.
Beruntunglah jika mendapat kawan yang baik-baik kerana kawan yang baik ini agak sukar dicari.
Friday, August 20, 2021
Kuasai kemahiran komunikasi
Bolehkah kita berkomunikasi dengan berkesan sehingga dapat meredakan suasana tegang atau konflik yang dihadapi?
Bolehkah kita dapat memberi penerangan yang lengkap untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap sesuatu imej atau peristiwa?
Mempengaruhi orang lain untuk meyakini idea dan ucapan kita adalah satu cabaran dalam komunikasi.
Menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan memang sukar.
Saya juga mengakui perkara ini. Namun, kita mesti menguasai kemahiran ini supaya mesej yang kita ada dapat disampaikan.
Kemahiran komunikasi juga penting khususnya dalam temuduga, memberi taklimat dan mengadakan perundingan.
Jadi, kuasailah kemahiran komunikasi ini lebih-lebih lagi dalam dunia internet pada hari ini.
Thursday, August 19, 2021
Elok bekerja dalam kumpulan
Kita selalu dengar seorang usahawan muda berjaya menembusi pasaran antarabangsa, kita juga mendengar syarikat antarbangsa mendapat untung jutaan ringgit.
Kejayaan-kejayaan besar seperti ini berpunca daripada kesungguhan bekerja keras. Usahawan muda tadi bersedia untuk menghadapi kesusahan, rintangan dan cabaran untuk mencapai matlamat.
Kejayaan yang besar juga dicapai dengan berkumpulan.
Jarang kita dengar bisnes atau usaha seorang diri dapat untung yang besar. Kerja berkumpulan atau syarikat melibatkan usaha yang lebih kuat, idea lebih banyak dan proses membuat keputusan yang lebih tepat.
Jadi, kalau kita hendak meraih kejayaan yang besar-dan hebat, lebih eloklah dalam berkumpulan.
Wednesday, August 18, 2021
Anjakan paradigma
Mungkin terdapat beberapa perkara atau isu yang ada di dalam hidup kita yang membuatkan kita tidak seronok. Contohnya, bekerja tanpa overtime, tidak ramai kawan ataupun sifat semula jadi panas baran.
Kita mahukan perubahan, kita cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, namun kita hanya berada pada takuk yang sama tanpa perubahan yang ketara.
Hakikat yang kita perlu tahu ialah perubahan amat sukar jika dibuat seorang diri kerana tidak ada sokongan, panduan atau pimpinan ke arah perubahan.
Satu penyelesaian yang boleh membawa perubahan yang besar adalah menukar model pemikiran yang mengubah cara kita melihat dunia.
Ia dinamakan anjakan paradigma.
Tuesday, August 17, 2021
Luangkan masa selesai masalah
Seorang rakan saya yang mengusahakan perniagaan menggunakan falsafah ini untuk berjaya dalam bisnesnya iaitu ‘kebanyakan orang tidak boleh meluangkan masa makan untuk membantu menyelesaikan masalah pelanggan tetapi saya boleh’.
Falsafah ini amat mudah tetapi perlukan pengorbanan untuk melakukannya.
Ramai juga ahli perniagaan yang terlepas peluang besar apabila tidak menyedari bahawa menyelesaikan masalah pelanggan biarpun kecil mampu menjana keuntungan lebih besar.
Sifat semula jadi usahawan perlukan pengorbanan, kesabaran dan ketabahan.
Begitu juga dengan membuat tabungan atau menyimpan untuk masa hadapan, kita perlukan falsafah ringkas untuk mengukuhkan azam kita.
Contohnya menyimpan RM100 sebulan lebih baik daripada tidak membuat simpanan langsung.
Monday, August 16, 2021
Usaha untuk berjaya
Jika kejayaan itu satu perkara yang mudah, tentu semua orang sudah boleh berjaya. Namun dalam hidup ini, kejayaan sangat sukar, lebih-lebih lagi kalau tidak ada pelajaran.
Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, kemungkinan untuk berjaya sentiasa ada. Bisnes, perkhidmatan atau makan gaji sekali pun, harapan untuk berjaya tetap ada.
Model atau contoh orang-orang yang berjaya boleh kita ikuti. Kita boleh membaca bahan-bahan yang mengupas dengan terperinci tentang cara yang paling berkesan untuk memasarkan barangan, meningkatkan kualiti perkhidmatan atau teknik memotivasikan diri.
Mendapat suntikan motivasi adalah langkah awal untuk berjaya kerana pakar psikologi sering menyatakan bahawa kita memerlukan 30 hari untuk memupuk tabiat baru sambil mengikis tabiat yang lama.
Sunday, August 15, 2021
Saturday, August 14, 2021
Friday, August 13, 2021
Thursday, August 12, 2021
Refleksi diri
Refleksi diri adalah proses terbaik untuk memajukan diri dalam kerjaya, pendidikan atau hidup bermasyarakat.
Diri sendiri dan orang lain boleh menilai tahap kemajuan kita. Contohnya, dalam sektor awam, kakitangan kerajaan dinilai setiap tahun kedudukan prestasi mereka.
Saya ingat sektor swasta turut melaksanakan kaedah yang sama. Menilai diri perlukan penglibatan dua pihak iaitu diri sendiri dan orang lain.
Refleksi diri boleh dibuat dari aspek lahiriah dan batiniah. Contohnya, kurang rajin membaca. Amalan ini semua orang tahu iaitu amalan yang baik tetapi kenapa agak malas membaca?
Membuat perubahan yang besar mesti bermula secara kecil-kecilan dahulu. Berikan penghargaan atas kejayaan kita menghabiskan bacaan sebuah buku ilmiah.
Lakukan berterusan dan kita akan mendapat manfaat.
Wednesday, August 11, 2021
Masa berubah, era berubah
Dua puluh tahun lalu, jalan raya di Brunei khususnya di Bandar Seri Begawan tidaklah sesesak seperti hari ini.
Ketika itu perjalanan dari bandar ke Sengkurong agak lancar sama ada melalui Jalan Tutong atau Jalan Jangsak.
Hari ini, deretan kenderaan khususnya kereta menjadi pemandangan biasa ketika waktu keluar pejabat.
Pertambahan penduduk, perkhidmatan kesihatan yang semakin baik dan tahap pendidikan yang tinggi menyumbang kepada kemajuan Brunei, sebuah negara kecil di Borneo.
Walaupun begitu, tahun-tahun yang akan datang tentu banyak cabarannya. Abad ke-21 sudah memasuki era ‘global village’ yang mana sempadan negara lebih dikenali melalui kedudukan geografi seperti tanah, laut atau ruang udara.
Keadaan budaya, ideologi, nilai hidup dan corak berfikir masyarakat sukar ditentukan sempadannya.
Bagi memastikan nilai-nilai hidup masyarakat berada pada kedudukan terbaik, memiliki jati diri yang tinggi, perancangan dasar atau polisi mestilah mengambil kira semua keperluan masyarakat.
Tuesday, August 10, 2021
Nilai diri dan buat persiapan
Sangat jarang ada orang yang sentiasa menang dalam semua pertandingan. Biasanya ada sekali dua pertandingan yang kalah.
Contohnya dalam pertandingan tinju. Sebelum dinobatkan sebagai juara, berhadapan dengan peninju yang hebat amat menakutkan kerana mungkin dibelasah sehingga tewas.
Dalam senarai juara ahli gusti, pasti ada ahli gusti ini yang pernah kalah sebelum mereka berjaya menjadi juara kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Jadi, kalau kita kalah dalam sesuatu persaingan, janganlah bersedih kerana kalah tidak bererti kalah selama-lamanya.
Yang penting ialah kembali menilai keupayaan diri dan membuat persiapan yang lebih baik.
Monday, August 09, 2021
Menilai kasih sayang
Adakah dengan memberi RM1000 kepada kedua ibu bapa dikatakan ada nilai kasih sayang?
Ataupun adakah dengan memberi ucapan tahniah kepada rakan yang baru dinaikkan pangkat dikatakan ada kasih sayang?
