Saturday, September 21, 2019

Dialek bahasa Melayu Brunei







Masyarakat Brunei bertutur bahasa Melayu sama seperti di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand. Menariknya, bahasa Melayu Brunei ini mempunyai dialek yang unik dan makna yang berbeza. Mereka yang baru mendengar perbualan dialek ini akan mendapati agak sukar memahami beberapa perkataan seperti damit, limbu, bisai, kulut, ketulahan, mulah, belureh, ungkayah dan sigup. 

Kita hanya dapat memahami perkataan-perkataan ini apabila berbual-bual dalam kalangan orang tempatan seperti di pasar atau mendengar perbualan di kedai makan. 

Selain itu, terdapat perbezaan sebutan huruf ‘e’ yang ditukar kepada bunyi ‘a’ seperti cepat menjadi ‘capat’ dan besar menjadi ‘basar’. Kita akan cepat menguasai dialek Brunei apabila kerap berbual dengan masyarakat Brunei yang lebih berumur berbanding golongan muda kerana mereka yang berumur ini masih kental dengan lenggok dan loghat asal. 

Golongan muda telah banyak terdedah dengan bahasa Melayu standard khususnya melalui filem, surat khabar dan rakan-rakan dari Malaysia. Ada juga dalam kalangan mereka ini apabila berbual kita tidak dapat bezakan mereka dengan bahasa perbualan orang Sabah kerana penggunaan ‘bah’ di hujung ayat yang menjadi tanda pengenalan. 

Pada saya, tempat terbaik untuk memahami dialek bahasa Melayu Brunei adalah di Kampung Ayer. Di sini dialeknya ditutur dengan baik sekali.


1 comment: