Sunday, March 12, 2017

Memahami polisi luar negara







Polis Diraja Malaysia telah mengesahkan identiti mayat Kim-Chol sebagai Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin rejim Koea Utara, Kim Jong-un yang mati dibunuh pada 13 Februari lalu di Kuala Lumpur International Airport2 (KLIA2). Kim Jong-nam dibunuh oleh dua orang wanita dari Indonesia dan Vietnam yang mana kedua-duanya telah pun dituduh di mahkamah atas kesalahan membunuh.

Banyak perkara yang kita dapat pelajari apabila berlaku kes jenayah seperti ini. Dalam hubungan diplomatik, negara yang terbabit akan mengukuhkan pendirian dan prinsip negara masing-masing seakan-akan tidak mahu mengalah. Ia  mungkin berakhir di meja rundingan apabila terdapat sesuatu yang luar biasa yang mungkin menjejaskan keselamatan atau nyawa mana-mana pihak.

Ramai pihak meramalkan Malaysia akan berdepan laluan sukar untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana sikap rejim Korea Utara yang tidak dapat ditentukan di samping bersikap angkuh dengan kehebatan sendiri. Mereka inginkan kemenangan dan sanggup memperkecilkan keupayaan orang lain.

Dalam konteks negara Malaysia, kita belajar untuk menyelesaikan perkara besar yang menarik minat ramai pihak sama ada rakan baik kita mahupun musuh yang sedang menanti masa. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan peringkat global menunjukkan negara itu diterima banyak pihak. Antara pertubuhan ini adalah seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM), World Trade Organization (WTO) dan World Health Organization (WHO). Di peringkat serantau, Malaysia menyertai Asia Cooperations Dialogue (ACD), Asian Development Bank (ADB), Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan Asian African Legal Consultative Organization (AALCO).

Selain itu, Malaysia juga menyertai Organization of the Islamic Conference (OIC), Commonwealth of Nations dan The Group of Fifteen (G-15).

Dalam dasar hubungan luar Malaysia, negara itu mempunyai hubungan dengan lebih seratus buah negara manakala Korea Utara hanya mempunyai hubungan dengan 24 buah negara. Sikap dan sistem pentadbiran yang diguna pakai oleh Korea Utara menyebabkan negara itu kehilangan peluang ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya kerana banyak pihak yang tidak mahu bersahabat dengannya.

Malaysia mengamalkan pendekatan berbeza khususnya mengambil pendekatan pragmatik. Negara itu menggunakan semua ruang dan peluang untuk membina hubungan yang memberi faedah ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan. Ia juga mengambil langkah awal membina hubungan dengan blok komunis China dan membuka ruang kepada rakyat Korea Utara memasuki Malaysia tanpa visa.

Namun, kini semua kemudahan tersebut ditarik balik. Korea Utara bakal kehilangan satu lagi negara yang banyak memberi ruang untuk negara itu mengubah diri sendiri.

Kezaliman rejim Korea Utara yang sanggup membunuh saudara sendiri semata-mata kerana kuasa bakal menyaksikan negara itu tidak lagi dihormati. Apatah lagi ketakutan mereka terhadap aktiviti latihan ketenteraan di Semenanjung Korea bakal meresahkan Kim Jong-un, orang paling berkuasa di negara itu ketika ini.

  
Post a Comment