Pada saya, kedua-dua tindakan ini ada unsur-unsur kasih sayang kerana sifat ini boleh dipamerkan dengan banyak cara.
Pasangan suami isteri yang sedang bercinta lebih terserlah kasih sayang mereka seperti kerap mengambil berat, menjaga tutur kata, bermesraan, berlapang dada, selalu belanja makan dan mendoakan kebahagiaan.
Sayang merupakan anugerah Allah swt kepada kita, sifat mulia yang harus dikongsi bersama dengan orang lain.
Pamerkan sayang anda, Insya Allah orang lain turut menyayangi kita.
Sunday, August 08, 2021
Beri maaf dan lupakan saja
Perasaan marah, benci dan dendam boleh menjejaskan kegembiraan dan kesenangan hidup.
Jika perasaan negatif ini membelenggu diri kita, banyak perubahan hidup akan berlaku. Antara perubahan yang ketara ialah jiwa dan fikiran.
Jiwa yang dipenuhi dengan nilai-nilai negatif ini mengganggu hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan, jiran tetangga, dengan bos di tempat kerja atau dengan saudara-mara yang lain.
Fikiran juga memberi pengaruh besar ke atas jiwa.
Membuat andaian tanpa usul periksa juga mempengaruhi jiwa untuk bertindak seiring dengan apa yang ada di fikiran.
Satu cara yang praktikal untuk menghilangkan perasaan marah, benci dan dendam ialah memberi maaf dan lupakan sahaja. Semoga Allah swt memberkati hidup kita.
Saturday, August 07, 2021
Usaha sendiri puas hati
Kita selalu mendengar ungkapan ‘kita merancang, Tuhan yang menentukan’.
Hidup yang kita lalui tidak selalu dipenuhi saat-saat yang menggembirakan. Ada masanya kita kecewa dan putus harapan.
Ada masanya kita sangat gembira. Kedua-dua masa ini saling bertukar ganti. Ketika berhadapan dengan saat-saat sukar, kita harus cekal, tabah dan sabar.
Orang yang telah berjaya memiliki jiwa besar dan berani menempuh semua rintangan hidup.
Apakah contoh orang yang berjiwa besar ini?
Saya ambil contoh graduan universiti yang berjaya dalam hidup. Graduan ini belajar di peringkat diploma dan sukar mendapat kerja kerana saingan yang sengit.
Lalu beliau bekerja sendiri sebagai usahawan cendawan. Sebagai usahawan, pendapatan bulanannya hampir RM10,000 sebulan.
Friday, August 06, 2021
Karisma diri
Satu sifat yang menarik ramai orang dan boleh dibentuk oleh sesiapa sahaja ialah karisma.
Sifat karisma ini lahir dari dalam diri. Dalam istilah hari ini, karisma boleh disamakan dengan ‘aura’.
Dua ciri yang terdapat pada karisma ialah jujur dan berterus-terang. Pekerja yang berkarisma mudah dinaikkan pangkat, peniaga yang berkarisma lebih cepat mendapat kepercayaan pelanggan, menawan hati lebih ramai pelanggan dan menjadi sebutan.
Keberkesanan karisma ialah kita disukai oleh orang lain.
Bakat pula ialah satu cara bagaimana karisma terbentuk tetapi orang yang lebih berkesan ialah membentuk karisma melalui usaha sendiri, menambah ilmu dan tahap kesarjanaan, membersihkan hati dan membina hubungan dengan Allah swt.
Bina diri, bina karisma diri.
Thursday, August 05, 2021
Seberkas lidi susah dipatahkan
Kemajuan dan kejayaan sesebuah organisasi seperti kelab, persatuan dan koperasi sama ada kecil ataupun besar, banyak ditentukan oleh hubungan sesama ahli atau anggotanya.
Tidak kira di peringkat mana kita berada sekalipun- presiden, setiausaha, ahli jawatankuasa atau ahli biasa, corak pemikiran dan budaya kerja harus diubah bagi memastikan visi dan misi organisasi dapat direalisasikan.
Kesatuan dalam berfikir menentukan bentuk budaya kerja yang mendominasi organisasi.
