Saturday, November 11, 2017

Perkasa pendidikan teknikal dan vokasional








Melanjutkan pelajaran di universiti merupakan ukuran kemampuan seseorang untuk mengubah kehidupan sedia ada. Pejuang Pembebasan Afrika Selatan, Nelson Mendela pernah berkata “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”.

Tidak syak lagi pendidikan adalah alat paling berkesan untuk mengubah kehidupan sesebuah bangsa.

Di Malaysia, pendidikan merupakan satu wadah yang telah diberi perhatian besar oleh kerajaan untuk mengubah dan menambah baik kehidupan rakyat. Keadaan ini dapat kita lihat apabila terdapat pelbagai jenis sekolah yang telah diberi bantuan dari semasa ke semasa untuk mencari pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan tetapi memiliki tahap pendidikan yang sangat baik melalui saringan peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah.  

Kewujudan sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh ataupun Maktab Rendah Sains Mara adalah memberi tumpuan kepada kepada pelajar-pelajar luar bandar dan berbakat untuk meneruskan pendidikan mereka seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga mereka.

Perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia telah berkembang dan meluas. Hari ini sahaja terdapat  20 buah Universiti Awam di Malaysia di samping beratus-ratus buah Universiti Swasta. Para pelajar yang berada di sekolah menengah rata-ratanya telah pun mendapat laluan pendidikan mereka sendiri.

Pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah boleh memilih institusi pendidikan tinggi mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Para pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan tetapi memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang teknikal, mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian mereka di kolej komuniti, politeknik ataupun ataupun kolej-kolej universiti swasta yang menawarkan bidang teknikal dan kemahiran.

Pendek kata, peluang pendidikan di Malaysia sangat luas dan ia bergantung kepada sama ada seseorang itu hendak ataupun tidak meneruskan pengajian mereka.

Dalam tempoh lima tahun sahaja, terdapat perubahan kemahiran yang ketara dalam dunia pendidikan global. Perubahan ini adalah tindak balas sistem pendidikan ke atas kegagalan sekolah dan institusi pendidikan tinggi menyediakan pelajar untuk memenuhi pasaran kerja dan menguruskan kehidupan. Justeru, pendidikan hari ini perlu memberi tumpuan kepada menambah baik inovasi pelajar. Membaiki inovasi bermaksud usaha-usaha mendidik pelajar menjadi inovatif kepada memperkenalkan pendidikan inovasi bagi meningkatkan kaedah pembelajaran pelajar.

Dalam usaha mendidik pelajar sebagai persediaan bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak wujud, kita wajar melengkapkan mereka dengan kemahiran bertanya soalan yang betul, menganalisis jawapan yang diterima dengan cara mengenal pasti dan menjangkakan soalan serta menyediakan formula kepada soal jawab. Melalui cara ini, pelajar dibantu untuk menjana minda terbuka, keinginan untuk mengetahui dan ketangkasan berfikir. Perbezaan kemahiran tahun 2015 dan tahun 2020 adalah seperti berikut.

2015

1. penyelesaian masalah yang kompleks
2. bergandingan dengan orang lain
3. pengurusan perorangan
4. pemikiran kritikal
5. perundingan
  
2020

1. penyelesaian masalah yang kompleks
2. pemikiran kritikal
3. kreativiti
4. pengurusan perorangan
5. pengalaman bersama orang lain


Teknologi memberi cabaran dan penyelesaian terhadap kehidupan kita. Namun teknologi bukanlah pengganti kepada pengalaman kemanusiaan. Teknologi menjadi hebat apabila ia menjadi pelengkap dan menambah nilai kepada kemanusiaan.

Teknologi tidak lagi bernilai jika tidak dapat memberi idea dalam kehidupan manusia. Kebanyakan pelajar kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara kecil terhadap pengalaman kemanusiaan. Melalui latihan dan soalan untuk menyelesaikan masalah sebenar hidup, kita harap dapat mengisi jurang ini.

Peluang mendapat pendidikan merupakan rahmat terbesar setiap rakyat Malaysia. Pelajar di bandar atau luar bandar berpotensi menjejakkan kaki ke universiti jika mereka tahu bagaimana mendapat peluang ini.

Dasar pendidikan yang sentiasa memperkasa potensi setiap pelajar merupakan langkah penting dalam program intervensi sosial yang menjadikan masyarakat Malaysia bebas keciciran dan kemiskinan. Namun, peluang yang lebih luas diberikan kepada pelajar luar bandar dan golongan minoriti supaya mereka dapat melakukan perubahan dalam kalangan keluarga sendiri.

Justeru, sejak merdeka, generasi yang berumur 40-an pada hari ini tidak lagi mewarisi pekerjaan ibu bapa di kampung sebagai petani atau penoreh getah. Rata-ratanya telah berpindah ke bandar untuk mencari peluang hidup yang lebih baik kerana pemikiran, sikap dan pandangan mereka terhadap kehidupan telah berubah, tidak lagi melihat dunia ini berlegar-legar di kampung.

-->

Post a Comment