Untuk membentuk corak berfikir yang seiring dengan matlamat dan hala tuju organisasi, banyak cara yang boleh dibuat seperti taklimat, aktiviti luar yang bersifat ‘outdoor camp’, kursus dan bengkel.
Jika kita dapat menghayati dan mengguna pakai peribahasa ‘sebatang lidi mudah dipatahkan, seberkas lidi susah dipatahkan’, insya Allah organisasi kita akan kuat.
Wednesday, August 04, 2021
Sikap tidak bergantung kepada orang lain
Sekiranya satu hadiah yang anda hendak beri kepada rakan baik atau pelajar dalam kelas anda, apakah hadiah yang anda hendak beri?
Pada saya, hadiah yang boleh diberikan ialah sikap tidak bergantung kepada orang lain.
Sikap ini boleh mendorong semangat dan membantu hala tuju rakan kita tadi. Ia juga menyerlahkan keyakinan diri dan menolak jauh-jauh putus asa, kecewa tidak bertempat atau rasa rendah diri.
Contoh tidak bergantung kepada orang lain adalah bekerja sendiri. Kita boleh mendapat pendapatan lebih besar dan lumayan dengan berniaga sendiri.
Walau bagaimanapun sikap ini perlu dibentuk dan dicanai supaya menjadi tabiat.
Sikap ini menjadikan kita lebih kawalan dan menentukan arah tujuan perjalanan hidup dan masa hadapan sendiri.
Tuesday, August 03, 2021
Kerap beri pujian
Sesiapa sahaja, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa suka dengan pujian.
Kuasa pujian ini lebih hebat daripada sindiran. Pujian yang bagus memberi kesan kepada spiritual, mental dan fizikal. Kita ambil contoh memberi pujian kepada kanak-kanak.
Mereka adalah kelompok yang paling cepat responnya kepada pujian.
Seorang kanak-kanak yang agak malas membaca buku atau agak ‘liat’ hendak mengulangkaji pelajaran, memberi sedikit pujian berkaitan tingkah laku baik mereka akan merangsang fikiran untuk berfikir tentang diri mereka.
Selepas fikir, mereka akan buat apa yang kita mahu seterusnya menjadi ingatan yang kuat di hati.
Jadi, selalulah belajar memberi pujian supaya kita boleh memuji kebaikan dan kebolehan orang lain.
Monday, August 02, 2021
Siapa sahaja boleh berjaya
Semua orang mahukan kecemerlangan.
Semua orang juga boleh mendapat kecemerlangan kerana kecemerlangan tidak ditentukan oleh warna kulit, keturunan, bangsa, kepercayaan, fahaman ideologi, persekitaran dan sebagainya. Banyak contoh kejayaan yang kita dapat lihat.
Anak-anak orang miskin yang dibantu dari segi pendidikan formal, diberi bantuan kewangan dan sokongan moral, akhirnya membesar sebagai seorang pegawai yang cemerlang di tempat kerja, seorang usahawan muda yang berjaya dan pada masa yang sama kembali menyumbang khidmat kepada masyarakat.
Mitos mengatakan kecemerlangan hanya untuk orang-orang tertentu sahaja sudah berlalu kerana pada hakikatnya, kecemerlangan boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja asalkan mahu berusaha dan gigih membaiki kelemahan dan kekurangan diri.
Sunday, August 01, 2021
Ke hadapan atau mundur
Jika kita mahu berkembang dan maju, kita mesti sentiasa berusaha untuk berubah atau membuat perubahan.
Perubahan tidak dapat ditangguh kerana persekitaran kita telah berubah.
Persekitaran kita sentiasa berubah kerana ia bersifat dinamik. Contoh dinamik ialah pendidikan.
Pencari kerja yang gagal memiliki kemahiran komputer akan gagal dalam persaingan mendapat pekerjaan. Jadi, perubahan demi perubahan tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Kita hanya ada dua pilihan iaitu maju ke hadapan atau mundur ke belakang. Untuk maju, kenalah berusaha keras seiring dengan perubahan persekitaran.
Jika tidak, makin lama makin jauhlah kita daripada merasakan perubahan yang lebih baik.